Sunday, February 17, 2013

Pusat spa pelajar istimewa


Sebahagian pelajar Pendidikan Khas bersama pengetua dan guru mereka pada program 'Pengalaman Spa' di SMK Panji, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. - UTUSAN/ ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 11 Jun - Pada zaman masyarakat begitu obses dengan penjagaan dan keadaan fizikal diri, pastinya ramai yang sudah acap kali mengunjungi pusat rawatan kecantikan dan spa untuk tujuan itu.

Ramai juga yang tidak kisah berhabis wang ringgit dan meluangkan masa di pusat rawatan bukan sahaja untuk kecantikan luaran tetapi juga kerehatan tubuh badan.

Membiarkan fikiran melayang dengan tangan diurut dan kaki direndam dalam larutan terapi bunga-bungaan sudah tentu merupakan kenikmatan bagi sesiapa sahaja terutama selepas penat bekerja.

Namun bagaimana pula agaknya jika jari jemari yang membuat urutan tangan, kaki dan kepala itu milik remaja istimewa?

Apakah mereka berupaya melaksanakannya dengan sempurna seperti orang yang terlatih dalam bidang itu atau adakah masyarakat sendiri mahu dan berasa selesa mendapatkan perkhidmatan daripada golongan tersebut?

Tembok itu yang cuba dipecahkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji yang merupakan salah sebuah sekolah integrasi program Pendidikan Khas yang memberi peluang kepada pelajar istimewa berusia antara 13 hingga 19 tahun turut serta dalam arus pendidikan perdana negara.

Sekolah yang menempatkan seramai 71 pelajar bermasalah pembelajaran pelbagai kategori selain lebih 1,000 pelajar biasa itu mula mengajar kemahiran rawatan spa seperti urutan kaki dan tangan, potongan dan dandanan rambut serta rawatan muka kepada pelajar istimewanya sejak empat tahun lalu.

Mulai awal tahun ini pula, sekolah itu mengorak langkah baru apabila menumpukan latihan kemahiran tersebut kepada 23 pelajar pendidikan khas dari kumpulan paling lemah agar mereka dapat diberi lebih perhatian di bawah pemantauan tiga Guru Cemerlang iaitu K. A. Razhiyah, Suriati Hamzah dan Zawati Yusoff.

Menurut Pengetua sekolah, Ibrahim Omar, kemahiran spa dan kecantikan yang ditawarkan itu dipercayai satu-satunya program yang dilaksanakan di sekolah integrasi di negeri ini.

Ia bagi membolehkan pelajar mendapat pengalaman baru selain kemahiran pravokasional yang sudah sedia ada seperti mencuci kereta, memelihara haiwan dan bercucuk tanam.

"Kesemua kemahiran itu adalah sebahagian terapi untuk pemulihan mereka dan harus diingat ada antara pelajar istimewa tersebut yang tidak dapat menguruskan diri sendiri, malah guru perlu mengajar mereka perkara yang dianggap mudah seperti cara memakai baju dan menyuap makanan.

"Apapun kami percaya, setiap orang mempunyai bakat masing-masing, anak ini bukan bodoh, kita yang kononnya bijak ini yang mesti mencari kebolehan terpendam mereka dan memberi latihan sewajarnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui semasa program 'Pengalaman Spa' yang merupakan pendedahan pertama kira-kira 10 pelajar Pendidikan Khas menonjolkan kehebatan mereka di hadapan guru dan pelajar lain sekolah tersebut.
Pelajar Pendidikan khas, Nurul Atikah Zaini (kanan) melakukan rawatan muka kepada Adlina Ahmad sambil diperhatikan pembantu pengurusan murid.
Pelajar Pendidikan khas, Nurul Atikah Zaini (kanan) melakukan rawatan muka kepada Adlina Ahmad sambil diperhatikan pembantu pengurusan murid. 
Mereka menunjukkan kepakaran menggunting dan mendandan rambut, mengurut kaki dan tangan serta membuat rawatan muka kepada komuniti sekolah yang sudi mengunjungi 'salon kecantikan' mereka di atas pentas dewan sekolah tersebut.

Masing-masing tidak kira guru atau pelajar teruja dengan perkhidmatan yang disediakan, malah memberi respons positif dan ia terbukti apabila sumbangan ikhlas yang dikutip mencapai jumlah amat membanggakan.

Salah seorang 'pelanggan' yang berpuas hati, Norsyafikah Ismail, 17, berkata, program seperti itu harus dibanyakkan kerana dia percaya rakan-rakan istimewanya mempunyai kebolehan mereka sendiri.

"Saya tidak kisah dengan label 'pelajar Pendidikan Khas' mereka, kita tidak boleh pandang rendah kerana mereka juga boleh buat apa sahaja asalkan mendapat bimbingan dan latihan," katanya yang mendapat rawatan muka.

Pandangan itu disokong seorang lagi pelajar, Engku Ahmad Iqbal Engku Arif, 13, yang pertama kali dalam hidupnya membuat cucian rambut di sebuah 'salon'.

"Rasa sangat selesa selepas rambut saya dicuci dan kemudian diurut pula kepala, tidak sangka kawan-kawan kita berbakat," katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Datin Dyuhiza Anwar berkata, usaha tersebut bukan sekadar melepas batuk di tangga, tetapi pihaknya sudah menjalin hubungan dengan beberapa pengusaha spa di sekitar bandar Kota Bharu yang sudi memberi peluang kepada pelajar terlibat memperoleh pengalaman amali di pusat kecantikan sebenar.

"Pada hujung bulan ini atau awal Julai nanti, kita akan beri mereka peluang tunjukkan kebolehan di pusat rawatan kecantikan di bandar Kota Bharu, manakala pada cuti hujung tahun kita merancang membawa pelajar terbaik mengunjungi pusat rawatan tradisional di Indonesia bagi mengutip pengalaman.

"Matlamat kami adalah untuk membina keyakinan diri pelajar itu dengan komuniti dalam dan luar sekolah serta mempunyai kemahiran yang mungkin menjadi sumber pendapatan apabila mereka tamat belajar nanti," katanya.

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Mat Ali Salleh pula berkata, apa yang paling penting baginya adalah memecah tembok halangan antara golongan yang menganggap diri mereka 'normal' dengan pelajar-pelajar itu.

"Kadangkala masyarakat termasuk guru yang tidak terlibat dengan pelajar pendidikan khas juga skeptik dengan pelajar terlibat, sedangkan adalah menjadi tanggungjawab semua orang untuk membantu mereka.

"Sekolah ini selain memberi pengetahuan praktikal cara mengurus diri kepada pelajar, mereka juga diberi pengetahuan asas agama, kemahiran membaca dan mengira dan lain-lain lagi.

"Malah guru akan berusaha mencarikan peluang pekerjaan sebaik sahaja pelajar tamat persekolahan dan ada antara mereka sudah mendapat pekerjaan tetap," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!