Saturday, December 15, 2012

Jangan anak tirikan OKU

 
NORIAH Kasnon menyampaikan replika Kad OKU kepada Noryanti Mahbub sebagai simbolik perasmian SMOKU pada majlis sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2012 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
 
WALAUPUN ditakdirkan kekurangan anggota badan, namun Orang Kelainan Upaya (OKU) mempunyai potensi tersendiri dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Ini telah dibuktikan melalui kejayaan OKU yang pernah mencipta nama dan mengharumkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Noriah Kasnon berkata, oleh itu orang ramai tidak boleh memandang rendah keupayaan OKU untuk melakukan sesuatu terutamanya dalam bidang pekerjaan.

Malah katanya, masyarakat perlu membantu OKU dalam mengilap bakat dan mengasah kemahiran terpendam dalam diri mereka agar dapat sama memainkan peranan dalam menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Tiada beza antara OKU dan orang normal. Mereka juga sebenarnya mampu menunjukkan prestasi yang cemerlang kepada umum. Malah jika diberi kesaksamaan, sudah pasti OKU juga dapat menunjukkan karisma dan hasil yang membanggakan.

"Ini kerana setiap golongan istimewa ini mempunyai potensi tersendiri yang membanggakan untuk digunakan dalam memainkan peranan kepada masyarakat dan negara.

"Sebagai masyarakat yang prihatin, kita harus membantu memberi peluang kepada OKU untuk mencungkil bakat dan kemahiran mereka sejak kecil, di samping membantu memperbaiki masalah yang dihadapi oleh mereka yang dilihat boleh dibetulkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Orang Kurang Upaya yang diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sambutan bertemakan Karisma OKU: Persekitaran Bebas Halangan Menjana Kesejahteraan itu meraikan kira-kira 2,000 OKU dari seluruh negara sebagai tetamu istimewa yang hadir.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Norani Mohd. Hashim.

Noriah turut menasihatkan masyarakat terutamanya pihak majikan supaya mengubah persepsi terhadap OKU sebelum menilai kebolehan mereka dalam melakukan pekerjaan.

"Majikan tidak seharusnya merasakan jika mengambil OKU sebagai kakitangan dapat membantutkan produktiviti kerja dan mengurangkan prestasi syarikat.

"Sebaliknya majikan perlu menilai OKU bukan hanya dengan melihatnya daripada kekurangan fizikal sahaja tetapi kebolehan dan kemampuan OKU itu sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!