Friday, January 18, 2013

Anak autisma ke IPT

Kisah pelajar yang dinyatakan dibawah telah mendapat liputan drp pihak akhbar. Artikel tersebut ada dalam laman blog ini. Berikut dinyatakan pengalaman keluarganya mendidik pelajar berkenaan sehingga dapat menjejak kaki ke IPT. Moga ianya akan menjadi dorongan untuk kita mendidik anak2 autisma sehingga mencapai ke tahap berkenaan. Insya-Allah.
 
Kisahnya seperti berikut:
 
Mempunyai anak istimewa sememangnya memberi tekanan yang hebat dari segi fizikal, emosi dan mental kepada ibu bapa. Bagitu juga dengan saya apabila anak ketiga saya seorang lelaki bernama Khairul Aiman Bin Hashim yang disahkan menghidap penyakit Autisme, satu sindrom di mana anak tidak boleh bertutur, tidak boleh berinteraksi dan tidak boleh memberi tumpuan serta hidup seolah-olah dalam dunianya sendiri.
 
Sejak Aiman disahkan mempunyai masalah ketika berumur lewat 6 tahun, saya mengambil tindakan proaktif dalam membantu kehidupannya. Dalam menghadapi kejutan ini, perkara pertama yang perlu saya terima adalah hakikat bahawa saya dikurniakan seorang anak istimewa kerana tidak semua orang dikurniakan anak istimewa oleh Allah S.W.T..
 
Memberi kasih sayang yang tidak berbelah bagi di antara Aiman,abang dan kakaknya serta tumpuan yang lebih menjadi pegangan dan amalan utama saya. Memandangkan anak-anak istimewa kategori Autisme mempunyai masalah pertuturan, saya telah menghantar Aiman menjalani terapi pertuturan menggunakan kaedah berkomputer ‘Doctor Speech’ sekali seminggu selama setahun di Pusat Perubatan KPJ Selangor ( dulu Selangor Medical Center ). Dalam sesi tersebut saya juga diajar cara-cara untuk membantu Aiman membuat latihan pertuturan di rumah. Alhamdulillah selepas setahun Aiman dapat bertutur dengan lancar seperti kanak-kanak lain. 
 
Oleh kerana Aiman telah disahkan mengidap Autisme, dia melanjutkan pelajarannya di Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 Shah Alam, Selangor bersama murid-murid lain yang senasib dengannya. Berkat kesabaran dan komitmen guru-guru pendidikan khas mengajar murid-murid istimewa ini, Aiman dapat mencapai dan melepasi sukatan tahap tinggi Pendidikan Khas. Selepas empat tahun di Kelas Pendidikan Khas, Aiman diberi peluang untuk memasuki aliran perdana di dalam Program Inklusif iaitu satu program dimana murid-murid Pendidikan Khas dibenarkan belajar bersama murid-murid normal. Walaupun pada masa itu Aiman sudah berumur 11 tahun, tetapi kerana pada tahun itu Kementerian Pelajaran Malaysia baru memperkenalkan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di tahun 4, jadi pihak sekolah telah meletakkan Aiman dalam kelas tahun 4 supaya dia boleh bermula dari asas.
 
Selain sokongan yang diberikan kepada Aiman, faktor pemakanan memainkan peranan penting dalam pencapaian akedemiknya. Tidak dinafikan saya ada memberi Aiman produk pemakanan kesihatan yang dikenal pasti dapat membantu proses pembelajarannya.


Kecemerlangan akademik Aiman bermula apabila dia berjaya mendapat 5A di Peringkat Kebangsaan UPSR 2005. Paling membanggakan sekali, Aiman merupakan pelajar istimewa kategori Austisme pertama Malaysia yang berjaya lulus UPSR dengan cemerlang. Kecemerlangan ini berterusan apabila Aiman terpilih dalam Program Rintis Penempatan Pelajar Istimewa di Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ) Kementerian Pelajaran Malaysia dimana dia ditawarkan belajar di Sekolah Menengah Sains Selangor di Cheras, Kuala Lumpur dalam Tingkatan 1. Aiman membuktikan kemampuannya belajar bersama dengan rakan-rakannya yang normal dengan mendapat 9A dalam PMR 2008 sekaligus melakar sejarah menjadi pelajar Autisme pertama yang belajar di Sekolah Berasrama Penuh dan lulus dengan cemerlang dalam PMR. Selain kejayaan akedemik, Aiman juga aktif dalam bidang sukan. Dia mewakili sekolah, daerah dan negeri dalam acara lontar peluru, baling cakera dan lontar lembing. Dia juga mewakili sukan Rugbi di peringkat zon, negeri dan kebangsaan. Seterusnya Aiman telah dinobatkan sebagai Olahragawan sekolahnya pada tahun 2009.
Aiman menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2010 sebagai calon istimewa dan dia ditempatkan di dalam bilik peperiksaan yang berasingan dari kawan-kawannya dan diawasi oleh dua orang guru pengawas peperiksaan. 
 
Keputusan SPM Aiman yang mendapat 1A+ ( Sejarah ), 3A ( BM, Pend.Islam, Matematik ), 2B ( Add. Maths, Biology ) 3C+ ( B.I, Physics, Chemistry ) sangat membanggakan bagi seorang pelajar yang berdaftar sebagai Pelajar Bermasalah kategori Autisme. 
 
Pencapaian tersebut membolehkan Aiman melanjutkan pengajiannya ke menara gading. Aiman ditawarkan ke UiTM P.Pinang dalam Diploma Kesihatan Persekitaran pada tahun 2011 dan sekarang Aiman berada di semester 4 pengajiannya.
 
Aiman mencapai CGPA 2.98 dalam peperiksaan akhir Semester 1. Kesibukan nya sebagai Komandan Unit Kesastria sedikit sebanyak menjejaskan prestasi akedemiknya yang menurun ke CGPA 2.37 dalam peperiksaan akhir Semester 2. Sebagai seorang bapa saya mula merasa bimbang dan menasihatinya supaya mengurangkan keterlibatannya dalam aktiviti serta mula mencari produk supplemen yang dapat membantu peningkatan otak, memori dan prestasi akademiknya.
 
 Sumber: Hashim Samsudin

1 comment:

  1. sharing a news :-

    http://www.edvantage.com.sg/edvantage/features/people/1535536/Asperger_s_syndrome_so_what_.html

    ReplyDelete

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!