Sunday, August 26, 2012

Kata-kata ibu itu doa

SEBAIKNYA tegurlah kesalahan ibu, namun jika tidak berdoa dan bersabarlah.


















APAKAH yang perlu dilakukan oleh seorang anak yang berdepan dengan ibu yang suka memaki hamun anaknya dengan perkataan yang amat mengguris hati seperti celaka, sial, binatang, jahil, laknatullah dan sebagainya hanya kerana kesilapan kecil seperti terlupa untuk menyapu sampah, menutup paip air dan seumpamanya. Walhal ibu tersebut telah mengerjakan haji dan umrah beberapa kali. Apa yang perlu dilakukan selain bersabar dan berdoa?


JAWAPAN: 

PERTAMANYA, saya ucapkan tahniah kepada yang bertanya kerana masih bersabar atas kerenah ibu anda yang menyakiti hati anaknya, namun anda masih bersabar dan tetap berterusan berdoa.

Di sini saya mengingatkan para ibu khususnya, ingatlah yang sesungguhnya bukan anak sahaja yang dikira derhaka jika menyakiti hati ibunya, tetapi ibu juga dikira berdosa dan zalim jika menyakiti hati anaknya.

Sesungguhnya, doa ibu ialah doa yang paling makbul maka setiap perkataan ibu itu merupakan doa. Bayangkanlah wahai para ibu jika salah satu ucapan yang buruk sang ibu menjadi doa yang dimakbulkan Allah? Bukankah merana hidup si anak?

Wahai para ibu janganlah ditukar syurga yang berada di telapak kaki ibu itu menjadi neraka kepada para anak!

Adapun bagi si anak, tiada jalan melainkan jika mampu menegur si ibu, namun jika tiada jalan untuk menegur, teruskanlah berdoa dan bersabar. Janganlah pula berputus asa dan bertindak menderhakai ibu.

Insya-Allah pasti akan terbit jalan bahagia untuk si anak di dunia mahupun akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:"...maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun).

Persoalan ibu telah mengerjakan haji atau umrah itu berkaitan tentang ibadahnya kepada Allah. Maka, barang siapa yang baik hubungannya dengan Allah, tetapi masih buruk hubungannya dengan makhluk maka ia dikira buruklah hubungannya dengan Allah walaupun ibadah bergunung banyaknya.

Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada ibu anda agar dapat memperbaiki hubungan dengan anda.

Sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!