Wednesday, May 8, 2013

Arkitek Disleksia






LEBIH 25 tahun lalu, ketika berada di sekolah rendah, Ar Sarly Adre Sarkum berdepan cabaran getir berbanding kanak-kanak seusianya. Di sekolah, dia dilabel sebagai pelajar lembam kerana kesukarannya membaca dengan lancar.

Bukan itu sahaja, disebabkan kekurangan itu, dia menjadi pelajar yang kurang digemari dan sering menjadi mangsa buli. Dia sering tertanya-tanya apakah kekurangan dirinya sehingga perlu berhadapan dengan situasi sedemikian sepanjang tempoh usia yang mentah itu.

Ketika menghadapi peperiksaan pula, Sarly mengakui terpaksa menghafal untuk lulus. Saat Sarly mengimbas kisah zaman sekolah rendahnya, dia cuma dapat membaca dengan lancar apabila berada dalam darjah dua.
“Waktu itu saya semakin menyedari kekurangan saya namun langsung tidak mengetahui puncanya. Maka disebabkan itu, saya berusaha dua kali ganda berbanding pelajar lain untuk cemerlang.

“Sekiranya pelajar lain mengulangkaji pelajaran selama dua jam, saya pula memerlukan sehingga empat jam kerana saya banyak menggunakan teknik menghafal untuk memahami subjek-subjek yang saya pelajari,” katanya.

Mengimbas kehidupan persekolahannya ketika berada di tahun lima di Sekolah Rendah Wellesley di Pulau Pinang, Sarly memberitahu dia perlu bersaing dengan pelajar Cina yang merupakan kaum majoriti di dalam kelas terbaik yang didudukinya.

SARLY bukan sahaja berjaya mengatasi masalah disleksia yang dihidapinya, bahkan melanjutkan pelajaran ke menara gading dalam bidang seni bina.


“Hasil kerja keras dan ketekunan mengulangkaji pelajaran, saya mendapat tempat kedua di dalam Penilaian Darjah Lima peringkat negeri.

“Pencapaian itu mendapat perhatian Kementerian Pendidikan yang kemudian menawarkan saya peluang menyambung pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK),” katanya yang kini berusia 34 tahun.
Keazaman untuk berjaya tidak pernah luntur dalam dirinya. Sejak di MCKK sehingga menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Seni Bina (B.A Architecture) di Universiti Liverpool, United Kingdom (UK), Sarly sentiasa optimis demi mencapai cita-citanya menjadi seorang arkitek.

“Perancangan asal saya untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di UK tersasar apabila saya diminta pulang ke Malaysia pada tahun 1998 apabila ayah saya disahkan menghidap barah otak.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga berjaya melalui saat getir itu dan ayah disahkan sihat selepas menjalani pembedahan. Sehingga kini, tanda pembedahan di dahi ayah sentiasa mengingatkan saya akan detik itu,” katanya yang menyambung pengajian yang tergendala di Universiti Sains Malaysia (USM).

Kepulangan Sarly ke tanah air tidak sia-sia. Dia bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, bahkan USM telah mempertemukannya dengan isteri, Noorhanisham Husin, 30, yang dikahwininya pada tahun 2002.

Hasil perkahwinan itu, Sarly dan Noorhanisham dikurniakan dua cahaya mata iaitu Irdina Sofea, 6, dan Muhamad Adam, 3.

Kehadiran cahaya mata Irdina Sofea rupa-rupanya membuka satu cerita baru dalam hidup Sarly kerana hanya selepas itu lelaki tersebut mengetahui kesukarannya memproses ilmu di sekolah dulu adalah kerana dia adalah penghidap disleksia.

KANAK-KANAK disleksia menghadapi masalah untuk mengenal huruf. - Gambar hiasan


“Saya hanya mengetahui saya menghidap disleksia selepas Irdina didiagnos penyakit sama.
“Bezanya, dahulu saya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya tetapi anak saya kini mendapat kelebihan kerana dia mendapat rawatan serta pendidikan khas untuk kanak-kanak sepertinya,” ujar Sarly yang menghantar anaknya mendapat pendidikan khas di Pusat Disleksia Ampang, Kuala Lumpur.

Kerjaya arkitek

Sarly kini adalah arkitek dan Pengarah BDA Architects Sdn. Bhd. dan merupakan ahli termuda di dalam Pertubuhan Arkitek Malaysia. Dia juga merupakan sukarelawan untuk Yayasan Ar-Raudhah di Gombak.
“Sasaran saya dalam kerjaya ini adalah bagi menaikkan nama arkitek Malaysia di mata dunia. Agak mengecewakan ketika ini kerana negara lebih mengagungkan arkitek dari luar sedangkan arkitek Malaysia juga bertaraf antarabangsa
.
“Saya berharap pada masa akan datang akan ada pertandingan dianjurkan supaya pemilihan arkitek untuk sesuatu projek berdasarkan pertandingan yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, antara hasil rekaan seni bina pasukan Sarly yang dibangunkan ketika ini termasuklah inovasi bangunan baru kampus USM Pulau Pinang, kompleks stesen minyak Petronas Taman Tun Dr. Ismail, Monorail Pulau Pinang, pembangunan semula Lebuh Buckingham, Pulau Pinang dan Pusat Angkasa Negara di Banting Selangor.

“Saya tidak menjadikan kekurangan saya sebagai punca kegagalan tetapi ia menjadi aspirasi saya untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi,” katanya.

Disleksia

Disleksia berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘dyn’ bermakna susah dan ‘lexia’ bermakna tulisan, ia bukannya satu penyakit. Disleksia merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak iaitu membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa.

KELUARGA bahagia Sarly, (dari kanan) Adam, Noorhanisham dan Irdina Sofea.


Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan. Malah sebahagian daripada orang yang terkenal juga mempunyai disleksia.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.

Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia atau mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kebajukan Masyarakat untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas.

Di Malaysia, kanak-kanak yang telah disahkan disleksia boleh mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU). Mereka mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mengikuti kelas pemulihan di bawah seliaannya.

1 comment:

  1. salam saudara. anak sy juga mengalami masalah yang sama, moga entry ini memberi satu motivasi yg tinggi untuk saya mendidiknya.

    ReplyDelete

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!