Wednesday, October 17, 2012

Remaja TIPU dirogol bapa


Tergamak buat laporan palsu akibat dilarang bertemu teman lelaki

Kuala Lumpur: Gara-gara tidak tahan dikongkong dan dilarang keluar bersama teman lelaki, seorang remaja perempuan membuat laporan palsu mendakwa bapa kandung merogolnya di Brickfields, di sini, awal bulan ini.

Sebelum ini, remaja berusia 19 tahun itu yang tinggal bersama ibunya di Klang, selepas kedua-dua orang tuanya tinggal secara berasingan sejak beberapa bulan lalu, dilaporkan sukar dikawal dan sering keluar hingga lewat malam serta tidur di rumah teman lelakinya.

Remaja itu membuat tuduhan palsu supaya bapanya ditahan dan dia boleh keluar bersama teman lelakinya," - Ku Chin Wah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur
Selepas melihat ibunya gagal mengawal anaknya, bapanya yang tinggal di ibu negara memutuskan untuk menjaganya dan meminta remaja itu berpindah serta tinggal bersamanya di sini, sejak 2 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ketika tinggal bersama bapanya, remaja itu sering dimarahi dan dilarang keluar bertemu teman lelakinya sehingga memaksa dia membuat laporan palsu mendakwa dirogol oleh bapanya.

Polis terima lima laporan palsu berkaitan dirogol

Katanya, hasil siasatan dijalankan, remaja itu membuat tuduhan palsu dengan niat jahat supaya bapanya ditahan berikutan laporan yang dibuat dan dia boleh keluar bersama teman lelakinya.

“Sepanjang tahun ini, polis menerima lima laporan palsu berhubung dakwaan dirogol dan ini pertama kali kes laporan palsu oleh pengadu yang mendakwa dirogol bapa kandung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini semalam.

Chin Wah berkata, polis memandang serius isu berkenaan dan meminta semua pihak terutama remaja perempuan, mengambil iktibar daripada kes itu supaya tidak melakukan perkara sama terhadap bapa kandung sendiri.

Sehingga kini, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu.

Remaja itu turut ditahan kerana terbabit dalam kes pecah amanah ketika bekerja sebagai jurujual di sebuah kiosk barangan di Klang.

Sumber: Bharian

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!