Wednesday, September 26, 2012

Catur pelajar istimewa


PERMAINAN catur menajamkan kemahiran minda dan fokus pelajar istimewa ini.


SEORANG pemain tekun melihat buah catur, sementara lawannya mengerut dahi tanda berfikir panjang.

Dua watak itu menunjukkan kematangan dan sikap profesional pemain catur biarpun mereka baru berusia belasan tahun.

Setiap langkah diatur sebaik mungkin mengikut hukum permainan catur, apatah lagi permainan catur menuntut strategi tersendiri untuk menewaskan lawan.

Hakikatnya, dua remaja itu bersama-sama 14 pelajar yang terlibat dalam pertandingan catur tersebut bukanlah remaja biasa.

Mereka merupakan insan istimewa yang mengalami masalah lembam, terlalu aktif dan kegagalan memberi tumpuan.



Pertandingan Catur Pelajar-Pelajar Istimewa Jabatan Pendidikan Khas Negeri Terengganu yang berlangsung di Hotel Permai, Kuala Terengganu itu turut menampilkan pelajar yang mengalami masalah disleksia.

Pesakit disleksia nampak normal seperti orang lain. Namun, masalah mereka adalah dari segi bahasa. Mereka menjadi keliru dengan huruf yang seakan-akan sama dari segi zahir penglihatan dan bunyinya.

“Saya suka sangat bermain catur kerana fikiran saya akan tenang dan saya boleh fokus untuk melakukan sesuatu,” kata seorang peserta, Anas Bazli Alias dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu.

PESERTA beraksi bak pemain profesional biarpun menghidap autisme dan disleksia.


Apa yang pasti, saat memulakan gerakan pertama buah catur setiap kanak-kanak istimewa itu sama seperti remaja lain yang sihat dan normal.

Bak seorang pahlawan, setiap masa digunakan sebaik mungkin untuk merencana langkah sekali gus memerangkap lawan.

Paling menarik, tiada watak autisme, disleksia dan lembam dipamerkan pada wajah kanak-kanak itu. Sebaliknya mereka tampil sebagai manusia sempurna dalam permainan yang cukup menguji minda.

“Kita kagum dengan kebolehan pelajar istimewa ini dalam menguasai permainan catur kerana permainan ini memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi dan dalam masa yang sama, ramai pelajar normal tidak tahu bermain catur,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Yusof Awang Hitam.

Yusof yang merupakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir melihat pertandingan itu lebih bersifat menyedarkan masyarakat agar golongan pelajar istimewa tersebut tidak dipinggirkan dalam segala bentuk kehidupan.

Katanya, pelajar istimewa sebegini perlu mendapat pendidikan khas mengikut keperluan masing-masing dan tidak disogokkan dengan pendidikan biasa yang mungkin akan memberi kesan kepada keupayaan mereka.

Menurutnya, pertandingan catur itu yang dianjurkan bersama Hotel Permai dengan sokongan daripada Unit Pendidikan Khas merupakan satu langkah bijak ke arah menguji keupayaan pelajar-pelajar terbabit.
Sepanjang pertandingan itu, 14 pelajar istimewa yang terlibat tampil dengan gaya tersendiri.

Ada yang lebih suka mendiamkan diri sementara ada pelajar lain sentiasa bergelak-ketawa.
Apapun, misi pelajar itu tetap satu iaitu menampilkan kebolehan diri yang selama ini tidak diketahui oleh umum.

“Kita sengaja mengadakan pertandingan di sebuah kafe berbanding di dewan kerana inilah masanya untuk kita melayan pelajar istimewa ini.

“Kita mahu mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan kerana mereka juga insan yang perlu diberi perhatian. Inilah antara visi hotel kami iaitu menjadikan setiap insan itu sebagai tetamu,” kata Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali.

Sementara itu, seorang guru, Mohd. Zuhairi Mazlan menjelaskan, penglibatan pelajar istimewa dalam pertandingan seumpama itu merupakan satu cara untuk membentuk minda dan penumpuan mereka.

Jelasnya, ada peserta yang memang sukar memberi tumpuan semasa berada dalam bilik darjah, namun tiba-tiba berubah apabila lebih fokus ketika bermain catur.

MOHD. AMIR ZULHILMI (berdiri enam dari kanan) yang mendapat tempat pertama bergambar dengan tetamu dan peserta lain dalam Kejohanan Catur Pelajar-pelajar Istimewa Jabatan Pendidikan Khas Terengganu.


“Misalnya seorang peserta dari sekolah saya, dia menjalani latihan selama seminggu sebelum menghadapi pertandingan ini. Di sekolah, dia berlatih dengan berlawan dengan komputer,” katanya.

Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan sehari itu ialah SMK Ketengah Jaya Dungun, SMK Tun Telanai, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMK Bukit Besar, SK Pusat Bukit Besar, SK Gong Nangka, SK Seri Geliga dan SK Seri Gelugor.

Selepas melalui lima permainan, pelajar istimewa dari SK Pusat Bukit Besar, Mohd. Amir Zul Helmi diumumkan sebagai pemenang dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300, hamper serta baucar penginapan hotel.

“Saya baru sahaja berjinak-jinak dalam permainan catur dan saya berbangga kerana tergolong dalam kelompok manusia yang pandai bermain catur,” kata Mohd. Amir yang mengalami masalah lembam.

Sumber:  MUSTAPA LAKAWA kosmo

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!