Friday, June 15, 2012

Survival seorang anak talasemia






MELIHAT kematian di hadapan mata pada setiap hari bukanlah satu perkara yang mudah. Meskipun, individu yang mati itu tidak mempunyai pertalian persaudaraan, namun hati jururawat ini akan tersentuh apabila melihat pesakitnya menemui ajal.

Begitupun, demi tugas, Than Yu Yee, 64, menggagahkan diri dan tabah mengharungi cabaran sedemikian dalam kehidupan sehariannya.

Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun menjaga pesakit talasemia, wanita yang tidak lekang dengan senyuman mengakui melihat pesakitnya ‘pergi’ seorang demi seorang amat sukar untuk dilupakan.
Lebih memilukan apabila rata-rata pesakit yang menemui maut dalam lingkungan usia 5 hingga 12 tahun.

“Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya apabila mereka meninggal dunia. Tetapi apakan daya, ajal dan maut di tangan Tuhan,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Kecemerlangan pesakit talasemia sempena sambutan Hari Talasemia Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang telah memberikan perkhidmatan terbaik selama 20 tahun bagi membantu pesakit talasemia.


YU YEE (dua dari kanan) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi penjagaan pesakit talasemia oleh Tiong Lai baru-baru ini.



Menyorot cerita bagaimana beliau boleh berkecimpung dalam bidang kejururawatan, anak jati Raub, Pahang itu mengakui mungkin sudah takdir dalam hidupnya untuk bergelar jururawat.
“Ia bukan kerana kedua ibu bapa saya, tetapi atas pilihan saya sendiri,” tuturnya yang telah mula berkhidmat sebagai jururawat sejak tahun 1976 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menerima pendidikan dari Hospital Universiti Lewisham, London selama lima tahun (1969-1974) termasuk menjalani latihan di hospital yang sama, beliau mengakui perasaan hiba tidak boleh disembunyikan apabila melihat kematian dalam kalangan pesakitnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui jumlah kematian kira-kira 20 tahun lalu lebih tinggi disebabkan pesakit tidak mampu menanggung kos perubatan.

“Oleh kerana tidak mampu membiayai kos rawatan, mereka tidak dapat hidup lama,” ujarnya lagi.
Begitupun, kini segala-galanya sudah berubah apabila kerajaan menyediakan perubatan kepada pesakit talasemia secara percuma.

Penyediaan perubatan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga pesakit, malah pesakit kini boleh hidup lebih lama.

Selain itu, mereka juga mampu berjaya dalam pendidikan seperti insan normal yang lain.
Bukan halangan

Nurshafiqah Muhammad Hafiz, 13, yang telah menghidap penyakit talasemia sejak berumur tiga tahun antara contoh pesakit yang tidak patah semangat untuk berjaya.

Anak sulung itu berjaya membuktikan talasemia bukanlah titik noktah hidupnya apabila memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Menurut bapanya, Muhammad Hafiz Abdullah, 43, walaupun mengetahui keadaan anaknya yang sukar untuk menumpukan sepenuh masa kepada pelajaran, tetapi dia dan isteri bersyukur kerana akhirnya satu-satu anaknya itu berjaya.

“Kami akan memastikan dia mengambil ubat-ubatan secara teratur dan menjaga pemakanan sehariannya,”ujar Muhammad Hafiz.

Berkongsi mengenai penyakit Nurshafiqah itu, dia memberitahu anak merekamenghidap talasemia kerana mereka (pasangan suami isteri) merupakan pembawa talasemia atau dipanggil talasemia minor.

Pada mulanya, dia dan isteri tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit itu sehinggalah anak mereka telah berusia tiga tahun.

“Ketika itu, Nurshafiqah sering kali selesema dan pucat. Oleh itu, doktor mengesyaki dia menghidap penyakit talasemia dan kami berdua disarankan menjalani pemeriksaan darah. Selepas menerima keputusan, barulah kami mengetahui kami pembawa talasemia,”jelasnya.

Tambah kakitangan swasta berkenaan, pada masa itu dia sendiri tidak mengetahui dan mendengar mengenai penyakit tersebut.

“Memang terkejut namun, kami tidak berputus asa untuk menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain,” ujarnya sambil memberitahu mereka tiga anak beranak mengambil ubat jenis Desferrioxamine.

Oleh itu, mereka akan mengurangkan pengambilan pemakanan seperti daging kerana mengandungi zat besi yang tinggi.



PESAKIT talasemia terpaksa melakukan transfusi darah dan mengambil ubat Desferrioxamine setiap hari.


“Boleh dikatakan sebulan sekali sahaja kami akan makan daging itupun jika teringin untuk makan makanan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap individu yang ingin mendirikan rumah tangga supaya menjalani ujian penyakit talasemia bagi menghindarkan anak-anak mereka menghidap penyakit berkenaan.
Menurutnya, penyakit tersebut boleh dicegah sekiranya orang ramai peka terhadap penyakit tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!