Saturday, February 26, 2011

Autisme Penyakit Cacat Daya Fikir

Sepasang suami isteri apabila berumahtangga ingin dapatkan cahaya mata untuk menambah suasana keriangan hidup berkeluarga.

Oleh itu, ayah dan ibu kepada bayi baru lahir itu mempunyai 1,001 harapan untuk masa depan bayi kesayangan mereka. Andainya bayi dilahirkan itu normal, mereka akan lega dan tidak perlu bimbang.

Namun jika berlaku sebaliknya dan bayi yang ditunggu-tunggu sekian lama didapati cacat, reaksi ayah dan ibu akan bertukar. Ada ibu bapa boleh menerima hakikat ini, terus berusaha dan bertawakal kepada yang Maha Kuasa, demi masa depan anak mereka.


Namun, ada juga ibu bapa mungkin berasa putus asa dan sanggup membiarkan anak istimewa ini begitu saja tanpa memberi perhatian dan tumpuan sepatutnya.

Malah, ada ibu bapa tidak mahu lagi menjaga anak seperti ini, justeru sanggup menyerahkan anak mereka kepada jabatan kebajikan masyarakat untuk dibelai dan dijaga atau meninggalkannya di hospital.

Yang lebih teruk ialah apabila bayi tidak berdosa ini dibungkus dengan kain dan diletak di merata-rata tempat dengan harapan orang lain akan mengambilnya.

Apabila berbicara mengenai bayi tidak normal dan didapati cacat dalam perkembangan daya fikir, sistem yang terganggu ialah sistem saraf, terutama struktur otak.

Kecacatan pada struktur otak akan menjejaskan fungsi otak, oleh itu kanak-kanak terbabit akan menunjukkan tanda luar biasa daripada aspek tingkah laku, emosi dan pertuturan. Kadar perkembangan daya fikir menjadi lembab dan keupayaan untuk bercakap pada umur seawal dua tahun terjejas.

Gangguan perkembangan intelek atau daya fikir seperti ini disebut penyakit autisme.

Jika seorang kanak-kanak tidak dapat bertutur apabila mencapai umur dua tahun, ayah atau ibunya boleh membawa anak mereka berjumpa doktor pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak, atau disebut sebagai pakar otorinolaringologi.

Selain gangguan bertutur, kanak-kanak autistik menunjukkan ciri-ciri seperti tidak suka berinteraksi dengan orang lain dan jika mereka membuat sesuatu, mereka akan mengulang-ulang perbuatan itu.

Di samping itu, kanak-kanak berkenaan turut mengalami gangguan tidur. Kanak-kanak autistik sukar tidur pada waktu malam dan jika tertidur mereka kerap terbangun, oleh itu pada siang hari mereka mudah mengantuk.

Gambaran seperti ini membuatkan ibu bapa sering runsing dan bimbang. Akan timbul persoalan jika isteri mengandung lagi, adakah gangguan daya fikir ini akan berlaku juga kepada anak yang bakal lahir.

Setiap ibu bapa berharap mendapat cahaya mata normal dan boleh membesar seperti kanak-kanak lain — iaitu menjadi riang, suka bermain sesama rakan dan boleh berinteraksi dengan baik.

Permasalahan Pertuturan

Namun tidak dapat dinafikan bukan semua harapan dan impian menjadi kenyataan. Disebabkan sesuatu yang mungkin sudah berlaku sama ada secara disedari atau tidak, ada segolongan kanak-kanak mengalami permasalahan autisme.

Gangguan autisme hampir sama dengan satu lagi gangguan yang boleh berlaku kepada kanak-kanak iaitu gangguan Asperger. Cuma perbezaannya, gangguan Asperger tidak menunjukkan permasalahan pertuturan seperti dialami dalam gangguan autisme.

Gangguan autisme dan Asperger berlaku lebih kerap pada kanak-kanak lelaki dan ada peningkatan risiko kepada adik beradik lain. Selalunya gangguan ini boleh dikesan sebelum kanak-kanak mencapai umur tiga tahun.

Kajian dibuat menunjukkan wujudnya beberapa gangguan kesihatan yang boleh dialami kanak-kanak ini seperti ensefalitis atau jangkitan pada otak dan anoksia ketika kelahiran, iaitu kekurangan oksigen pada bayi.

Ini menunjukkan adanya perubahan fizikal pada otak kanak-kanak berkenaan. Jika dibuat ujian elektroensefalografi (EEG) akan dapat dilihat perubahan pada gelombang otak yang menunjukkan corak tidak normal.

Ada juga yang mencapai umur remaja dan boleh mengalami kekejangan. Walaupun demikian, ada segolongan kecil daripada kanak-kanak istimewa ini yang mampu bekerja dan boleh berdikari.

Memang benar ada ramai kanak-kanak autistik mengalami gangguan tidur. Kajian di luar negara menunjukkan mereka sukar tidur, kadangkala mengambil masa sehingga sejam sebelum dapat tidur.

Apabila dapat tidur, mereka kerap terbangun dan mudah terjaga pada awal pagi lagi, kadangkala sebelum jam lima pagi. Malah, mereka juga didapati tidak mahu tidur bersendirian.

Permasalahan tidur pada kanak-kanak autistik memberi gambaran bahawa ibu bapa perlu tahu iaitu gangguan tidur di kalangan kanak-kanak boleh disebabkan pelbagai perkara.

Oleh itu, daripada aspek memberi bantuan dan rawatan, punca sebenar gangguan tidur perlu diketahui supaya intervensi yang hendak dibuat bertepatan dengan punca masalah.

Jika tidak, sesuatu pendekatan rawatan itu hanya berfokus kepada simptomnya dan bukan kepada puncanya.

Kanak-kanak autistik dikatakan mengalami permasalahan dalam proses perkembangan intelek, emosi dan perilaku sosial. Pada peringkat umur tiga tahun, mereka masih tidak dapat bertutur, emosinya terbatas dan tidak mampu beramah mesra dengan rakan sebaya.

Dengan adanya pengetahuan sempurna mengenai gangguan ini, usaha terbaik boleh dibuat bagi mengurangkan permasalahan dihadapi. Ibu bapa perlu banyak bersabar dan mendapat bantuan daripada sanak saudara masing-masing bagi meyakinkan diri bahawa mereka sudah buat yang terbaik kepada anak istimewa ini.

Masa depan anak ini bergantung kepada sejauh mana gangguan perubatan dan komplikasi lain yang mungkin timbul.

Jika anda ada anak seperti ini, anda bukan keseorangan. Ramai ibu bapa lain mengalami nasib sama. Kadar berlaku gangguan autisme dikatakan di antara dua hingga lima kes bagi setiap 10,000 individu.

Oleh itu, wujud pelbagai persatuan sukarela, terutama dari kalangan ibu bapa yang ada anak seperti ini. Persatuan ini mempunyai matlamat sama iaitu membantu sesama sendiri ketika menghadapi cabaran dan dugaan dalam memelihara anak istimewa mereka.

Sehingga ini tiada gen spesifik yang berkaitan dengan gangguan ini ditemui. Walaupun risiko berlakunya gangguan ini didapati lebih sedikit di antara adik beradik terbabit, ia tidak bermaksud semua atau 100 peratus anak yang berkaitan akan mengalami gangguan sama. Manusia hanya dapat merancang dan Allah SWT jua yang menentukan segala-galanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!