Sunday, November 4, 2012

Pengalaman Guru Tuisyen


‘HOMEMAKER’ atau bekerja di rumah sesuai untuk wanita yang ingin memiliki kerjaya dan pada masa yang sama mengimbangi kehidupan berkeluarga. Idea ‘Small Office Home Office’ atauSOHO sudah lama wujud dan ada segelintir wanita yang mengimpikan kerjaya begini. Itu impian Nor Aina Abdul Rahman, 45, yang sudah 22 tahun mengajar kelas tambahan Matematik dan Matematik Tambahan. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Aina di kalangan murid-murid dan ibubapa kepada pelajarnya. Sekarang ini beliau menyewa sebuah unit apartmen yang jaraknya 8 meter sahaja daripada rumah untuk dijadikan kelas tambahan.

“Idea untuk mengadakan kelas tambahan Matematik dan Matematik ini timbul sebaik sahaja saya mula mengajar di sebuah sekolah. Dari pemerhatian saya, ramai murid Melayu yang ketinggalan dalam matapelajaran ini. Saya bermula dengan mengadakan kelas percuma di waktu petang untuk mereka dan setelah diajar di dalam kumpulan yang lebih kecil, ternyata mereka lebih faham. Itu yang menimbulkan semangat kepada saya untuk mengadakan kelas tambahan dalam matapelajaran ini. Pada tahun 1987, saya dan keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah dengan pendapatan RM7 ribu sebulan, saya boleh membesarkan enam orang anak, Mohd Muaz 23, Mohd Khalid 21, Siti Sarah 20, Mohd Anas 16, Siti Suraya 13 dan Siti Safura 12. Di peringkat usia ini, perbelanjaan untuk membesarkan mereka semakin meningkat dan saya suka dengan kerjaya saya,” kata Cikgu Aina yang berasal dari Kelantan ini.

“Keputusan yang saya buat ini tidak salah kerana saya mempunyai masa untuk menyusukan dan membesarkan keenam-enam anak saya sendiri di rumah sambil mengajar. Minat yang sangat mendalam dalam matapelajaran Matematik sudah ada sejak kecil lagi. Jika ayah yang sewaktu itu bertugas sebagai guru ingin mencampur markah pada kertas jawapan peperiksaan anak muridnya, saya yang akan membantu ayah mencampurkan semua markah itu. Hingga dewasa minat itu ada dalam diri saya. Hingga saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik.

Menceritakan pengalamannya yang bermula berdaftar dengan agensi, setiap pembayaran RM160 pelajar kepadanya akan diambil oleh agensi sebanyak 30 peratus. Modal berdaftar dengan agensi hanya RM20 dan itulah modal beliau sewaktu memulakan perniagaan. Pada peringkat awal, ini adalah batu loncatan kepada Cikgu Aina dan lama-kelamaan dia berunding dengan ibu bapa pelajar dan mereka setuju menghantar anak mereka kepadanya dengan bayaran diskaun RM140 sahaja. Ada yang setuju dan salah seorang pelanggan pertamanya ialah Puan Jamilah dari Bank Negara Malaysia.
 “Bermula dari Pn. Jamilah, jumlah pelajar saya bertambah. Jamilah ialah seorang yang berpengaruh di tempat kerjanya dan ramai rakannya yang menghantar anak mereka kepada saya. Perniagaan saya berkembang dengan ‘word of mouth’ dan tiada strategi lain pada waktu itu. Beliau memberi saya keyakinan untuk meneruskan kelas Matematik saya. Daripada beliau lebih ramai adik-beradik, anak saudara dan ipar duainya yang menghantar anak mereka untuk belajar daripada saya.
“Di waktu itu saya mengajar dari rumah ke rumah. Alhamdulillah, pelanggan saya yang kebanyakannya dari golongan berada dan ada waktu saya membawa bayi saya yang masih menyusu ke rumah pelanggan. Sambil saya mengajar, pembantu rumah pelanggan saya akan menjaga anak saya,” ujar Aina lagi.

Selepas tiga tahun saya berusaha untuk memperkenalkan nama saya di kalangan pelanggan akhirnya ‘Cikgu Aina sudah menjadi satu jenama saya. Pada tahun 2002, saya mula menyewa kedai di Danau Kota dengan berkongsi dengan seorang rakan. Bayaran sewa RM100 dan kami kongsi berdua. Seorang hanya perlu membayar RM50 dan jumlah pelajar saya waktu itu 30 orang. Waktu siang digunakan untuk mengadakan kelas ‘Personal” dan di waktu malam untuk kelas “berkumpulan” atau “group”. Kelas ‘personal’ memberi tumpuan ‘one to one’ dan kepada pelajar inginkan pembelajaran intensif. Kelas berkumpulan pula lebih kepada belajar secara berkumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada empat orang.
Setelah membeli rumah di apartmen Melati Impian Gombak, Aina menyewa sebuah unit apartmen berhampiran rumahnya sebagai pusat kelas tambahan. Sejak  itu semua pelanggan menghantar anak mereka ke situ. Kelasnya sudah setempat.
“Saya percaya jika kita bagus dan memberikan perkhidmatan yang baik serta memuaskan hati kepada pelanggan, tidak kira di mana kita berada, pelanggan akan tetap mencari kita. Walaupun ke pelusuk dunia. Ada ibu bapa yang sanggup datang dari Cheras, Shah Alam, Rawang, Bentong, Pahang dan Perlis untuk menghantar anak mereka belajar dengan saya. Mereka akan menginap di rumah sanak saudara yang ada di Kuala Lumpur dan menghantar anak belajar dengan saya. Alhamdulillah, semua anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang di dalam matapelajaran Matematik dan Matematik Tamabahan.

“Antara anak murid saya ialah cucu Sultan Perlis, anak Dato’ Zahid Hamidi, anak M.Nasir dan Shasha Elite. Ramai lagi dan sepanjang 22 tahun ini sudah lebih 4000 orang anak murid saya ajar. Waktu cuti sekolah adalah waktu yang paling sibuk kerana ramai anak-anak murid yang belajar di MRSM dan asrama penuh lain akan datang belajar dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Waktu malam, kelas berkumpulan untuk mereka yang sudah lama belajar dengan saya.

Bila ditanya bila bercuti, Aina memberitahu, cutinya bermula di hari semua pelajarnya menjawab kertas Matematik dan Matematik Tambahan di sekolah. Di waktu itu, Aina akan pergi bercuti selama seminggu bersama suami dan anak-anak ke destinasi tertentu. Selepas seminggu kelas untuk tahun akan datang akan bermula.

 “Konsep pembelajaran saya berbeza. Saya mengajar bukan untuk peperiksaan, ilmu yang diajar ialah ilmu sepanjang hayat. Setiap hari kita menggunakan Matematik dan ilmu ini mengambil masa untuk difahami. Bukan boleh dicapai dalam tempoh beberapa bulan. Ada 10 orang pelajar saya yang mula belajar sejak berusia 10 tahun dan pada tahun ini mereka akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Mereka ini mempunyai pengetahuan asas Matematik dan Matematik Tambahan yang kuat dan Insya’allah menjadi pelajar harapan yang menjadi tauladan kepada yang lain. Sudah tujuh tahun mereka belajar dengan saya dan mereka adalah harapan saya dan ibu bapa mereka,” tambah Aina lagi.

Aina dapati ada tiga kelemahan pelajar Melayu yang perlu diperbaiki untuk memastikan mereka berjaya dalam bidang Matematik dan Matematik Tambahan. Antara kelemahannya, tidak menghafal sifir dengan baik. Sifir mesti dihafal kerana banyak pengiraan akan menjadi lebih mudah jika sifir dihafal. Kedua, terlalu banyak menyalin sewaktu di sekolah. Matematik tidak perlu banyak menyalin di papan hitam. 

Perbanyakkan latihan menggunakan ‘wok book’ dan pelajar akan lebih cekap mengira. Dalam mana-mana buku latihan, jalan kerja mesti ditunjukkan di tepi soalan. Itu sangat penting. Ketiga, kelemahan mencongak di kalangan pelajar Melayu. Sistem congak sudah lama diajar sejak tahun 1971 lagi, sewaktu Aina Tahun Satu malangnya sistem ini tidak dipraktikkan hingga sekarang. Kaedah mencongak ini akan melatih pelajar supaya berfikir dengan lebih cepat. Tidak memerlukan penggunaan mesin kira, sejak penggunaan mesin kira dibenarkan, semakin ramai yang tidak mencongak.

Dalam kelas Aina, pelbagai kaedah ringkas diajar kepada pelajar. Ini akan membantu pelajar lebih mudah faham dan ingat formula Matematik dan Matematik Tambahan. Aina juga memegang rotan sewaktu mengajar. Padanya itu adalah asas pembelajaran zaman dahulu yang masih dipraktikkan olehnya. Suami menyokong sepenuhnya idea dan tindakan Aina untuk mengadakan kelas tambahan. Dia tidak perlu keluar rumah dan pada masa yang sama boleh menjaga anak-anak di rumah.

Prinsip pembelajaran Aina juga menjadikan ramai pelanggan berpuas hati dengannya. Antara prinsip Aina ialah mengajar mesti ikhlas. Kedua, ilmu yang diajar mesti menjadikan anak murid itu pandai sepanjang hayatnya. ketiga, berjasa tidak minta dikenang, berbudi tidak harap dibalas. Keempat, menghantar anak ke kelas tambahan bukan untuk peperiksaan semata-mata.

Memiliki 10 adik-beradik dan anak yang ke 7, Aina ingat pesan arwah ibu, ‘jika kita berilmu letaklah di mana pun, kita boleh hidup di dunia dan akhirat’. Ayahnya seorang guru dan ibu sangat mementingkan akademik, sahsiah diri dan disiplin. Itu yang juga Aina ajarkan kepada keenam-enam orang anaknya. Pendorong kejayaan Aina dan adik-beradik lain ialah ayah yang berdisplin dan emak yang bertanggungjawab.

“Setiap wanita harus mempunyai pendapatan sendiri tidak kira dengan kemahiran apa sekalipun dan apa jua bidang ilmu. Ini sebagai persiapan di masa hadapan. Dengan pendapatan dan simpanan sendiri seorang wanita boleh berdikari jika ada perkara yang tidak diingini berlaku. Malang tidak berbau dan tiada siapa yang tahu,” ujar Aina.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan ramai anak murid yang baik dan mengenang budi. Ramai yang datang semula berjumpa saya. Ada yang membawa buah tangan dan macam-macam lagi. Yang dipamer di dalam almari ini adalah dari dua tahun kebelakangan ini, tidak termasuk, beg tangan, baju, kain, tak cukup almari untuk dipamerkan.

“Saya gembira mengajar dan satu lagi kebaikan jika saya mengajar, anak-anak saya tidak berani untuk ‘hanky-panky’ atau main-main dengan saya. Mereka tahu saya mengajar anak orang lain dan mereka harus menghormati saya dan tidak melakukan perkara yang tidak baik. Alhamdulillah, setakat ini anak-anak saya juga cemerlang dalam pembelajaran mereka,” tambah Aina.

Oleh kerana anak-anak sudah besar, masa lapang yang banyak saya gunakan untuk menambah saliran pendapatan dalam bidang penghasilan kristal. Sesiapa yang berminat untuk menghantar anak menghadiri kelas Matematik dan Matematik Tambahan boleh menghubungi saya di talian 019-3101424 atau laman web ‘www.elegantstyle.biz’.Kepada anak-anak murid lama yang terputus hubungan juga boleh menghubungi saya di talian di atas.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!