Tuesday, May 14, 2013

Symptom dan langkah awal membantu anak2 autisma


Artikel yang wajar dikongsi bersama.

by Ar Rizqy (Notes) on Tuesday, June 7, 2011 at 6:19pm


Assalamualaikum WBT

Salam semua, kita berjumpa lagi kali ini terima kasih saya ucapkan kepada ibu-ibu yang memberi maklum balas terhadap penulisan saya yang lalu.

Sememangnya saya hanya ingin berkongsi… rasa berkongsi itu terpanggil disebabkan saya berhadapan dengan segelintir ibu bapa yang masih tidak sedar atau lambat sedar atau rasa tidak ada kekuatan untuk mengakui tentang kelainan terhadap perkembangan anak-anak mereka. Ada juga yang tidak pernah tahu kelainan tersebut disebabkan belum pernah ada pengalaman (autism pada anak sulung atau anak sebelumnya). Kepada ibu bapa yang dapat mengenal pasti kelainan terhadap perkembangan anak-anak seawal umur mereka (sebaiknya dibawah umur 6 tahun), bertindak, bertindak, dan bertindaklah…

Melalui pengalaman saya, (berhadapan dengan kes dan mengikuti kursus) anak-anak ini boleh sembuh tetapi mereka perlukan kita untuk dibantu… lagi awal mereka dibantu, lagi cepat perubahan kita akan lihat. Sementelah lagi, pada usia 7 tahun mereka akan memasuki alam persekolahan dan sebolehnya kita mahukan mereka melalui fasa yang normal seperti kanak-kanak lain.

Sebelum saya meneruskan penulisan lebih jauh lagi, ingin saya maklumkan disini dalam menerangkan tentang autism, saya tidak memiliki kelulusan tertentu dalam bidang ini. Saya juga tidak mempunyai kajian tertentu serta statistik kejayaan berkaitan metod/terapi yang saya jalankan terhadap anak saya… saya seorang ibu yang tidak ada apa-apa basic seperti anda untuk mengubati anak saya. Tetapi pada saya itu bukan alasan untuk kita berdiam diri, menerima bulat-bulat tanpa berusaha untuk mengubahnya, jangan sesekali mencipta ayat:

“saya dah puas dan penat berusaha untuk anak saya, tapi nampaknya tiada perubahan pun.. biarlah keadaannya begitu..”

Sebaliknya setiap hari kita tanyakan kepada diri kita… apalagi dan lagi usaha yang boleh saya demi membantu dia kembali normal…

Jadi, jangan mencipta alasan untuk membantu mereka… siapapun kita, ilmu dan duit boleh dicari. Title kita sebagai ‘IBU BAPA’ lebih besar pengaruhnya dalam mendidik mereka berbanding ‘doktor’, ‘pakar’ malah 'guru' sekalipun…

Istikharahlah pada yang maha pakar mengubati… minta diberi “Ihdinas sirothol mustaqim”(jalan yang lurus dan benar) dalam usaha membantu anak kita. Tidak kiralah samada mempertemukan kita dengan orang yang dapat menunjukkan jalan atau mengarahkan kepada kita ilmu, cara, terapi, dan apa sahaja yang dapat membantu anak kita… supaya kita terus terarah pada usaha yang betul.

Saya juga ingin menekankan bahawa tidak semestinya ilmu serta pengalaman yang ingin saya kongsikan tentang bagaimana langkah awal yang saya ambil untuk membantu anak saya adalah langkah yang pasti sesuai juga untuk anak-anak autism yang lain, kerana pada saya:
  1. tahap autism anak mungkin berbeza-beza (bergantung kepada symptom)
  2. keadaan persekitaran yang banyak mempengaruhinya (siapa yang menjaga, pemakanan, minat, dan aktiviti hariannya)
  3. saya  tidak menidakkan mana-mana cara yang dilakukan oleh ibu bapa lain (sebab itu saya juga ingin mendapatkan perkongsian dari orang lain juga) selagi ia membantu memulihkan anak-anak kita , teruskan!!

Pada saya, lebih baik belajar satu ilmu dan menguasainya serta konsisten/istiqomah mengamalkannya, daripada belajar banyak tapi tidak satu pun menguasainya dan seperti lalang dalam mengamalkannya.;)

Walaubagaimanapun, pada ibu bapa yang masih tercari-cari, besar harapan saya sekiranya perkongsian saya ini sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada ibu bapa untuk membantu anak-anak khasnya…

Untuk pengetahuan semua, symptom awal autism agak tidak ketara pada umur 1 tahun, kerana anak-anak ini tidak mengalami perubahan besar berbanding anak-anak normal yang lain… symptom mula ketara seawal usia 2 tahun keatas. Persamaan symptom ke atas semua anak-anak autism:

  1. tiada eye contact ketika bercakap dengan mereka. Maknanya mereka tidak boleh memandang tepat ke muka kita sewaktu kita bercakap dengan mereka. Tidak memahami arahan kerana tidak fokus memandang sewaktu diberi arahan.
  2. kurang atau tiada social interaction dengan orang disekeliling mereka. Tidak mahu bergaul, bermain, berinteraksi walaupun dengan orang terdekat dengan mereka. Tidak akan bertindak balas apabila namanya dipanggil.
  3. mereka ada didalam dunia mereka sendiri. Terkadang mereka ketawa tanpa sebab, menangis serta marah tanpa sebab dan tidak akan kongsi perasaan itu dengan orang lain.
  4. tidak sensitif terhadp persekitaran mereka. Tidak tahu menunjukkan rasa gembira, teruja, marah, terhadap perubahan yang berlaku disekitar mereka. Terkadang kita agak sukar untuk memahami kehendak mereka.
  5. Obses terhadap sesuatu. Mengikut pengalaman saya dan dari ibu-ibu yang lain, apa benda yang membuatkan mereka obses adalah berbeza-beza… tetapi kebanyakannya mereka obsess kepada objek yang berkilau seperti air, cermin, cd, kaca dan sebagainya. Anak saya sangat obses pada cd.
  6. sangat hyper dan sukar tidur. Kandungan glukos yang tinggi di dalam badan mereka (hasil kajian) menyebabkan mereka tidak letih, dan sentiasa ada tenaga berlebihan untuk melakukan aktiviti melompat, memanjat dan berlari. Keadaan ini akan menjadi lebih mencabar apabila kita memberikan makanan yang bergula seperti air kotak, gula-gula, kuih muih yang manis, dan semua jenis makanan yang bersumberkan gula. Tenaga mereka akan bertambah 2 kaliganda dari biasa.
  7. tidak boleh berada di tempat lapang. Mereka akan berlari/berjalan sejauh mungkin membawa mereka ke pasaraya atau tempat yang ramai orang memerlukan pemautauan yang ketat.
  8. mereka gemar mengibaskan jari.
  9. mereka gemar membuat aktiviti yang mereka suka secara berulang-ulang.
10.  gemar menyusun objek.
11.  sangat lambat bercakap.

Ibu bapa yang dikasihi:

Ini hanyalah symptom. Titik awal untuk mengenal pasti mereka, bukannya titik awal terhadap kejatuhan semangat kita. Menangislah jika perlu, saya sendiri setelah pasti beberapa symptom itu ada pada anak saya, saya menangis juga sepuas hati. Kita tidak mampu membohong hati sendiri… manusia biasa yang banyak kekurangan diri… tetapi selepas itu, saya bangkit dengan sebenar-benar kebangkitan, memberi tempoh setahun untuk membuktikan anak saya boleh berubah.

Saya juga terkadang tewas apabila orang-orang di luar sana (kadangkala dikalangan keluarga kita sendiri) yang memandang anak kita dengan pandangan yang pelik sehingga mengeluarkan kata-kata:

  1. “kenapa dia tak boleh bercakap lagi ye…?”
  2. “buasnya dia ni…”
  3. “tak reti bergaul ker dia ni..? asyik buat hal sendiri je…”
  4. “eh, berapa umur dia..? kenapa tak pandai lagi..? tengok anak sipolan, boleh buat itu dan ini…


MasyaAllah moga kita diberi kekuatan menghadapi dugaan yang boleh melemahkan semangat kita dengan kata-kata manusia. Buat satu tembok untuk tidak memperdulikkan kata-kata mereka sehingga kita tidak terkesan sedikitpun. Kata-kata mereka tidak sedikitpun dapat merubah anak-anak kita. Bangun dan mulakan langkah kita…

LANGKAH KEBANGKITAN!

Sebenarnya kita tidak mampu merubah orang disekeliling kita tanpa kita sendiri merubah diri kita terlebih dahulu. Oleh itu saya bahagikan langkah awal saya kepada 2 kategori iaitu:
  1. perubahan terhadap diri kita sebagai ibu bapa
  2. perubahan terhadap anak

1)      IBU BAPA
  1. perbaiki hubungan kita dengan Allah
  2. minta ampun dari ibu dan dambakan doanya
  3. positifkan diri, dalam segala tindakan dan fikiran. Motivasi diri, motivasi anak!
  4. Kepada suami, sokonglah isterimu…
  5. Sentiasa yakin anak kita akan sembuh, dan bayangkan dia dalam keadaan normal setiap kali selepas solat.
  6. Menjadi hebat dimata anak dan di pandangan Allah
  7. Sentiasa bersangka baik kepada Allah dan ingat janjiNya.
  8. Bertawassul
Saya betul-betul minta maaf kerana langkah perubahan untuk ibu bapa ini terlalu panjang untuk saya huraikan disini. Ya, kerana inilah permulaan kita, sebelum membantu anak... saya tidak pasti pengalaman ibu bapa lain di luar sana mungkin ada yang Allah mudahkan cara dengan kurang mengalami ujian berat menghadapi anak autism. Saya pernah katakan yang peringkat awal strategi sewaktu membantu anak saya agak tidak memberangsangkan. Saya tidak merasa saya gagal, tetapi saya anggap ia satu peluang untuk saya memperbetulkan strategi sehinggalah akhirnya saya dapati faktornya ialah saya belum 100% berubah. Selepas proses diatas dapat dilakukan, Proses perubahan pada anak dipermudahkan. Sekiranya saya ada kelapangan, InsyaAllah saya akan kupas topik ini dengan lebih terperinci.

Sekiranya kita mampu berubah:

- kita tidak akan stress menangani mereka, malah setiap hari teruja untuk mengajar mereka.
- Sangat bersyukur pada Allah, menjadikan anak kita sebaik-baik guru untuk merubah diri kita istiqomah dengan pegangan " Allah sebaik-baik penolong" (rasanya jika tidak diuji begini, tak mungkin saya sentiasa merasa Allah itu dekat..)

2) ANAK
a. pemeriksaan secara fizikal (daripada pakar)
kerana dikuwatiri ada gangguan dalam organ-organ lain sebagai contoh ada gangguan terhadap system pendengaran yang menyebabkan anak lambat menagkap perkataan yang kita sebut dan akhirnya dia tidak dapat bercakap. Perlu diingat perkataan yang keluar dari mulutnya adalah refleksi dari apa yang didengarinya… keadaan peti suaranya juga penting kerana jika dia dapat mendengar dengan baik, tetapi peti suaranya terganggu masih juga dia tidak dapat mengeluarkan bunyi.

b. keadaan Kesihatan
ia juga penting terutamanya jika ada anak-anak autism yang sering diserang lelah/astma. Apabila mereka diserang lelah/astma, rangsangan untuk mereka bercakap juga menjadi kurang kerana mereka cepat letih. Mereka malas bercakap kerana mereka lebih mementingkan kepada pernafasan daripada bercakap mengeluarkan bunyi.

c. Pemeriksaan secara spiritual (daripada ustaz-ustaz bertauliah)
 mengikut apa yang diperkatakan oleh Haji Lokman (pemilik Pusat Rawatan Syifa’ Al Hidayah) kanak-kanak yang mengalami delay development mereka, biasanya akan mengalami gangguan dalam system imunisasi mereka atau dalam bahasa yang sering digunakan oleh org kita ialah “lemah semangat”. Apabila hal ini terjadi, gangguan makhluk halus sering terjadi terhadap mereka. Tetapi harus diingat bukan semua anak autism akan mengalaminya. Tetapi tidak salah untuk mendapatkan rawatan atau nasihat sebagai kepastian. Hal ini berlaku kepada anak saya sendiri dimana, setelah gangguan ini dapat diatasi, proses mengajar mereka bercakap menjadi lebih mudah. Antara symptom gangguan ini ialah mereka suka mengasingkan diri disuatu tempat dan seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang dengan bahasa yang tidak kita fahami. Selain itu badan mereka senang mengumpul angin, perut kembung, kurang selera makan dan sering mengigau ketika tidur malam. Perlu diingatkan, dapatkanlah ustaz yang bertauliah terutama dalam bidang perubatan alternatif yang berasaskan AlQuran.

d. Cari minat anak
bagi anak-anak yang tidak langsung mengeluarkan perkataan, menggunakan minat anak sebagai rangsangan untuk mereka berkata adalah lebih mudah… percaya atau tidak, perkataan pertama yang keluar dari mulut anak saya ialah “Patol, Lula, Eli, dan Pocoyo’" iaitu watak-watak dalam kartun pocoyo. Benar, percayalah setelah mereka mampu mengeluarkan bunyi untuk kali pertama, mereka akan yakin untuk mengeluarkan bunyi yang lain... dan akhirnya boleh membina perkataan. (perlu penjelasan lebih lanjut)

e. Ransang... ransang... dan ransang otaknya
Autism banyak berkaitan dengan pembangunan otak. mereka lambat dalam segala hal kerana ada pembangunan otaknya yang terganggu. mereka juga melihat fungsi sesuatu barang juga berbeza dengan fungsi sebenarnya. sebagai contoh mereka tidak tahu main permainan dengan betul. Jadi, banyak lakukan aktiviti untuk meransang otaknya. aktiviti seperti melompat di trampolin banyak membantu untuk mereka cepat bercakap. (perlu penjelasan lebih lanjut)

f. Buat aktiviti yang banyak melibatkan mereka. lagi baik sekiranya dapat melibatkan juga adik beradik yang lain. Lakukan aktiviti ketika mereka sedang gembira. jangan buat ketika mereka sedang mengantuk atau lapar. ia sangat penting kerana keadaan yang tidak sesuai akan membantutkan minat mereka. (juga perlu penjelasan lanjut)

g. Buat soalan yang berulang-ulang kepada nya.
Disebabkan mereka lambat proses sesuatu maklumat, soalan dan jawapan yang berulang dapat membantu mereka mengingati sesuatu fakta. Mulakan dengan soalan yang mudah seperti pengenalan kepada anggota badan dan sebagainya.

h. Air dan kuasanya
Air merupakan satu-satunya benda ciptaan Allah yang dapat memasuki pembuluh darah kita selain dari makhluk halus (jin dan sebagainya). Itu sebab mengapa 'air penawar' sering digunakan dalam perubatan alternatif.Air juga adalah penyerap yang baik.Ayat-ayat AlQuran pula mukjizat dan mengandungi 1001 hikmah untuk perubatan. Ibu-ibu amalkan mambaca surah-surah yang baik pada air dan berikan ia pada anak-anak... tidak perlu menggunakan orang lain kerana Allah memberi keistimewaan kepada kita sebagai ibu dimana doa kita untuk anak-anak sangat dasyat sehingga tiada hijab..

i. Rahsia surah AnNur, Surah Taha dan Ayat Seribu Dinar
Sepanjang saya menggunakan air dan ayat AlQuran untuk membantu anak, ini antara surah AlQuran yang pada saya sangat mustajab dalam menolong meningkatkan kecerdasan anak. Bukan sahaja pada anak yang delay development, malahan untuk anak normal juga sangat baik. Rahsia dan mengapa surah ini sangat mustajab akan saya kongsikan di ruangan lain memandangkan kupasannya agak panjang dan yang penting ibu bapa perlu tahu kekuatan surah ini, supaya kita dapat penghayatan yang baik ketika membacakan untuk anak.

j. Jangan stress dan marah mereka sekiranya mereka tidak menjawab atau tiada mood. Positif!!
Anggaplah mereka sedang 'bergurau' dengan kita, positifkan selalu mereka dengan berkata "sayang bergurau kan, takpe mama tahu kita cuba lain kali yer..." dan bukan berkata "Asyik tak tahu jer..!! penat mama ajar!!". Ingat...! mereka sangat sensitif terhadap perasaan kita. Seorang yang saya anggap guru pernah berkata "Allah kurniakan sensitiviti yang tinggi pada anak-anak yang belum bercakap... dimana dia boleh membaca perasaan orang lain.

k. Jaga pemakanan mereka
Elakkan dari memberi makanan yang berasaskan gula secara berlebihan kepada anak. memberi mereka tenaga tambahan, menjadikan mereka hyper dan tidak fokus terhadap proses pembelajaran. Banyakkan memberi protein kerana protein merupakan nutrien penting dalam membantu mengaktifkan saraf-saraf bekerja untuk mengantar maklumat kepada sel otak.

l. Puji, peluk dan beri penghargaan kepada setiap satu kejayaan yang mereka dapat lakukan walau sekecil mana sekalipun kerana mereka tahu dan rasa dihargai... keyakinan mereka akan bertambah dan akan ada semangat untuk mencuba lagi..

Sebenarnya, setiap satu langkah tersebut perlu ada penjelasannya terutama langkah-langkah yang melibatkan aktiviti bersama anak-anak... tetapi disebabkan ruangan yang terhad serta penulisan yang agak panjang untuk kali ini, menyebabkan saya terpaksa menulis seringkas yang buleh dan mudah difahami. Moga diberi kesihatan yang baik serta masa lapang untuk menulis dan berkongsi lagi.

Minta ampun dan maaf jika ada bahasa yang menyinggung perasaan... Akhir kalam, saya menyeru pada diri saya dan rakan-rakan yang sama berjuang untuk anak-anak kita:

- Walau kita bukan doktor atau pakar... tetapi dengan izin Allah, kita adalah kuasa terbesar merubah anak-anak kita
- Jangan sedih sekiranya kita tidak mampu menghantarnya ke pusat-pusat pendidikan khas yang mahal untuk    
          mereka. Allah itu maha adil, jika tempat-tempat begitu yang dapat mengubah mereka, bagaimana dengan nasib
          anak-anak ini sekiranya ibu bapa tak mampu..? Percayalah.. duit bukan penentu kepada kesembuhan mereka
          sebaliknya usaha, kasih sayang, kepercayaan dan doa kita adalah elemen penting yang akan dinilai Allah untuk
          kesembuhan mereka...

"Ya Allah... Sempurnakanlah akal dan fikiran anakku sebagai mana Engkau menyempurnakan sifat dan kejadiannya.
         Terangkanlah hati dan mindanya sebagaimana Engkau menerangkan bumi dan langit dengan rahmat Mu... Kami
         yang lemah dan tiada daya untuk mengubahnya, melainkan dengan izinMu.. Kerana Engkau maha berkuasa
         terhadap sesuatu, Maha perkasa untuk mencipta daripada sesuatu yang tiada kepada ada... Amin.."

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!