Wednesday, July 11, 2012

Ujian seorang ibu

walaupun kesihatan tidak mengizinkan, Muhammad Amir dan Nur Fatihah tetap ingin ke sekolah seperti kanak-kanak lain.

SETIAP manusia diberi ujian yang berbeza-beza. Baik kesenangan, kesusahan mahupun penyakit yang dideritai, segala-galanya bertujuan menguji ketahanan dan kekuatan dalam mengharungi kehidupan.

Begitulah juga dengan nasib seorang suri rumah, Adiana Othman, 34, yang bukan sahaja miskin harta tetapi juga terpaksa menderita menanggung tiga orang anak yang menghidap penyakit kronik sejak beberapa tahun lalu.

Dia sekeluarga yang menetap di Kampung Indah, Selayang Baru, Selangor, memberitahu, episod malang dalam hidupnya bermula apabila ketiga-tiga anaknya, Nurul Huda, 12, Muhammad Amir, 11, dan Nur Fatihah, 8, disahkan menghidap penyakit kronik.

Anak sulungnya, Nurul Huda menghidap penyakit kencing berdarah dan tiroid tahap empat sejak dua tahun lalu dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Anak keduanya, Muhammad Amir pula mengalami masalah salur pundi kencing yang tidak berfungsi sejak berusia enam tahun.

Manakala anak ketiganya, Nur Fatihah dikesan mengidap penyakit kanser tulang pada Januari lalu.
Menurut Adiana, penyakit yang 'menyerang' anak-anaknya itu amat membimbangkan kerana selain memerlukan sepenuh perhatian, kos perubatan dan rawatan bagi ketiga-tiganya amat tinggi.

Katanya lagi, sudah pasti keadaan tersebut amat memeritkan dan situasi menjadi bertambah sayu apabila Adiana dan suami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menangis setiap kali melihat anak-anak dilanda kesakitan.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa juga tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam menguruskan rumahtangga memandangkan ketiga-tiga anaknya memerlukan sepenuh perhatian daripadanya.

"Ketiga-tiga anak saya menghidapi penyakit yang berbeza. Terus terang saya katakan mereka amat memerlukan sepenuh perhatian daripada saya.

"Seperti Amir, dia memerlukan tiub bagi memudahkannya untuk membuang air kecil dan tiub ini perlu ditukar empat jam sekali.

"Manakala Nurul Huda pula akan batuk berterusan dan ada ketikanya akan mengeluarkan darah. Sementara Nur Fatihah tidak boleh dilanggar atau terlanggar yang boleh mengakibatkan kesakitan teramat pada dirinya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Tambahnya, penyakit Amir akan menjadi lebih serius sekiranya dia tidak menggunakan tiub kerana tanpa tiub Amir tidak dapat kencing dengan lawas.

Keadaan itu akan menyebabkan baki air kencing naik ke buah pinggang dan akan menyebabkan komplikasi.
Untuk itu doktor mencadangkan supaya Amir membuang air kecil menggunakan tiub.

Berikutan daripada keadaan itu, tanggungjawab mengurus rumahtangga termasuk menjaga anak-anak turut sama digalas suami, Zamary Adam, 43.

Dengan hanya bekerja sebagai penjaga stor di Rawang dengan pendapatan RM1,500 sebulan, jelas Adiana, ia masih tidak mencukupi memandangkan ketiga-tiga anaknya memerlukan sekitar RM15,000 sebulan untuk menanggung kos ubat-ubatan, rawatan dan juga pengangkutan.

Ini kerana setiap bulan ketiga-tiga anaknya akan dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat keadaan anak-anak yang terpaksa menanggung kesakitan pada usia muda.

"Tambahan pula mereka begitu teruja hendak bersekolah seperti kanak-kanak lain tetapi apakan daya keadaan tidak mengizinkan.

"Walaupun tidak sempurna seperti orang lain, mereka begitu bersemangat untuk ke sekolah," katanya.
Untuk itu, Adiana amat berterima kasih kepada guru besar dan guru-guru Sekolah Rendah Selayang Baru (1) kerana perhatian yang diberikan kepada anak-anaknya.

Setakat ini, Adiana sekeluarga menerima bantuan bulanan sebanyak RM510 daripada Pusat Zakat Selangor tetapi bukanlah dalam bentuk wang tunai, sebaliknya berbentuk barangan keperluan anak-anaknya.

Akibat daripada kesempitan wang, Adiana kadangkala terpaksa 'tebal muka' meminjam duit daripada ahli keluarga terdekat sama ada untuk membeli ubat, barangan keperluan rumah ataupun rawatan anak-anaknya.

Bagi mereka yang sudi membantu keluarga ini boleh menghubungi Adiana menerusi talian 013-2934873.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!