Tuesday, June 5, 2012

Menutup aurat sempurna terhindar fitnah, benteng maksiat

 

MENUTUP aurat di sisi agama Islam adalah antara kewajipan bagi setiap manusia yang bergelar Muslim dan Muslimah. Aurat bermaksud bahagian anggota tubuh badan yang wajib ditutup biasanya dengan kain dan ia haram dibuka dan tidak boleh sama sekali dipamerkan di khalayak ramai.

Hal ini kerana anggota tubuh badan yang dibuka itu boleh mendatangkan keaiban dan menimbulkan nafsu syahwat bagi mereka yang memandangnya. Bagi lelaki, aurat mereka ialah dari pusat hingga ke lutut dan bagi wanita pula, aurat mereka ialah keseluruhan tubuh badan mereka kecuali wajah dan tapak tangan. Ini adalah hukum yang telah disepakati oleh kebanyakan ulama berdasarkan dalil yang ada di dalam al-Quran dan hadis.

Pada hakikatnya, menutup aurat ini lebih diambil berat terhadap kaum wanita yang sudah mencapai umur baligh kerana golongan mereka mempunyai paras rupa yang cantik dan boleh menarik perhatian lelaki ajnabi atau lelaki asing dan ini berkemungkinan boleh mendatangkan fitnah. Maka, langkah paling proaktif untuk mengelakkan diri mereka daripada diganggu oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab itu ialah dengan menutup aurat sempurna apabila mereka berada di khalayak ramai. Hal ini disebabkan apabila kaum wanita ini berpakaian menutup aurat, mereka akan dianggap sebagai perempuan yang baik, tidak diganggu oleh kaum lelaki, terhindar daripada fitnah serta secara tidak langsung mereka akan dihormati dan disegani oleh kaum lelaki.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 
Hal ini bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Pemakaian mengikut syarak dalam agama Islam ini sememangnya menjadi benteng kepada seseorang itu daripada terjebak dalam perkara maksiat dan kemungkaran yang ditegah dalam agama. Apabila kita berpakaian dengan tertib dan sopan, kita akan berasa malu untuk melakukan perkara yang mungkar.

Sifat malu ini adalah sebahagian daripada iman dan Rasulullah SAW sendiri telah mengajar dan menggalakkan umatnya supaya berbuat demikian. Sifat malu yang paling utama ialah kepada Allah iaitu mengikuti dan mentaati segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Hal ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman itu ada 70 cabang lebih dan malu adalah salah satu cabang iman”.

Melalui keterangan hadis berkenaan, jelas menunjukkan kepada kita bahawa sifat malu adalah sebahagian daripada iman dan sudah pasti ia pencegah kepada seseorang itu daripada melakukan kemungkaran. Oleh itu, medium untuk mendapatkan sifat malu itu antaranya ialah berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Tanpa sifat malu dalam diri seseorang itu, dia akan bisa melakukan apa saja yang dia suka tanpa mempedulikan lagi suruhan dan larangan daripada Allah Taala.
Hal ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka”. Melalui keterangan hadis Rasulullah SAW itu, kita hendaklah mengetahui bahawa manusia yang tiada sifat malu, dia tidak lagi dianggap sebagai manusia yang normal kerana hanya menurut hawa nafsu dan kehendak hati tanpa berlandaskan syariat yang telah digariskan dalam agama Islam.

Tidak keterlaluan jika kita menyatakan manusia yang tidak mempunyai sifat malu di dalam diri dan sanggup melakukan apa saja yang dia mahukan, umpama binatang kerana tidak mampu menggunakan akal pemikirannya untuk berfikir dalam konteks membezakan apa yang baik dan apa yang buruk.

Bersesuaian dengan firman Allah Taala di dalam Surah Al-A’raaf ayat 179 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami (Allah) jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”

Melalui keterangan ayat Allah itu, kita sedia memahami bahawa manusia yang tidak menggunakan akal dan pancaindera untuk memahami ayat Allah ibarat binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Kita meminta dilindungi Allah dan dijauhkan daripada tergolong sebagai golongan sedemikian bahkan termasuk dalam ahli neraka jahanam. Oleh itu, cara terbaik untuk mengelak diri kita daripada mengikut hawa nafsu, sebaliknya menggunakan akal dan pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah dengan sebaiknya ialah dengan memahami syariat dan ajaran agama Islam.

Antaranya, menutup aurat dengan sempurna di khalayak ramai sebagai menunjukkan bahawa kita adalah kalangan manusia yang memahami dengan hati, melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga ayat Allah Taala serta mempraktikkan ajaran agama yang telah disyariatkan oleh utusan-Nya, Rasulullah SAW.

Menutup aurat dengan sempurna di khalayak ramai baik lelaki mahupun perempuan ini mempunyai kelebihan dan kebaikan yang sememangnya kita tidak dapat nafikan dan ia adalah suruhan mulia yang sangat dituntut dalam agama Islam. Sesungguhnya, menutup aurat dengan sempurna di khalayak ramai memberi kelebihan dan ada kebaikannya yang tersendiri. Dalam solat, kita dikehendaki berpakaian menutup aurat dengan sempurna agar solat yang kita dirikan itu sah dan diterima oleh Allah Taala. Begitu juga dalam soal pemakaian di luar solat, pemakaian menutup aurat dengan sempurna itu adalah sebaik-baik tuntutan dalam yang bertujuan mendapat keredaan Allah.

 Sumber: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!