Monday, June 25, 2012

Guru pendamping murid autisma

MENURUT Pengerusi Nasom, Teh Beng Choon, sistem di sekolah biasa yang menggunakan pembelajaran secara berkumpulan menyebabkan kanak-kanak autisme tidak berupaya menguasai kemahiran asas sosial.

“Kanak-kanak ini memerlukan perhatian lebih berbanding murid normal disebabkan kekurangan dialami dalam memahami setiap perkara dipelajari.

“Masa diambil untuk mengenali sesuatu perkara juga agak lama dan perlu diterangkan secara berulang kali kepada mereka agar lebih jelas dengan maksud perkataan terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Teh berkata, kekurangan pendedahan mengenai autisme dan kaedah serta pendekatan mengajar kanak-kanak autisme menyebabkan guru hanya mengajar mengikut pengalaman dan mengikut logik tanpa mengetahui sama ada cara digunakan itu betul atau salah.

Oleh itu katanya, Nasom mewujudkan satu program integrasi bagi membantu kanak-kanak autisme secara menyeluruh di mana, seorang guru pendamping disediakan untuk memantau dua pelajar autisme di sekolah biasa.

“Dengan kehadiran guru pendamping sekurang-kurangnya dapat memberikan pengawasan kepada pelajar autisme dalam menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran."

“Kanak-kanak ini akan lebih fokus dan berada dalam keadaan terkawal kerana dalam pengawasan tanpa mengganggu pelajar lain,” katanya.

Hingga kini, terdapat 30 guru pendamping disediakan Nasom membantu lebih kurang 70 kanak-kanak autisme menyesuaikan diri dengan persekitaran persekolahan biasa.

Namun, bilangan guru yang sedikit ini memberikan banyak tekanan kepada Nasom dalam mengendalikan kaedah pembelajaran sepatutnya bagi membantu kanak-kanak autisme ini.

“Kami memiliki bilangan kanak-kanak autisme melebihi jumlah guru pendamping dan hanya segelintir mampu diberi perhatian sewajarnya.

“Tetapi ini tidak bermakna masalah ini dipandang sepi begitu saja kerana kami sedang berusaha memastikan jumlah guru berkelayakan bertambah,” katanya.

Bagi memastikan bilangan guru pendidikan khas kanak-kanak istimewa ini bertambah, Nasom mengendalikan program diploma bidang autisme untuk melatih mereka yang berminat.

Bagaimanapun terdapat syarat perlu dipenuhi mereka yang ingin mengikuti pengajian diploma terbabit iaitu mereka dikehendaki bekerja dengan Nasom selama tiga bulan sebelum membuat keputusan meneruskan pengajian ataupun tidak.

“Dengan ini pelatih baru dapat menimba pengalaman mengendalikan kanak-kanak autisme, mendapat biasiswa penuh daripada Nasom dan pada masa sama memperoleh pendapatan daripada khidmat yang dilakukan.

“Kini terdapat dua kumpulan perintis guru berkelayakan mengendalikan kanak-kanak autisme berjaya dikeluarkan Nasom tetapi masih belum dapat memenuhi permintaan sepatutnya. Kami berharap lebih ramai pihak akan membuka mata mengenai perkara ini,” katanya.

Kanak-kanak autisme perlu didedahkan kepada kehidupan dan pergaulan normal bukan bertindak menyisihkan mereka di suatu tempat terasing.

Disebabkan itulah antara cara terbaik merawat kanak-kanak istimewa ini dengan membiarkan mereka bergaul dengan rakan sebaya yang normal sejak awal terutama di sekolah.

“Sekurang-kurangnya mereka belajar berdikari dan mendapat sokongan rakan dalam mengatasi permasalahan sosial yang dihadapi tetapi tetap dengan pengawasan guru pendamping berkelayakan.

“Ini dapat membantu menyediakan mereka untuk masa depan lebih cerah,
” katanya.

Tidak dinafikan, ibu bapa berhadapan cabaran sama berat kerana kos diperlukan untuk merawat kanak-kanak autisme adalah amat tinggi dan tidak ramai daripada mereka berkemampuan.

Ada ibu bapa kecewa selepas gagal ‘mengubah’ anak mereka dan membiarkan kanak-kanak itu membesar tanpa pendidikan sewajarnya.

Kanak-kanak autisme bukan golongan berisiko atau tidak pintar, cuma guru dan ibu bapa tidak tahu cara mendekati mereka.


“Oleh kerana mereka ada masalah perlakuan, pemikiran dan tidak pandai bersosial, perkembangan kanak-kanak autisme lebih perlahan daripada kanak-kanak normal.

Bagaimanapun melalui pendidikan betul, individu autisme boleh belajar di sekolah biasa dan berjaya dalam pelajaran. Malangnya kurang pengetahuan ibu bapa dan guru menyebabkan ramai kanak-kanak autisme membesar di bawah paras kemampuan,” katanya.

Kekurangan kesedaran mengenai autisme turut menyebabkan ibu bapa menyembunyikan hakikat bahawa anak mereka menghadapinya.


Keadaan ini mengakibatkan anak istimewa ini tidak mendapat rawatan serta terapi diperlukan bagi menyediakan mereka untuk masa hadapan.

Jangan beranggapan autisme tidak boleh dirawat kerana jika ia dimulakan sejak awal banyak perubahan boleh dilihat terhadap perkembangan kanak-kanak itu."

Mereka boleh berdikari dan mampu bekerja untuk pendapatan diri dan keluarga tetapi masih tetap dengan pengawasan,” katanya.

Selain itu, katanya sempena Bulan Autisme yang disambut pada April depan, Nasom turut menganjurkan program Autism Walk: Take the Step Forward, Support The Cause pada Sabtu, 2 April, jam 8 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!