Tuesday, July 24, 2012

Terapi buat si istimewa

Terapi Pertuturan

HATI mana tidak pilu apabila anak dilahirkan tidak cukup sihat seperti kanak-kanak lain. Tidak mampu bergerak sendiri disebabkan kesukaran melakukan pergerakan otot seperti menegakkan badan serta tidak mampu bercakap akibat kerosakan pada kawasan motor dalam otak.

Ini antara kesukaran dialami kanak-kanak pesakit cerebral palsy (CP) atau lumpuh otak yang sentiasa memerlukan perhatian rapi 24 jam daripada ibu bapa.

Pun begitu, kemajuan teknologi perubatan kini mampu memberi sinar baru buat pesakit CP apabila pelbagai teknik terapi diperkenalkan khusus buat mereka.

Di pusat jagaan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Tasputra Perkim di Ampang Hilir, pelbagai jenis terapi khas disediakan untuk kanak-kanak istimewa ini.


Pengerusinya, Elahe Norman, berkata 52 kanak-kanak pelbagai bangsa ditempatkan di pusat jagaan itu.

“Di sini, majoriti adalah kanak-kanak CP berusia antara dua hingga 18 tahun. Alhamdulillah, sehingga kini kami tidak pernah menerima aduan atau rungutan daripada ibu bapa.

“Sembilan jenis terapi disediakan iaitu aromaterapi, akuaterapi, hippoterapi, urutan, terapi muzik, terapi pekerjaan, fisioterapi, snoezelen dan terapi pertuturan,” katanya ketika ditemui pada majlis kerjasama Procter and Gamble (P&G) bersama Guardian dan pasar raya Giant bertujuan meraih dana sebanyak RM150,000 untuk membantu kanak-kanak berkenaan.


JENIS TERAPI




  • Aromaterapi

    Menggunakan minyak pati untuk melakukan urutan ke atas kanak-kanak bagi menyegarkan dan merangsang mereka. Ia juga membantu merawat ketegangan pada otot.

  • Akuaterapi

    Kanak-kanak diajar berenang setiap hari di kolam renang pusat jagaan itu serta bersenam sambil dibantu penjaga. Ini membantu mengembangkan keupayaan mobiliti dan pada masa sama, berseronok dengan aktiviti luar rumah.

  • Hippoterapi

    Setiap minggu, kanak-kanak menunggang kuda kecil secara bergilir-gilir. Ini menguatkan postur badan, mengawal posisi kepala dan baik untuk keseimbangan, selain membantu meningkatkan koordinasi. Kelas ini diadakan setiap pagi Rabu dan dikelolakan sukarelawan daripada ‘Riding for the Disabled’ yang beroperasi di Kelab Polo Diraja Selangor.

  • Urutan

    Seorang pakar fisioterapi melakukan urutan ke atas enam hingga lapan kanak- kanak istimewa setiap Isnin, Rabu dan Jumaat untuk meningkatkan fleksibiliti, mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan pengaliran darah secara amnya.

  • Terapi muzik

    Sukarelawan bermain organ dan menyanyi dengan kanak-kanak setiap minggu. Ini terbukti sebagai sumber hiburan yang mempunyai nilai terapeutik. Mereka turut serta bermain dram dan alatan lain.

  • Terapi pekerjaan

    Graduan muda tempatan mengendalikan terapi pekerjaan, mengajar kemahiran asas kepada kanak-kanak serta melatih pekerja dan sukarelawan lain cara membantu. Graduan bekerjasama dengan pakar fisioterapi untuk memastikan kanak-kanak mendapat kebaikan maksimum kemahiran mental dan fizikal seharian.

  • Fisioterapi

    Pusat jagaan juga mempunyai pakar fisioterapi sendiri, yang bekerjasama dengan kanak-kanak di samping melatih pekerja dan ibu bapa dalam teknik terapi berterusan. Tasputra juga mempunyai beberapa pakar dari luar negara di dalam bidang ini yang membuat lawatan dari semasa ke semasa untuk membantu.

  • Snoezelen

    Tasputra adalah pusat jagaan pertama menggunakan secara aktif cara terapi berasal daripada Belanda ini. Ia dicipta untuk merangsang lima deria iaitu penglihatan, bau, sentuhan, rasa dan pendengaran. Ia menggunakan kombinasi unik alunan muzik yang mendamaikan, getaran lembut, sensasi sentuhan dan aromaterapi di dalam suasana selamat dan terjamin.

  • Terapi pertuturan

    Terapi ini bukan hanya membantu seseorang bertutur, malah membantu pergerakan tubuh yang penting seperti menelan.


  • Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
    hidayatulakmal@hmetro.com.my

    No comments:

    Post a Comment

    Tempah IKLAN anda di sini

    IKLAN
    IKLAN
    IKLAN
    IKLAN
    Advertise Now!