Thursday, October 4, 2012

Hari Ungu untuk autisme



SEKUMPULAN kanak-kanak autisme memeriahkan majlis pelancaran pada September lalu dengan membuat persembahan nyanyian di hadapan ratusan penonton.


SURIA KLCC baru-baru ini menganjurkan kempen Hari Ungu di pusat beli-belah itu untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak autisme selain memberi pemahaman mengenai penyakit tersebut kepada para pengunjung.

Pelbagai aktiviti telah disusun bagi disertai orang ramai sekali gus menderma kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (National Autism Society of Malaysia) atau Nasom.

Antara acara yang mendapat sambutan ramai ialah Electrifying Maze, Spin The Wheel, lukisan muka dan mengambil gambar yang menggunakan hiasan Hari Ungu sebagai latarnya.

Dengan membayar RM3 hingga RM10 untuk menyertai aktiviti dan acara tersebut, pengunjung secara tidak langsung menyalurkan nilai wang berkenaan kepada persatuan yang memerlukan itu.


ANDREW (kiri) melawat tapak pameran yang dibuka di Centre Court, Suria KLCC.


Pengisian hari istimewa itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Para pengunjung juga boleh membeli baju T bercorak hasil karya kanak-kanak dari Nasom pada harga RM30.

Pengunjung juga boleh membawa pulang cenderamata dan barangan khas kempen seperti beg yang dijual pada harga RM25, cawan (RM5), hiasan telefon bimbit (RM8) dan boneka comel yang boleh dimiliki pada harga RM29.90.

Seorang pengunjung, Mohd. Ridzuan Mohd. Abbas, 17, mengakui dia tidak tahu mengenai penyakit itu.
Dia tertarik dengan penganjuran pameran lantaran timbul rasa ingin tahu mengenai penyakit autisme.
“Selepas saya membaca risalah-risalah yang disediakan dalam pameran itu barulah saya mempunyai pengetahuan serba sedikit tentang autisme.

“Program-program mengenai kesihatan seperti ini perlu dianjurkan dengan kerap memandangkan masih ramai individu terutamanya golongan belia yang tidak mempunyai pemahaman jelas terhadap jenis-jenis penyakit tertentu,” katanya sambil memuji langkah Suria KlCC yang mengadakan pameran itu.

Autisme ialah masalah perkembangan otak yang menyekat kebolehan berkomunikasi seseorang kanak-kanak sehinggalah usia remaja.


ANDREW (tiga dari kanan) melancarkan kempen Hari Ungu di Suria KLCC baru-baru ini.


Penyakit tersebut menyebabkan seseorang kanak-kanak itu mempamerkan kelakuan yang berulang-ulang, sama ada menerusi percakapan, sikap dan kelakuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, kempen itu diadakan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai autisme.

“Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami untuk membantu kanak-kanak yang menghidap autisme selain memberi ruang kepada para pelanggan kami menyumbang ke arah kebajikan.

“Kami berharap melalui dana yang telah dikumpulkan nanti, pihak Nasom dapat menjalankan aktiviti mereka dengan sempurna,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di ruang legar KLCC, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
BONEKA comel berwarna ungu ini mencuri perhatian pengunjung untuk memilikinya.


























Dalam pada itu, sempena kempen Hari Ungu, pihak Suria KLCC turut memberi ganjaran kepada pengunjung yang membeli-belah di situ.

Bagi mereka yang membuat pembelian sebanyak RM500 ke atas, mereka boleh mendapatkan kad Touch n Go Purple Day eksklusif percuma bernilai RM10.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Safurah Jaafar.


No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!