Friday, December 21, 2012

Berkerusi roda tidak halang Khairunnisaq capai 8A

JOHOR BAHRU 19 Dis. - Keazaman yang tinggi untuk berjaya sama seperti insan normal lain membuatkan seorang pelajar berkerusi roda, Khairunnisaq Khairuddin memperoleh 8A peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di sini hari ini.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi di sini diumumkan sebagai penerima Anugerah Murid Cemerlang Calon Berkeperluan Khas (CBK) Fizikal PMR 2012 bagi negeri ini.

Khairunnisaq yang hadir bersama ibu, Junnata Khasan, 36, dan bapa, Khairuddin Mohamed, 42, menerima plak dan sijil penghargaan disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini.
"Saya tidak sangka kerana mampu mencapai keputusan cemerlang begini kerana setiap bulan saya pasti mengambil cuti dua atau tiga hari kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan saya bergerak ke sekolah.

"Malah, atas nasihat doktor saya perlu tidur sebelum jam 10 malam dan meminimumkan waktu mengkaji pelajaran di rumah kerana antibodi tidak kuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana ketika dirinya hampir berputus asa, dia mempunyai keluarga, guru dan rakan yang berterusan meniupkan semangatnya selain memberi perhatian lebih kepadanya di sekolah.

Dia yang bercita-cita menjadi pakar ortopedik memberitahu, tiada resipi luar biasa untuk mencapai kejayaan seperti itu selain daripada memberi tumpuan kepada pelajaran di sekolah terutama semasa guru mengajar.
Dalam pada itu, Junnata, ketika ditemui pemberita ternyata gembira dengan keputusan anak sulungnya sekali gus bersyukur kerana penat lelahnya selama ini berbaloi.

"Saya seakan bermimpi kerana rasa penat lelah selama ini berbaloi kerana 15 tahun lalu saya hampir berputus asa kerana dia (Khairunnisaq) dilahirkan mengalami penyakit genetik otot saraf.

"Namun, hari ini saya mampu tersenyum gembira kerana anak saya berjaya meraih 8A biarpun dalam keadaan fizikal yang serba kekurangan dan terpaksa menggunakan kerusi roda," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Menurut Junnata, anaknya menjadi begitu dari sejak lahir dan terpaksa menggunakan kerusi roda kerana akibat lemah anggota badan dan memerlukan bantuan dan menyebabkan pada satu tahap dia tidak boleh menerima keadaan itu.

Bagaimanapun, tambahnya, tanggapan dia berubah dan sudah mula menerima keadaan Khairunnisaq selepas melihat ramai lagi rakan seusia dengannya mengalami detik sukar akibat penyakit itu ketika membawa dia menjalani rawatan fisioterapi di klinik.

"Sejak itu, saya banyak meluangkan masa bersama dengan menjadikan dia seperti rakan termasuk berkongsi masalah dan membantu dia mengulangkaji pelajarannya hampir setiap hari," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!