Tuesday, February 12, 2013

Misteri autisme

pix_gal0
Sedari kecil, Hana gemar mengajuk cakap sesiapa saja. Jika ditanya, siapa nama? Tiada jawapan diberi tetapi ayat siapa nama? akan diajuk kembali.

Di kala usianya masih kecil, lagaknya itu mengundang jenaka di kalangan ahli keluarga namun apabila menginjak usia empat tahun, jenaka itu bertukar menjadi kebimbangan tambahan pula, Hana masih tidak mampu bertutur dan lasak.

Sehinggalah, satu hari, selepas beberapa kali pertemuan dengan doktor pakar, Hana disahkan mengalami autisme.


Persoalan berakar dalam benak si ibu tentunya mengenai masa depan anak comel itu. Adakah dia mampu berdikari, sama seperti insan normal lain?

Penolong Setiausaha, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Zuariyah Mohd Noor, berkata autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada anak dan gejalanya selalunya timbul sebelum anak itu mencapai usia tiga tahun.

Penyebab autisme adalah gangguan neuro biologi yang mempengaruhi fungsi otak sehingga anak tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif.

Kata Zuariyah, autisme adalah penyakit seumur hidup yang tiada ubat dan sehingga kini, tiada pihak dapat memberitahu apa faktor penyebab autisme.

Justeru, ibu bapa harus menjangkakan di setiap peringkat hidup anak autisme datang bersama kemungkinan dan masalah berbeza.

Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai emosi, nafsu dan perasaan, cuma semuanya itu dikaburi perilaku luar kawal akibat masalah pada saraf dipanggil vestibular problem, masalah tingkah laku dan deria, katanya.

Masalah selalu timbul adalah salah tafsir masyarakat yang tidak memahami apabila melihatkan anak autisme berwajah normal, namun memiliki perilaku luar kawal sehinggakan ada segelintir ibu bapa berasa malu tampil di khalayak, katanya.

Zuariyah mengakui, penerimaan masyarakat terhadap anak autisme masih terlalu jauh, malah beliau sendiri kurang gemar apabila ramai melabelkan anak autisme sebagai kurang upaya.

Ia kedengaran seperti prejudis sedangkan kanak-kanak ini kadangkala lebih bijak dan mempunyai kecenderungan lebih terhadap bidang muzik serta gajet elektronik.

Disebabkan prejudis masyarakat itulah yang dikatakan menjadi punca ramai penghidap autisme di United Kingdom membunuh diri, katanya.

Mengubah tanggapan negatif boleh dimulai dengan tindakan awal ibu bapa sendiri iaitu melalui bimbingan dan terapi khusus, bertujuan mengawal perilaku mereka.

Kanak-kanak autisme tidak boleh menjadi normal, mereka juga tidak boleh diubati tapi yang nyata, individu ini boleh diuruskan.

Paling utama bagi anak autisme adalah bimbingan awal sebagai jaminan untuk anak itu berdikari di masa depan.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak autisme perlu diajar menjalani kehidupan membabitkan semua aspek sama ada pengurusan diri, bermain juga bergaul dari awal, katanya.

Bagaimanapun, banyak pihak seakan terlupa, kanak-kanak ini akan membesar suatu hari nanti dan memerlukan program khas bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kita fikir budak, tapi mereka akan besar. Selepas usia 19 tahun, apa program yang dapat menjamin kehidupan mereka malah Jabatan Kebajikan Masyarakat sendiri tiada rumah perlindungan khas untuk individu autisme kerana itu juga antara kebimbangan diluahkan ramai ibu bapa di mana anak autisme hendak menumpang hidup setelah mereka tiada lagi di dunia, katanya.

Naib Pengetua Nasom, Rusmawati Abdullah, berkata sekiranya kanak-kanak autisme dikesan dan dirawat secara perlahan pada peringkat awal usia lagi, mereka mungkin dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Sehingga kini, ada penghidap autisme dapat dikesan seawal usia 18 bulan disebabkan wujudnya kesedaran di kalangan pengamal perubatan dan ibu bapa mengenainya, katanya.

Sejak 2005, Nasom menawarkan program pengesanan, penilaian dan diagnosis bagi pengesahan autisme bermula di Jalan Pahang dan kini di Pusat Sehenti Nasom-Kiwanis Autistik PJ, Setia Alam, Meru, Selangor, bermula November tahun lalu.

Kami di Nasom turut menggalakkan, anak autisme menjalani program intervensi awal selama enam bulan yang memfokuskan kepada kemahiran sosial dan urus diri, katanya.

Program ini disediakan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi.

Ada juga anak autisme menyertai Program Peralihan memenuhi kriteria berserta kelulusan Kementerian Pendidikan berpeluang meneruskan pelajaran di sekolah biasa terpilih.

Bagaimanapun, hanya mereka yang layak saja akan dibenarkan kerana kanak-kanak ini memerlukan sokongan tanpa ada sikap prejudis orang lain. Kita tidak mahu jika tersalah langkah akan menyebabkan keadaan mereka bertambah serius, katanya.

Program Sekolah Aliran Biasa itu dimulakan dengan kerjasama Nasom dan Kementerian Pendidikan sejak 2005 di 12 sekolah perdana terpilih di mana setiap sekolah terbabit dibekalkan alat bantuan mengajar bagi memastikan anak autisme tidak ketinggalan dalam pelajaran. Program Rumah turut dirangka Nasom, khusus bagi ibu bapa yang mengalami kesukaran menghantar anak ke sekolah khas.

Kami akan rangka program pendidikan individu berasaskan keperluan murid dan menjalankan penilaian berkala, katanya.

Sebagai bekalan, kemahiran hidup turut diajar melalui program vokasional khusus bagi anak autisme yang tidak berpeluang memasuki sekolah.

Tiga pusat menawarkan pendidikan vokasional turut ditubuhkan di mana mereka berpeluang mempelajari kemahiran tertentu seperti memasak, menyediakan makanan, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjahit, menghasilkan kerja tangan dan kemahiran komputer.

Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan yang ingin menyediakan diri bagi memasuki alam pekerjaan, katanya.

Bagaimanapun kata Rusmawati, kunci kejayaan dalam mendidik anak autisme adalah kesinambungan latihan dan kerjasama.

Hasil pasti akan kelihatan jika ibu bapa komited kerana ketahuilah bahawa anak istimewa ini tidak bodoh tapi mereka memerlukan bantuan untuk mempelajari kemahiran dalam tempoh masa tertentu.

Saya juga suka untuk mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengasingkan anak autisme kerana tanpa pendedahan, masyarakat juga tidak akan terbuka dan faham, katanya. 
Sumber: Siti Nur Almizan Arifin, Bharian

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!