Friday, August 10, 2012

Rebutlah malam Lailatulqadar

UMAT Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah untuk merebut fadilat sepanjang bulan Ramadan. - Gambar hiasan


PADA bulan mulia ini terdapat satu hadiah yang terbesar buat kita umat akhir zaman, umat Muhammad SAW iaitu malam Lailatulqadar.

Allah berfirman melalui naskhah cintanya dalam surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Al-Qadr.

Dan apakah engkau mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadr itu?

Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun para malaikat dan Jibril dengan izin Allah untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

Mengapa Allah berikan Lailatulqadar kepada kita? Jawapannya, kita umat akhir ini iaitu umat Muhammad SAW tidak panjang umurnya seperti umat-umat terdahulu.

Rasulullah SAW bersabda: "Umur umatku dari 60 hingga 70 tahun."

Oleh itu, Allah menghadiahkan ke atas umat Rasulullah SAW satu malam yang jika sesiapa yang beramal soleh dan menjadi tetamu malam Lailatulqadar itu akan beroleh pahala seperti beramal sepanjang 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Banyak pandangan dan pendapat sahabat serta ulama mengenai pencarian malam Lailatulqadar.

Menurut pandangan Imam Ghazali, Lailatulqadar boleh diketahui melalui:

Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka Lailatulqadar pada malam 29 Ramadan
Jika awal Ramadan pada Isnin, Lailatulqadar pada malam 21 Ramadan

Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka Lailatulqadar pada malam 27 Ramadan

Jika awal Ramadan pada Khamis, Lailatulqadar pada malam 25 Ramadan

Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka Lailatulqadar pada 23 Ramadan


Lailatulqadar itu juga boleh dikenali dengan beberapa tanda yang dikhabarkan oleh ulama.

Malam itu langitnya kelihatan suci bersih, bulan bercahaya segar dan indah, suasananya nyaman, tidak sejuk serta tidak panas.

Langit tidak diganggu, bintang dan terbit matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya putih yang tidak terik seperti cahaya bulan purnama.

Bagaimanapun hanya Allah Yang Mengetahui hakikatnya. Ini hanya sekadar perkongsian, tidak semestinya ia berlaku demikian.

Saidatuna Aisyah RA berkata: "Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, jika aku mengetahui (tibanya) Lailatulqadar, apa yang ku baca ketika itu?

Rasulullah SAW menjawab: "Bacalah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunkanlah (kesalahanku)." (Riwayat Tirmizi, An Nasai, Ibnu Majjah dan lain-lain)

Sesungguhnya alangkah indahnya jika kita mula beramal dari awal Ramadan hingga ke akhirnya.

Insya-Allah Lailatulqadar pasti akan berlaku pada satu malam pada bulan Ramadan dan pasti tidak terlepas daripada bertemu Al-Qadr dengan izin Allah Tuan Yang Empunya Malam.

Sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!