Saturday, January 12, 2013

Tujuh panduan pengukuhan iman


Tahun baru ini pekerja perlu meningkatkan semangat dengan azam untuk terus menjadi pekerja Muslim yang profesional serta berdaya saing. Ini antara cabaran dalam Wawasan 2020, mewujudkan masyarakat bermoral, beretika tinggi dan profesional dalam menjalankan perkhidmatan.

Antara usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap pekerja profesional ialah dominasi hati melalui pengukuhan dan penambahan iman. Sentiasa meletakkan kepercayaan, keyakinan, kecintaan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap pelakuan.
Firman Allah SWT: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 7)


Pengukuhan iman bertujuan mengelakkan kesibukan dan tekanan kerja menjadi penyebab kelalaian daripada mengingati Allah SWT.

Peringatan kelalaian

Peringatan Allah SWT: Wahai orang yang beriman. Janganlah sampai harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Siapa yang melakukan sebegitu, mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Pekerja profesional ialah pekerja yang mempunyai pengetahuan apa yang dilakukan dan melaksanakannya dengan mahir. Aspek pengetahuan bagi profesional Muslim sebagai asas kerja ialah mengusahakan yang baik lagi halal untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Tujuh panduan

Justeru, tujuh panduan pengukuhan iman bagi pekerja ialah pertama, memperteguhkan niat bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT supaya apa juga yang kita kerjakan tidak menjadi sia-sia atau merugikan.

Firman Allah SWT: Ada di antara manusia yang menyembah Allah kerana sesuatu tujuan, jika dia mendapat kebaikan dia akan bertenang dengan apa yang didapatinya, dan jika dia diuji sedikit, dia berpaling wajah daripadanya, orang ini akan rugi dunia dan akhirat. (Surah al-Haj, ayat 11)

Kedua, memperteguhkan hati dan akal dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap titik peluh dari kesungguhan usaha adalah suatu ibadat, sedekah serta penghapus dosa.

Kesanggupan sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan yang berkorban jiwa dan harta antaranya menyiapkan kelengkapan perang serta membeli perigi bernama Raumah untuk kemudahan air kaum Muslimin perlu menjadi iktibar.

Sabda Rasulullah SAW: Ya Allah redailah Uthman kerana sesungguhnya aku telah meredainya. Mulai hari ini apa yang dilakukan oleh Uthman tidak akan merugikannya (dia boleh berbuat apa yang dia mahu dan Allah telah mengampuninya). (Hadis Sahih)

Ketiga, mengukuhkan nilai baik dan mengikis nilai buruk dalam diri juga adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan iman.

Firman Allah SWT: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan solat. (Surah al-Taubah, ayat 71)

Keempat, menerima dengan sabar serta meredai sesuatu yang diperoleh sama ada disukai atau tidak setelah ia diusahakan dalam proses kerja juga sebahagian daripada iman.

Firman Allah SWT: Barangkali ada yang kamu membenci sesuatu padahal itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Kelima, menganggap setiap hari adalah hari yang terbaik seperti Jumaat dan setiap bulan adalah bulan yang paling mulia seperti Ramadan untuk memotivasikan diri merebut kebaikan pada setiap masa dan ketika.

Keenam, membayangkan seolah-olah kerja kita hari ini adalah kesempatan usaha yang terakhir kerana dengan mengingati mati dapat menghidupkan hati.

Banyak mengingati mati

Imam al-Ghazali dalam Mukasyafah al-Qulub, menukilkan daripada Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang bijaksana lagi mulia di antara manusia? Baginda menjawab: Orang yang paling banyak mengingati mati dan menyediakan dirinya untuk itu. Ia adalah manusia yang bijaksana kerana telah membolot kemuliaan dunia dan kelebihan akhirat.

Ingatan kepada ajal yang tidak diketahui bila akan mengundang, dapat memperteguhkan iman untuk melaksanakan kerja dengan sebaik-baiknya.

Ketujuh, memperteguhkan pengharapan dengan tinggi kepada Allah SWT dalam setiap gerak geri melalui doa, selawat, zikir dan membaca al-Quran juga adalah sebahagian daripada iman.

Justeru, sebagai pekerja Muslim yang berazam ke arah profesionalisme, marilah kita menguatkan hati dan minda dengan pengukuhan iman sepanjang hayat.

Sumber: Bharian

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!