Sunday, February 3, 2013

Berjimat bukannya kedekut


KEKAYAAN lelaki ini mencecah RM48.6 billion.


INGVAR KAMPARD merupakan seorang pengasas syarikat perabot gergasi dunia - Ikea dan salah seorang individu terkaya dunia.

Selain jenama Ikea yang menyebabkan beliau menjadi ikon, lelaki berjiwa besar ini juga dikenali umum seorang yang cerewet dalam soal berbelanja.

Sikap sedemikian menyebabkan sesetengah pihak mengatakan beliau seorang yang tangkai jering atau kedekut.

Kampard sering tampil di khalayak umum dengan mengenakan jaket lusuh yang sudah dimamah usia selain kasut usang bagi mencerminkan sifat peribadinya.

Berkahwin dan mempunyai empat orang anak, lelaki yang memulakan empayar perniagaan dengan hanya menjual batang mancis itu hanya menggunakan kelas penerbangan ekonomi untuk urusan perniagaan.

Menurut satu temu bual beliau dengan sebuah stesen televisyen Sweden, Kampard menggalakkan kakitangan Ikea untuk menulis di kedua-dua helaian kertas.

Kampard juga masih memandu sendirian kereta Volvo 240GL yang dibelinya hampir 20 tahun lalu.

Dihalau


BAHAGIA bersama isterinya, Margaretha.


Malah pemilik harta yang dianggarkan berjumlah AS$15.7 bilion (RM48.6 bilion) ini sanggup memecat tukang gunting rambutnya yang bertugas sejak sekian lama kerana berjumpa dengan tukang gunting rambut baharu yang sanggup menerima bayaran RM24 untuk sekali khidmat.

Tutur Kamprad, memikirkan cara untuk menjimatkan duit bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk pelanggannya.

Itulah prinsip peribadinya yang tertinggi. Beliau pernah berkata "Orang yang membeli-belah di Ikea tidak memandu kereta mewah mahupun tinggal di hotel mewah."

Rumah yang didudukinya hanyalah sebuah banglo setingkat sederhana besar dengan perabot di dalamnya diperoleh secara percuma daripada Ikea.

Salah satu kisah menarik mengenai dirinya ialah pernah dihalau oleh penyambut tetamu ketika menghadiri majlis penganugerahan ahli perniagaan berjaya. Kejadian itu berlaku selepas Kampard dilihat turun dari sebuah bas.

Ditanya oleh para wartawan mengenai sikap berjimat cermatnya, lelaki berumur 86 tahun itu menjelaskan: "Saya memang seorang yang penjimat dan tidak berbelanja berlebihan, anda ada masalah tentang itu?"

Beliau pernah ketagihan alkohol sebelum dapat membuang tabiat itu.


RUMAH keluarga Kampard di Sweden yang menjadi titik asal untuknya memulakan perniagaan.


Tawar-menawar

Kamprad juga hidup sederhana bersama isterinya Margaretha di Switzerland.

Mereka juga didakwa dilihat sering makan di restoran murah dan sering tawar-menawar jika membeli barangan di kedai.

Lelaki ini juga sering membeli-belah pada waktu tengah hari kerana harga barangan basah di pasar akan menurun kerana perbezaaan kualitinya.

Nama Ikea sebenarnya merupakan akronim daripada nama pengasasnya (Ingvar Kamprad), ladang tempat beliau membesar (Elmtaryd), dan negeri tempat asalnya (Agunnaryd, di Småland, Selatan Sweden).

Sejarahnya menceburi bidang perniagaan bermula sejak beliau berumur lima tahun. Kamprad mula menjual mancis kepada jirannya dan dua tahun selepas itu beliau mula merantau untuk berniaga menggunakan sebuah basikal.

Beliau mendapati dengan membeli mancis dalam kuantiti yang banyak di Stockholm dan menjual secara berasingan dengan harga yang rendah memberi keuntungan berlipat kali ganda.

Daripada mancis, Kampard menjual benih bunga, kad ucapan, dekorasi pokok Krismas, dan pensel serta pen.

Beliau hadir dengan idea tersebut dengan asalnya menjual pen, dompet, bingkai gambar, selendang meja, jam tangan, barang kemas dan stoking nilon. Semua itu untuk memenuhi keperluan barangan dengan harga rendah.

Ikea kini diuruskan bersama tiga anaknya Peter, Jonas dan Matthias, kerana Kampard tidak mahu salah seorang anaknya mempunyai kuasa majoriti.

Beliau juga menafikan akan bersara.


KERETA Volvo 240GL yang masih digunakan oleh Kampard.


"Walaupun usia semakin lanjut, saya mempunyai banyak kerja untuk dilakukan dan tiada masa untuk berehat,' katanya kepada wartawan majalah Bilanz.

Itu sekali gus menafikan spekulasi media yang mengatakan beliau bakal bersara dan menyerahkan perniagaan kepada tiga orang anaknya.

Lelaki ini juga ditanya sama ada berlaku pertelingkahan dengan anak-anaknya dalam urusan perniagaan.

"Itu merupakan satu perkara yang normal dalam sebuah keluarga, lagi-lagi ketika menjalankan perniagaan bersama.

"Kadangkala kami berselisih pendapat tetapi itu perkara normal dalam sesebuah keluarga dan ada cara untuk menyelesaikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!