Sunday, September 2, 2012

Cabaran besar didik anak istimewa

Kanak-kanak autisme perlukan perhatian, bimbingan dan sokongan
BUDAK lelaki itu sememangnya comel. Berkulit cerah, rambut nipis keperangan dengan mengenakan baju Melayu biru biji kundang, menyerlahkan lagi sisi bergaya dalam dirinya. 
Gelagatnya juga menghiburkan sesiapa saja yang melihatnya. Bibirnya pula sentiasa menguntum senyuman. Segala-galanya tampak sempurna seperti anak sebaya usianya.

Tetapi, apabila lensa jurufoto New Straits Times Press (NSTP), Saifulizan Tamadi, tiba-tiba terjatuh, di depannya ketika ingin merakam gambar bersama ibunya, ramai mata berpaling ke arahnya kerana, dia tiba-tiba tergelak besar tanpa henti.

“Ammar memang macam inilah, dia akan ketawa biarpun sesuatu perkara itu tidak melucukan. Itulah ‘tanda’ normal kanak-kanak autisme,” kata ibunya, Nuraihan Hamsiah Abdul Salam, 33, memberikan penerangan ‘perbezaan nyata’ ditunjukkan anaknya itu.

Muhammad Ammar Lutfi Muhammad Yusri, 6, antara satu dalam ribuan komuniti autisme di dunia ini. Ia bukanlah jenis kecacatan luar biasa, apabila statistik menunjukkan seorang daripada setiap 150 kanak-kanak yang lahir mempunyai autisme tipikal. Bilangan kanak-kanak autisme juga dilaporkan meningkat 30 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Namun, Ammar dikira amat bertuah kerana ibu dan ayahnya, Muhammad Yusri Adam, 34, cepat mengenal pasti dia mengidap autisme seawal usia tiga tahun, lantas mengambil jalan bijak, menghantarnya ke kelas khas memperbaiki kekurangan dirinya.

Lantaran kini, kemampuan Ammar juga membanggakan, pada usia sebegitu, dia mampu menguruskan diri dengan baik termasuk ke bilik air dan memakai pakaian tanpa dibantu. Pertuturannya juga semakin difahami.

“Sebelum ini, Ammar mudah marah dan naik angin apabila keinginan diri tidak dipenuhi. Dia tidak bercakap sebaliknya mengeluarkan bunyi seperti em..em..jadi bagaimana kita nak faham? Mulalah dia akan marah.

“Tetapi hari ini, Alhamdulillah, dia semakin ok dan tidak mudah marah lagi. Apabila ingin makan dan minta sesuatu, dia boleh sampaikan dengan baik kepada kami. Kalau ingin ke bilik air, sudah pandai lakukan sendiri dan faham bagaimana untuk membuang najis. Sebelum ini memang payah nak suruh dia duduk atas mangkuk tandas sebab tidak suka dengan ‘proses’ berkenaan. Hari ini segala-galanya lebih mudah untuk Ammar dan saya,” katanya yang nyata begitu sabar melayani si kecil.

Autisme ialah kekurangan yang menjejaskan proses komunikasi dan pembelajaran seseorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, jika dikesan awal, pembabitan keluarga dan kaedah pendidikan sesuai, masalah anak autisme boleh diuruskan dengan baik.

Nuraihan berkata, Ammar kini belajar di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Setia Alam, Klang, selain turut mengikuti kelas terapi pengucapan secara berkala.

Berkongsi kisah, Nuraihan berkata, beliau menetap lama di Jepun mengikut suaminya berkhidmat di sana dan mula mengesan kekurangan anaknya ketika berada di negara terbabit.

“Pada usianya tiga tahun, dia lambat bercakap. Tapi ketika itu kami sangka ia biasa bagi kanak-kanak lelaki.
Percampuran bahasa antara Melayu, Inggeris dan Jepun juga memungkinkan dia keliru, itu fikir saya.

“Tapi yang saya amat perasan, bila bermain sesuatu, dia suka menyusun. Blok mainan atau duit syiling, biasanya budak-budak sebayanya suka membentuknya menjadi objek tertentu atau disepah saja, tetapi dia sebaliknya. Dia akan susun menjadi cantik. Tidak kiralah secara memanjang atau bagaimana bentuknya yang pasti susunan itu tampak amat sempurna untuk kanak-kanak kecil pada usia dua atau tiga tahun. Saya pernah cuba alihkan susunan yang dilakukannya itu, tetapi akan marah teramat sangat.

“Kalau anak lain tidak kisah mainan atau pensel warnanya hilang, Ammar pula akan menunjukkan susunan dalam kotak warna, pensel yang hilang itu tanpa henti dalam emosi marah dan amat serius. Malah jika mainan hilang atau rosak seperti roda kereta tidak berfungsi, ia melihatnya sebagai suatu yang serius. Mungkin orang lain, melihat aksinya itu sebagai sesuatu yang menghiburkan, tetapi tidak bagi kami. Kami sedih serta tertekan dengan perbuatannya itu,” katanya.

Memasuki ‘playschool’ di Jepun dengan keadaan semua kanak-kanak mendengar arahan guru, seperti beratur, bermain baik-baik dengan rakan, Ammar sebaliknya dicop ‘nakal’ bila dia enggan mengikut aturan diberikan.

“Pernah Ammar main sorok-sorok dengan kawannya, tetapi apabila kawannya menyorok dan lari daripada dirinya, dia menangis dan menyangkakan kawannya tidak mahu bermain dengannya. Melihatkan dirinya yang berbeza itulah yang menguatkan semangat saya dan suami untuk mencari jalan menghantarnya ke kelas khas.

“Di Jepun yuran ke sekolah khas sangat mahal. Satu sesi kira-kira RM300. Justeru, kami memutuskan untuk kembali ke ibu kota kerana yuran dikenakan NASOM masih dalam kemampuan kami. Kami amat gembira dengan perubahan serta perkembangan dilalui Ammar,” katanya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Ammar. Walaupun terpaksa berhenti kerja, beliau reda demi kebaikan permata hatinya itu.

Selain kelas, Ammar memerlukan perhatian penuh ibunya termasuk dibacakan buku cerita atau ‘dilawan’ cakap supaya aspek komunikasinya cepat berkembang. Ammar suka melukis dan gemar menunjukkan lukisan berwarna-warni hasil nukilannya, bertemakan keluarga bahagia.

Bagi Nuraihan, setiap ibu bapa perlu peka dengan perubahan dihadapi anaknya dan jika guru atau orang sekeliling mengatakan anak autisme nakal atau degil, ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah.

Kerjasama dengan guru atau berusaha sendiri untuk merujuk anak ke pakar kanak-kanak kerana dengan usaha sedemikian saja dapat mengesan kekurangan di hadapi mereka.

“Autisme adalah kekurangan berpanjangan, justeru, dapatkan bantuan supaya si kecil dapat hidup lebih sempurna dan tidak janggal di mata orang lain. Hakikatnya tanggungjawab membesarkan anak autisme memang amat mencabar serta banyakkan sabar dengan kerenah si kecil.

“Walaupun kawan dan keluarga mungkin cuba menyokong, tetapi mereka tidak dapat memahami kesukaran dalam membesarkan anak autisme. Orang ramai boleh mengkritik ibu bapa saja dan dan segala-gala keperitan itu ditanggung sendiri,” katanya meluahkan rasa dan tidak pernah lupa berdoa ketika bersolat supaya terus diberi kekuatan.

Nasihat beliau, kanak-kanak seperti ini kadangkala garang tidak bertempat. Justeru, ibu perlu memahami dan tidak malu menerangkan orang ramai mengenai anak autisme kerana dengan membuka mulut dan memberitahu orang ramai mengenai keadaan anak, boleh mendidik mereka mengenai autisme.

“Mereka juga sebetulnya memerlukan sokongan. Ibu bapa tidak seharusnya melihat mereka sebagai ‘berbeza’ kerana mereka sebenarnya istimewa. Menyertai persatuan berkaitan autisme juga antara cara terbaik mendekati, memahami atau berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang mempunyai anak berkenaan,” katanya.


INFO

Autisme



  • Disifatkan sebagai kurang upaya sepanjang hayat yang menghalang perkembangan pembelajaran, komunikasi, bahasa, emosi dan sosial kanak-kanak. Ia biasanya muncul dalam tempoh 30 bulan pertama kehidupan insan.
  • Autisme berbeza antara kanak-kanak dan dari semasa ke semasa. Simptom yang biasa dialami ialah masalah tidur, makan dan masalah pergi ke tandas, memudaratkan tingkah laku sendiri, suka melakukan sesuatu secara berulang-ulang dan tingkah laku stimulatory. (self-stimulatory behavior).
  • Penghidap autisme mempunyai pelbagai keupayaan intelek. Selalunya, mereka boleh menunjukkan kebolehan luar biasa dalam kemahiran matematik, mekanikal, muzik, menghafal dan sebagainya.
  • Statistik menunjukkan seorang dalam setiap 150 kanak-kanak yang lahir mempunyai autisme tipikal. Bilangan kanak-kanak dengan autisme amat mengejutkan bila ia meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu.

    Faktor:
  • Autisme berlaku tanpa mengira sempadan etnik, masyarakat, status sosial ekonomi, latar belakang pendidikan dan gaya hidup. Tiada punca sebenar kenapa ia berlaku.
  • Empat kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding perempuan.

    Kenapa masyarakat perlu ambil berat
  • Autisme berlanjutan sepanjang hayat. Ia mempengaruhi setiap aspek kehidupan manusia, malangnya hingga kini belum ada penawar ditemui.
  • Satu dalam setiap 150 orang kanak-kanak lahir mempunyai autisme tipikal.
  • Satu dalam setiap 100 kanak-kanak mempunyai gangguan dalam spektrum autistik.

    NASOM
  • Ditubuhkan 1986 oleh sekumpulan ibu bapa dan profesional. Didaftarkan, 3 Mac 1987, sebagai pertubuhan kebajikan sukarela kebangsaan dan bertujuan menyediakan pendidikan, bantuan, jagaan dan perlindungan bagi anak autisme dan ahli keluarga mereka.
  • NASOM menubuhkan 14 Program Intervensi Awal dan tiga Program Vokasional bagi orang yang disengajakan dengan autisme di Malaysia.
  • Mempunyai misi menyokong hak orang autisme dan memberikan peluang mereka belajar dan menjalani kehidupan yang produktif dan memuaskan.
  • Antara matlamat penubuhannya untuk mengenal pasti dan menggalakkan rawatan, pendidikan, kebajikan dan penerimaan orang autisme; mengawasi dan melindungi orang autisme; memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga menghidap autisme dan menjadi sumber berguna dalam kajian penyelidikan dan pembangunan kaedah, terapi, rawatan autisme serta masalah berkaitan. 

  • Sumber: Bharian