Tuesday, June 11, 2013

Ibu bapa perlu kuat demi anak





IBU mana yang tidak sayu dan sedih apabila dikhabarkan buah hati pengarang jantungnya menghidap penyakit leukemia. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh Azlina Abdul Aziz, 38, ketika diberitahu doktor bahawa anak sulungnya, Nur Sarah Alia Afizi, sembilan, didiagnosis positif Leukemia Limfoblastik Akut (ALL).
ALL adalah sejenis leukemia atau kanser sel darah putih yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.
Malignan, sel-sel darah putih tidak matang terus berganda dan dihasilkan secara berlebihan di dalam sumsum tulang.
ALL menyebabkan kerosakan dan kematian akibat jumlahnya lebih banyak daripada sel-sel normal di dalam sumsum tulang dengan sebaran ke organ-organ lain.
“Segalanya bermula apabila anak saya demam berpanjangan lebih daripada seminggu. Suhu badannya tidak terlalu panas iaitu sekitar 37.5 darjah Celcius sahaja dan muncul kesan lebam-lebam di badannya.
“Apabila dibawa ke hospital untuk melakukan ujian darah pengesahan denggi, saya terkejut kerana hasil ujian tersebut negatif denggi tetapi positif leukemia,” kata ibu kepada dua anak itu.
Kemoterapi
Sejak didiagnosis menghidap ALL pada 16 April lalu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah menjadi rumah kedua bagi dua beranak tersebut.
Sudah menjalani kemoterapi sebanyak empat kali, Azlina perlu kuat memberi semangat, sokongan dan sentiasa berada di samping anak perempuannya yang perlu menjalani rawatan selama dua tahun.
Rawatan selama dua tahun itu merangkumi rawatan intensif selama enam bulan dan rawatan tidak intensif dalam tempoh 18 bulan.
“Pada mulanya saya memang terkejut dan semestinya sedih, tetapi jururawat berpesan kepada saya supaya jangan sekali-kali menangis di depan anak.
“Kita perlu tabah depan anak kerana dia memerlukan kekuatan untuk melalui rawatan setiap hari,” ujar Azlina sambil memberitahu, anaknya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang selain perlu mengambil ubat setiap hari dengan belanja lebih RM7,000 sebulan.
Ketika ditanya bagaimana penerimaan Nur Sarah Alia apabila mengetahui dirinya menghidap leukemia, Azlina memberitahu seorang doktor telah memberikan sebuah buku cerita mengenai kanser kepada anaknya itu.
Jadi, anak sulungnya itu tahu perubahan diri yang sedang dilaluinya, malah Nur Sarah Alia pernah bertanya kepada Azlina bila rambutnya akan luruh.


KASIH ibu. Azlina sentiasa berada di samping anaknya, Nur Sarah Alia yang kini menjalani rawatan di PPUM.



Pusat Kanser PPUM
Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik, Haematologi dan Onkologi PPUM, Profesor Hany Ariffin memberitahu, PPUM merupakan pusat kanser kedua terbesar untuk kanak-kanak di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur.
Setiap tahun PPUM menerima 120 hingga 150 kes baharu leukemia dari seluruh Malaysia dengan 40 peratus daripada pesakit adalah dari luar Kuala Lumpur.
“Anak-anak ini mampu memberikan respons yang baik terhadap rawatan. Contohnya pesakit leukemia mempunyai 85 peratus untuk sembuh dan membesar menjadi orang dewasa yang normal.
“Secara umumnya, kanak-kanak yang menghidap kanser mempunyai peratus yang tinggi untuk pulih berbanding orang dewasa,” katanya sambil memberitahu kanser darah merupakan kanser yang paling biasa menyerang kanak-kanak.
Ujarnya, maksud sembuh adalah mereka boleh baik sampai bila-bila, namun tidak dinafikan ia boleh datang kembali tetapi peratusnya adalah nipis.
Hany memberitahu, pesakit yang paling muda didiagnosis olehnya berusia enam minggu, bagaimanapun di peringkat global pesakit leukemia biasanya berusia antara umur dua hingga lima tahun.
“Lelaki lebih tinggi sedikit menghidap leukemia mahupun kanser-kanser yang lain berbanding wanita dengan nisbah 1.2:1.
“Apa puncanya tidak pasti. Ada yang mengatakan jangkitan virus, malah ada pula mengatakan ia ada kaitan dengan persekitaran,” jelasnya sambil menambah, leukemia boleh terjadi sebaik sahaja bayi dilahirkan dan ia boleh dikesan melalui ujian darah.
Leukemia tiada kaitan dengan pemakanan. Ia tiada penyebab, tetapi sesuatu telah berlaku hingga menyebabkan perkembangan sel darah tidak terkawal seperti yang sepatutnya.


PEMINDAHAN sumsum tulang juga adalah salah satu rawatan untuk penyakit leukemia.



Kos rawatan leukemia di hospital swasta boleh mencecah antara RM100,000 hingga RM120,000, namun di hospital kerajaan kosnya jauh lebih murah iaitu sekitar RM10,000 hingga RM15,000.
“Bagi keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah, jumlah tersebut masih tinggi serta berada di luar kemampuan mereka.
“Boleh dikatakan dua per tiga daripada pesakit kami terdiri daripada golongan kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan sudah memberikan subsidi rawatan, masih ada bayaran lain yang perlu ditanggung seperti kos pengangkutan dan penginapan di hospital,” katanya yang mengakui tempoh rawatan biasanya mengambil masa antara enam bulan hingga setahun.
Inisiatif JCIPJ
Bagi meringankan beban pesakit, Junior Chamber International Petaling Jaya (JCIPJ) tampil membantu mengumpul dana bagi tujuan tersebut.
“Terima kasih kepada JCIPJ atas bantuan dana yang diberikan. Dana tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan pesakit dan ia akan dikeluarkan jika ada pesakit memerlukan bantuan tersebut.
“Walaupun kita lebih merujuk kepada leukemia, dana ini terbuka buat semua kanak-kanak yang menghidap kanser,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!