Sunday, October 28, 2012

Gincu bibir beracun


KAUM hawa harus lebih berhati-hati apabila memilih gincu bibir. - Gambar hiasan


RAMAI wanita yang berasa kurang selesa tampil di khalayak ramai tanpa mengenakan secalit gincu di bibir mereka, tetapi mereka tidak sedar bahan penyeri bibir itu sebenarnya berbahaya.

Hasil penyelidikan terbaharu mendapati, gincu bibir yang tahan lama mungkin mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Contohnya, triklosan yang digunakan sebagai pengawet dalam gincu mempunyai kaitan dengan masalah jantung dan otot. Bahan kimia itu juga telah mencetuskan kebimbangan yang ia menyebabkan bakteria menjadi kebal kepada antibiotik dan bertukar menjadi superbug.

Penyelidikan terbaharu pada triclosan menunjukkan bahawa ia boleh menghalang otot termasuk jantung daripada menerima isyarat otak.

Menurut seorang penyelidik dari Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS), Prof. Ishak Pessah, triklosan mengurangkan sebanyak 25 peratus fungsi jantung dalam tempoh 20 minit pada tikus makmal.

Beliau memberi amaran terdapat bukti kukuh bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan manusia. Kajian itu juga mendapati pendedahan kepada triklosan secara serius mampu mengurangkan kuasa otot.

“Kajian sebelum ini menunjukkan triklosan mungkin mempunyai pautan kepada masalah tiroid dan kesuburan. Ia juga boleh meningkatkan tahap hormon lelaki dalam badan seorang wanita yang akan menyebabkan gejala seperti jerawat, masalah berat badan, pertumbuhan bulu roma yang berlebihan, menjejaskan fungsi haid, dan kemandulan,” tambahnya.

Jelasnya, hasil penemuan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kesan produk kecantikan tersebut ke atas manusia dan alam sekitar.

“Bagi seseorang yang sihat, penurunan sebanyak 10 peratus dalam fungsi jantung mungkin tidak mempunyai kesan, tetapi jika anda ada masalah jantung, ia boleh membuat perbezaan yang besar.

Risiko penyakit

Bagaimanapun, wakil Persatuan Kosmetik, Dandanan Diri dan Minyak Wangi United Kingdom (CTPA), Dr. Chris Flower menegaskan, penyelidikan itu tidak relevan kerana ia hanya melibatkan ujian ke atas tikus dan bukannya manusia. Selain itu, jumlah triklosan yang digunakan dalam eksperimen itu melebihi tahap maksimum yang dibenarkan dalam produk kosmetik.

“Terdapat banyak dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap pengeluar kosmetik kononnya mereka menjual produk yang tidak selamat dan menggunakan bahan-bahan yang berbahaya. Dakwaan itu hanyalah palsu,” jelasnya.

Namun begitu, kajian-kajian lain mendapati wujud bahan kimia yang membimbangkan dalam beberapa jenis gincu. Sebagai contoh, pada tahun 2010 penyelidik telah mengkaji bahan-bahan daripada pelbagai jenama gincu dan mendapati gincu tersebut mengandungi sejumlah besar logam berat iaitu kadmium dan kromium. Laporan mengenainya ada dimuatkan Journal of Hazardous Materials.

Gincu dikaitkan dengan masalah seperti dermatitis, keradangan kulit dan kerosakan buah pinggang dalam jangka panjang.

Pada tahun 2008, penyelidik di Pusat Perubatan Tufts di Boston, AS, meneliti hasil kajian sebelumnya dan membuat kesimpulan bahawa menggunakan gincu sekurang-kurangnya tiga hari seminggu meningkatkan risiko menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE).

Berdasarkan kajian itu, wanita yang mula memakai gincu sebelum umur 16 tahun mempunyai tahap risiko yang tinggi, seperti yang dilakukan oleh wanita yang memakai gincu selama tujuh hari seminggu.

Dalam ujian yang dijalankan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) pada tahun lepas, mendapati kebanyakan daripada 400 gincu yang dikaji mengandungi bahan kimia tahap maksimum dan dikesan mempunyai lebih daripada dua kali ganda daripada yang dicatatkan antara tahun 2009 dan 2011.


Sumber: NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR, Kosmo

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!