Tuesday, October 9, 2012

KESILAPAN ANAK DALAM MERENCANAKAN MASA DEPAN




SELEPAS tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disember nanti, mereka perlu merencanakan masa depan dengan fokus utama melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Bagaimanapun, keghairahan berbuat demikian sering mengundang kesilapan yang akhirnya merugikan diri sendiri. Jangan ulangi kesilapan berikut :

# Memilih kursus prauniversiti yang salah.
Pelajar tidak berfikir secara mendalam mengenai pilihan program yang ingin diikuti. Dengan pilihan yang pelbagai, ramai memilih secara rawak dan mendapati ia tidak melayakkan mereka memasuki program ijazah atau tidak diiktiraf universiti berkenaan.

# Memilih subjek yang salah.
Ramai pelajar mendapati mereka tidak mengambil mata pelajaran betul dalam prauniversiti untuk membuat permohonan ke universiti nanti. Ini akan menyempitkan pilihan institusi mereka atau lebih teruk, mereka tidak layak memohon program itu.

# Tidak mengetahui kekuatan dan minat sendiri.
Ramai tidak mempertimbangkan kekuatan dan minat ketika memilih kursus atau laluan pendidikan. Contohnya, bagi yang tidak mempunyai kelayakan akademik, mereka cenderung mengambil A Level.
Mereka yang tidak cemerlang atau berminat dalam mata pelajaran Sains tetapi mendaftar dalam kursus teknologi maklumat atau kejuruteraan dan tertanya-tanya mengapa gagal setiap semester.

# Tidak memeriksa struktur kursus.
Memeriksa struktur kursus akan memastikan pelajar tidak mendaftar dalam program yang salah. Sebagai contoh, pelajar yang berminat dalam kursus reka bentuk mendaftar kursus komputer kerana beranggapan semuanya boleh dilakukan. Mereka sepatutnya mendaftar dalam program multimedia.
Pelajarjuga mesti belajar struktur kursus bagi memastikan mereka minat belajar supaya cemerlang dalam program dipilih.

# Obsesi dengan kedudukan universiti.
Dengan begitu banyak badan yang menyediakan kedudukan universiti di dunia, pelajar hari ini menempatkan kedudukan universiti sebagai keutamaan pertama memilih institusi pengajian.
Sebuah universiti di kedudukan pertama dalam satu pengajian tidak semestinya menjadi yang pertama dalam kajian lain.
Nasihat terbaik kepada pelajar ialah membuka mata dengan institusi yang diperakui terbaik dunia bukan didakwa melalui kajian.

# Menerima biasiswa tanpa memeriksa butiran.
Banyak biasiswa diberikan untuk program prauniversiti tanpa jaminan biasiswa untuk ijazah seterusnya. Ada biasiswa yang memerlukan pelajar mengekalkan purata gred setiap semester.Jika tidak, biasiswa akan dibatalkan.
Jika tidak menyemak butiran, anda mungkin mendapati tidak boleh meneruskan pengajian kerana tidak mempunyai bajet untuk kursus itu.

# Tidak memeriksa kekuatan dan kemudahan institusi.
Memang menyedihkan mendapati institusi tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk mengajar pelajar. Kursus perniagaan dan komputer mungkin memerlukan peralatan minimum, namun kursus kejuruteraan awam memerlukan ruang yang besar untuk melakukan komponen praktikal seperti membina dinding dan menguji struktur dibina.
Juga, adakah institusi berkenaan mempunyai peralatan mencukupi untuk semua pelajar atau anda perlu berkongsi dengan sekumpulan 20 pelajar setiap kali belajar menggunakan mesin?

# Tidak memeriksa peluang atau keperluan pekerjaan.
Ramai pelajar tidak memikirkan dulu apa peluang pekerjaan untuk ijazah mereka apabila tamat pengajian. Anda sentiasa mendengar dan membaca graduan yang menganggur dan tiada pekerjaan mencukupi dalam bidang yang dipilih.
Semak peluang dan keperluan pekerjaan sebelum membuat keputusan untuk memulakan sesuatu program. Apa yang ditawarkan pada hari ini mungkin akan ada terlalu ramai graduan pada masa anda tamat pengajian nanti.

# Membuta tuli mengikut kawan.
Salah satu perkara paling buruk ialah membuta tuli mengikut kawan-kawan mempelajari sesuatu kursus.
Adakah kawan-kawan tahu apa yang anda mahu, apa kekuatan dan minat anda?
Anda perlu melihat apa yang anda mahu dan mampu. Rakan mungkin baik dari segi akademik sementara anda boleh menjadi lebih balk dengan pendekatan lebih praktikal.
Anda mungkin akan mempunyai sedikit kelebihan kerana mendapat pengetahuan praktikal melalui projek yang dilakukan ketika mengambil diploma.

# Meneruskan impian ibu bapa, bukannya impian sendiri.
Adalah menyedihkan melihat ramai pelajar belajar mengikut impian ibu bapa dan bukan impian sendiri. Ini salah satu faktor mengapa begitu ramai graduan gagal mendapatkan pekerjaan.
Apabila mengejar impian orang lain, hati dan jiwa anda tiada di dalamnya. Walaupun ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka, ia mungkin bukan yang terbaik untuk anda.
Ibu bapa perlu membimbing anak mereka membuat kepu¬tusan yang betul dan bukannya membuat keputusan untuk mereka.

Kepada ibu-ibu yang mempunyai anak yang akan mengambil SPM, atau anak saudara dan belum mendaftar lagi, sila pastikan mereka berdaftar dengan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia, melalui laman web http://www.moe.gov.my/. Tarikh tutup adalah 10 Oktober 2012 (esok).


Sumber:  Datuk Dr Maznah Hamid

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!