Sunday, April 7, 2013

Kata-kata buat saya pilu

DIGELAR ‘ibu yang teruk’ oleh seorang pelancong asing ketika dia dan keluarga sedang menunggu penerbangan pulang ke Miri, Sarawak di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) tahun lalu, hatinya cukup terguris hingga dia menitiskan air mata.

Puncanya? Pelancong asing itu melihat dia membiarkan saja anak sulungnya, Khayra Aleeya Idi Irawan, 4, baring di atas lantai terminal berkenaan sambil meraung, menjerit dan menangis.


“Pelancong asing itu seorang wanita pertengahan umur dan sebelum dia berkata demikian, dia terlebih dulu menegur saya supaya memujuk Aleeya.

“Melihatkan saya gagal memujuk Aleeya, sebelum beredar, dia terus mengucapkan ayat yang akan saya ingat sampai bila-bila, “you are a terrible mother”. Saya cukup terasa dengan kata-katanya dan menangis tetapi mendiamkan diri tanpa membalas sepatah kata.

“Ibu mana yang sanggup tengok anaknya menangis seperti itu tetapi orang ramai tidak faham kenapa Aleeya berperangai sedemikian rupa. Tanyalah ibu mana sekalipun, tiada seorang yang sanggup tengok anaknya membuat bising dan menangis sampai begitu sekali di tempat awam.

“Setiap kali Aleeya buat perangai memang dia sukar ditolong walaupun saya sudah sedaya upaya memujuknya. Saya juga akui sering malu dengan sikapnya itu tetapi dia cuma seorang anak kecil yang belum tahu apa-apa sebaliknya sukar untuk memahami sesuatu benda kerana masalah autisme yang dihidapinya.

“Pelancong asing itu antara mereka yang tidak mengetahui keadaan saya yang memiliki seorang anak istimewa seperti Aleeya. Mereka hanya memandang sinis terhadap saya dan mula membuat andaian saya ini tidak pandai didik anak,” katanya.

Itulah dilema dialami Rahayu Yusof, 31, ibu muda yang tabah dan sabar dalam melalui kehidupan seharian bersama anak kesayangan yang menghidap autisme walaupun kadang-kadang terpaksa berendam air mata sendirian.

Aleeya mula disahkan sebagai kanak-kanak autistik pada usianya dua tahun lapan bulan selepas dibawa berjumpa doktor pakar dan menjalani pelbagai penilaian mahupun rawatan terapi.

Pada mulanya, gejala paling ketara membelenggu diri Aleeya ialah ketidakupayaan si kecil itu bertutur walaupun umurnya sudah dua tahun serta buat tidak tahu setiap kali dipanggil.

Selain itu, dia juga menjerit atau bersembunyi tidak tentu pasal apabila terpandang nombor satu dan papan iklan di tepi jalan.

Disebabkan umurnya masih kecil ketika berperangai sebegitu, Rahayu serta ahli keluarga lain beranggapan tingkah lakunya itu comel dan menghiburkan hati.

Tidak terlintas langsung di fikiran Rahayu anaknya menunjukkan gejala awal autisme sehinggalah pada satu hari dia menonton rancangan di televisyen yang mengupas isu autisme di kalangan kanak-kanak.

“Sepanjang tontonan itu, saya baru perasan segala tanda dan perilaku yang ditunjuk serta diulas sama seperti apa yang berlaku pada Aleeya. Bermula daripada situ, ia membuka minda saya untuk mengambil tindakan secepat mungkin.

“Bukan saya tidak pernah pergi menemui doktor dan bertanyakan hal ini tetapi seperti biasa mereka menyatakan itu perkara biasa sebab Aleeya masih kecil dan dalam proses pembesaran.

“Tetapi selepas itu, seorang doktor mengesyorkan saya berjumpa doktor pakar kerana mendapati budak perempuan yang sudah berumur dua tahun setengah masih tidak pandai bercakap, sesuatu yang bahaya.

“Saat diberitahu Aleeya menghidap autisme, sukar saya untuk mempercayainya dan menetapkan minda serta hati untuk berkata, tidak anak aku tak begitu, anak aku normal.

“Berbulan-bulan juga saya hidup dalam keadaan menidakkan kenyataan itu. Namun, lama-kelamaan saya mulai sedar dan berazam akan melakukan apa saja untuk merawatnya,” katanya.

Bermulalah episod hidupnya mencari maklumat di Internet mahupun bertanya kepada doktor mengenai penyakit ini agar dia juga boleh membantu Aleeya.

Sebagai langkah permulaan, Rahayu memilih untuk bermula dengan program intervensi awal kanak-kanak autistik dan beberapa terapi lain sebagai cara membantu Aleeya.

Secara perlahan-lahan, dia menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan walaupun kadang-kadang ‘angin’ dia akan berulang.

Rahayu turut mencari seberapa ramai golongan ibu yang mengalami nasib serupa dengannya di blog atau laman facebook yang terdiri daripada kumpulan sokongan agar dapat menolongnya berkongsi pendapat serta hari mendatang.

“Dengan cara ini, saya dapat menenangkan sedikit fikiran kerana berupaya berkongsi pendapat, perasaan serta bertanyakan soalan kepada mereka mengenai autisme dan kerenah anak-anak.

“Mereka juga sering menasihati saya mencari masa untuk diri saya sendiri dan jauh daripada anak-anak agar tidak terlalu tertekan tetapi saya masih belum mampu berbuat demikian. Mungkin satu hari nanti, insya-Allah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!