Monday, January 23, 2012

Kurikulum alternatif untuk murid istimewa

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa peka terhadap pendidikan anak-anak istimewa termasuk mereka yang menghadapi masalah pembelajaran.

Pertimbangan perlu dibuat agar pelajar berkeperluan khas diberi peluang yang sama dengan pelajar-pelajar lain di mana kualiti pendidikan mereka perlu dipertingkatkan agar mereka dapat menguasai Kurikulum Alternatif yang telah dibina khas untuk mereka.

Mengikut Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2007, Kurikulum Alternatif adalah kurikulum yang dibina khusus serta dianggap sesuai dan bermanfaat bagi murid berkeperluan khas selain dari kurikulum latihan kemahiran.

Bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK), Masalah Pembelajaran Tahap Satu, terdapat hanya lima mata pelajaran iaitu Pengurusan Kehidupan, Asas 3M (Membaca, menulis, mengira), Seni Kreatif, Pendidikan Islam atau Moral dan Pendidikan Jasmani.

Komponen-komponen yang terdapat dalam mata pelajaran Pengurusan Kehidupan pula ialah Pengurusan Diri, Pengurusan Tingkah Laku dan Kemahiran Manipulatif.

Asas 3M merangkumi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik manakala Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik pula merupakan komponen dalam mata pelajaran Seni Kreatif.

Menurut Akta Pendidikan 1996, Bab 8 Pendidikan Khas, Seksyen 41, Subseksyen (1) (B) Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar dalam melaksanakan kurikulum pendidikan khas bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas itu.

Pendekatan yang diambil dapat menentukan komposisi yang terbaik dan sesuai untuk murid bermasalah dalam pembelajaran. Mereka yang tidak kurang dari segi aptitud atau intelek turut diberi sokongan untuk menguasai kurikulum arus perdana agar potensi mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh dan optimum.

Mereka juga akan ditempatkan di Program-program Inklusif bersama pelajar-pelajar biasa di kelas aliran perdana serta dibenarkan untuk mengambil peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM.

Berdasarkan pencapaian, mereka juga boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di SMPK(V) Indahpura, Kulai, Johor atau sekolah-sekolah menengah teknik yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Khas.

KPM sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan untuk murid berkeperluan khas selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan semua murid diberi peluang untuk mendapat pendidikan yang sama rata

sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!