Tuesday, May 8, 2012

Kanak-kanak autisme kurang perhatian

JAMES MASING

KUCHING: Kesedaran orang ramai di negeri ini mengenai keperluan kanak-kanak autisme masih rendah menyebabkan golongan itu kurang mendapat perhatian umum.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing (gambar) berkata, dari segi pendidikan, pendekatan pengajaran kanak-kanak yang mengalami masalah ini berbeza dan melibatkan kos yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal.

“Setiap daripada kita perlu memahami keperluan kanak-kanak autisme dan keperluan mereka ini perlu diberi perhatian sepenuhnya.

“Keperluan mereka adalah berbeza dengan kanak-kanak normal.

“Misalnya dari segi pendidikan, seorang guru diperlukan untuk mengajar seorang kanak-kanak.
“Ini kerana mereka perlu dipantau dan dikawal dengan lebih dekat. Disebabkan itu kosnya sangat tinggi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan majlis Krismas Amal 2011 di premis Persatuan Autisme Kuching (KAA), di sini semalam.

Justeru katanya, badan-badan korporat di Sarawak bersama-sama kerajaan menghulurkan bantuan kepada persatuan ini supaya kanak-kanak yang berada di bawah jagaan persatuan itu mendapat perhatian sewajarnya.

Menerusi bantuan seumpama itu, kanak-kanak ini dapat dididik dengan baik bukan sahaja dari segi akademik tetapi kemahiran asas supaya mereka dapat meneruskan kehidupan di kalangan masyarakat normal.

“Jangan hanya tunggu masa pilihan raya barulah ada pihak atau badan korporat yang tampil menghulurkan bantuan.

“Jumlah tidak penting, sumbangan setiap tahun itu cukup bermakna bagi membolehkan persatuan menguruskan persatuan serta memberi peluang kepada kanak-kanak austime seperti kanak-kanak normal lain,” ujarnya.

Pada majlis sama Masing yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) RM10,000 yang akan diberikan tahun depan kepada KAA selain sumbangan peribadi RM2,000 kepada persatuan itu.

Selain itu beliau menghulurkan sumbangan Krismas kepada anak-anak di KAA bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Krismas yang akan disambut dua hari lagi.

Mengenai majlis itu, beliau memberitahu ia merupakan antara tanggungjawab sosial korporat kementeriannya dan akan dilaksanakan saban tahun.

Sementara itu, Presiden KAA Dr Yao Sik Chi berkata ketika ini terdapat 47 anak-anak austisme berusia empat hingga 21 tahun di bawah jagaan persatuan itu.

Ketika ini katanya, KAA mempunyai 14 guru dengan seorang penyelia serta pentadbir dan disebabkan kekurangan tenaga pengajar, setiap pelajar autisme diajar selama dua jam oleh seorang guru.

Mengakui persatuan berdepan masalah kewangan, Dr Yao berkata setiap tahun persatuan mengalami defisit RM100,000 bagi membiayai kos operasi, akademik serta latihan kemahiran yang diberikan kanak-kanak autisme di situ.

Disebabkan kekangan kewangan katanya, persatuan menumpang di rumah kerajaan ‘Rumah Lada’ di Jalan Bamfylde, Kuching sejak enam tahun lalu.

“Kami banyak bergantung kepada aktiviti jualan amal yang dianjurkan setiap tahun untuk membiayai kos operasi, setiap jualan amal kami berjaya mengumpul sekitar RM120,000 hingga RM150,000 tetapi jumlah ini masih tidak mencukupi kerana persatuan dalam proses membina pusat yang baharu di Jalan Desa Wira,” katanya.

Mengenai bangunan baharu milik persatuan itu, Dr Yao berkata ia dijadual siap sepenuhnya Julai tahun depan dan bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya asrama, pusat latihan kemahiran dan bengkel pertukangan.

by Patricia Gari.

Sumber: http://www.theborneopost.com

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!