Monday, May 7, 2012

Peranan GURU dalam memupuk kesedaran terhadap kanak-kanak berkeperluan khas


Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancangkan. Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Guru di kelas biasa turut memainkan peranan penting dengan membantu mengenal pasti murid dengan masalah pembelajaran agar mereka tidak terus ketinggalan. Dr. Aminah Bee (2000), menggariskan peranan pihak sekolah/guru dari segi mengenal pasti murid iaitu :

• Guru kelas biasa perlu peka apabila kanak-kanak kurang memberi tumpuan/perhatian ataupun kuran cekap dalam pelajaran.
• Guru kelas biasa perlu sedar terdapat di kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan meletakkan label ‘malas’ ataupun ‘bodoh’ kepada murid.
• Guru kelas biasa perlu merujuk kes yang disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas (jika ada) kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi murid.
• Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik.
• Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih terperinci.

Walau dalam situasi bagaimana sekalipun, murid dengan keperluan khas perlu dilihat dan dilayan seperti murid normal yang lain. Corak perkembangan murid tipikal dan strategi pengajaran bagi murid murid berasaskan pengetahuan perkembangan boleh diaplikasikan terhadap murid dengan keperluan khas. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor, perpustakaan dan persatuan bagi membantu murid berkenaan.
Rancangan sekolah selalunya dibuat berdasarkan kepada murid yang sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran seolah-olah dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan berdepan dengan kesukaran. Dalam situasi sekolah seperti ini, kanak-kanak ini merasakan dia akan gagal dalam hidup, cita-citanya tidak diendahkan, terbantut atau dimusnahkan. Dia juga mungkin percaya jika diarah supaya percaya dia tidak akan Berjaya. Bagi membantu seseorang itu belajar, seorang guru perlu tahu muridnya sendiri, sifatnya, keperluannya serta latar belakangnya. Guru perlu mempertimbangkan bagaimana membantu muridnya menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya supaya terus belajar, mempermudahkan proses pembelajarannya dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajarinya.

Ada antara kanak-kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan mereka diberikan peluang. Mereka boleh dipimpin supaya menguasai banyak perkara abstrak yang mudah. Perbendaharaan kata yang mudah harus digunakan, bahan bacaan mesti ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta pengajaran am dan kadar pembelajaran mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah mereka boleh menerima faedah yang banyak dan menjadi murid yang berjaya. Sebahagian daripada kegagalan mereka yang bermasalah pembelajaran dikaitkan dengan segolongan pendidik tidak bewibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke dalam situasi dimana mereka tidak boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat sesuatu bagi menolong penyesuaian mereka.

Kefahaman mengenai kanak-kanak adalah asas kepada sebarang pertolongan atau bimbingan yang mungkin diberikan kepada mereka. Anak-kanak ini sedang maju ke hadapan dan perlu mempunyai jalan yang disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami nilainya dan mengenal pasti rintangan-rintangan serta potensinya. Justeru, kanak-kanak ini perlu dibimbing menuju ke sesuatu matlamat yang ingin dicapainya. Proses pembelajaran adalah satu aktiviti yang kompleks kerana banyak perkara berlaku serentak pada masa yang sama. Sewaktu sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran dikendalikan, terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh kanak-kanak ini bagi memastikan mereka menguasai apa yang diajar oleh guru. Proses ini tidak dapat dilakukan secara maksimum oleh sisiem neurologi seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, pembelajaran boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti berikut:

• Terdapat objektif yang jelas dan berpotensi di capai.
• Murid mempunyai motivasi untuk belajar.
• Murid disediakan dengan tugasan pembelajaran yang sesuai dan memberikan mereka peluang mengamalkan tingkah laku yang diperlukan.
• Apabila pembelajaran berlaku, murid mendapat peluang mengamalkan tugas yang lebih sukar yang mendorongnya supaya belajar lebih lanjut.
• Murid diberitahu mengenai kemajuannya dan dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan.

Kebanyakan kanak-kanak bermasalah pembelajaran tidak dapat berkomunikasi dengan baik di dalam kelas. Murid memerlukan bentuk komunikasi yang baik dan jelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu mengambil kira dalam komunikasi, setiap mesej yang hendak disampaikan memerlukan tidakan yang sesuai dengan kehendak murid. Sehubungan ini, komunikasi corak berikut dapat diwujudkan di dalam kelas:

• Komunikasi antara perseorangan – melibatkan dua orang yang berinteraksi secara bersemuka.
• Komunikasi kumpulan kecil – himpunan individu yang berinteraksi antara satu sama lain secara langsung atau tidak. Ini adalah proses di mana sesuatu kumpulan bertukar-tukar pendapat.
• Komunikasi umum – melibatkan kumpulan yang lebih besar. Guru perlu berkemampuan menarik perhatian murid dengan nada suara yang menarik, bijak menyusun kata, tegas dan mempengaruhi.
• Komunikasi massa – melibatkan penggunaan alat-alat komunikasi seperti televisyen, radio, internet, akhbar dan majalah.
• Komunikasi bercirikan kekeluargaan – murid digalakkan beralah, menahan rasa marah bagi mewujudkan hubungan yang harmoni.

Guru juga perlu memikirkan cara komunikasi seperti yang berikut supaya komunikasi antara guru dan murid lebih berkesan:

1. Gunakan teknik komunikasi yang jelas.
• Penyampaian secara khusus
• Nyatakan serta merta sesuatu perkara atau teguran
• Jangan buat penilaian terlalu awal sebelum mendengar dan meneliti
• Selaraskan maklumat dengan cara berkomunikasi: apa yang disampaikan mestilah konsisten dan tidak berubah-ubah bagi mengelakkan kekeliruan

2. Tunjukkan penghormatan dan kasih sayang
• Cakap dengan lemah lembut
• Jawab apabila ditanya
• Penuhi permintaan yang munasabah
• Minta bantuan pelajar dengan cara yang sopan
• Sedar kasih sayang lebih berkesan daripada cara yang keras

3. Elakkan menyebut perkataan-perkataan yang negatif. Padamkan rekod negatif dalam minda murid.

4. Kembangkan potensi dan kebolehan murid. Jangan perkecilkan kebolehan murid.

5. Dengar dengan aktif serta berikan perhatian kepada apa yang dituturkan, isi perkataan dan selami serta fahami perasaannya.

6. Nyatakan mesej tidak boleh, secara berhemah dengan cara:
• Beri alternatif
• Beri penjelasan kenapa tidak boleh
• Fahami dan hormati perasaan murid dan tunjukkan perasaan simpati dan empati, terangkan masalah ataupun risiko berkaitan dengan perkara yang ditegah
7. Nasihat

Ketidaktentuan sewaktu berkomunikasi sekaligus mewujudkan ketidakberkesanan dalam hubungan sosial murid. Di sekolah murid dapat memperkembangkan kemahiran sosial bersama rakan-rakan. Tetapi di kalangan murid bermasalah pembelajaran mereka mempunyai masalah bersosial dengan rakan-rakan. Seorang guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran bersosial dikalangan rakan-rakan. Seorang guru boleh:

• Guru boleh melantiknya sebagai ketua kebersihan atau apa saja jawatan yang penting supaya kanak-kanak ini sedar bahawa mereka sentiasa dihargai guru dan rakan-rakan dan menerima mereka sebagai sebahagian daripada ahli kelas. Ini mendorong mereka supaya lebih berani untuk bersuara.
• Sentiasa menghampiri dan memberikannya senyuman setiap masa. Ini mendorongnya rasa seronok untuk datang ke sekolah.
• Sentiasa menegurnya. Walaupun dia sering mengelakkan diri, tegurlah dia supaya dia tahu ada yang sudi bercakap dengannya.
• Galakkan murid-murid lain supaya sentiasa menghampirinya terutama semasa rehat dan di dalam kelas. Ini penting supaya dia sedar, dia tidak bersendirian dan ramai rakan-rakan di sekelilingnya.
• Libatkan kanak-kanak tersebut dalam perbualan seharian seperti bertanyakan aktivitinya pada hujung minggu, bertanyakan makanan kegemarannya atau hobi di masa lapangnya.
• Sentiasa memberikan pujian kepadanya. Kanak-kanak akan merasa bangga apabila dipuji walaupun perkara itu kecil dan menyedarkan dirinya dihargai.

Disamping perkara-perkara di atas, elemen-elemen diri guru juga dapat membantu menyampaikan mesej kepada murid dengan lebih berkesan. Antara elemen yang penting adalah:

Penampilan diri
Ini merangkumi kedudukan kepala, posisi tubuh serta cara berpakaian. Penampilan luar menciptakan kesan murid kepada diri mereka. Pelanggan tertarik membeli barang-barang yang bungkusannya kelihatan menarik. Begitu juga dengan guru, dinilai oleh penampilan peribadinya.
  
Muka
Ia merangkumi kelembutan wajah serta mata iaitu lirikan renungan dan sebagainya, mulut sama ada tersenyum atau tidak. Guru yang digerakkan oleh semangat kelembutan dapat mengarahkan segala tenaganya kepada tindakan dan seterusnya keberkesanan pengajarannya.

Suara
Gaya bercakap terletak kepada suara. Suara mestilah jelas dan lantang. Ada guru yang terlampau cepat bercakap ataupun suaranya tidak kedengaran. Amat penting bagi guru meminta kerjasama murid-muridnya dengan memberitahu kalau-kalau suaranya tidak kedengaran atau percakapannya terlalu cepat. Suara yang jelas dapat menutup jurang komunikasi antara guru dan murid.

Sentuhan
Memegang tangan dan beberapa sentuhan lain antara guru dan murid sangat penting. Sentuhan yang sihat dapat meyakinkan murid kemesraan sudah wujud. Mereka merasa diri mereka disayangi, dihargai dan sebagainya.

Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang merapatkan hubungan antara ibu bapa dan guru sama ada bersifat verbal atau tidak. Walaubagaimanapun, interaksi yang berkesan ini kurang dipraktikkan oleh guru dan ibu bapa kerana sibuk dengan tugasan harian. Guru berperanan untuk menarik perhatian ibu bapa supaya dapat berinteraksi dengan lebih kerap agar segala permasalahan anak dapat dibincangkan. Ibu bapa mestilah dianggap sebagai rakan kongsi yang penting. Guru berperanan supaya penglibatan ibu bapa ini lebih berkesan lagi. Guru haruslah juga melatih diri menjadi pendengar yang baik, belajar mengenal pasti tanda-tanda sedih, marah dan kekecewaan serta bertindak dengan sepatutnya.
 

Sumber: http://childneed6093blogspotcom-sacemo.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!