Monday, July 22, 2013

Puasa bantu kecemerlangan diri

BULAN Ramadan turut memberi peluang bagi umat Islam merapatkan hubungan kekeluargaan.


ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan Ramadan al-Mubarak. Salam Ramadan dan selamat berpuasa saya ucapkan khusus buat semua Muslimin dan Muslimat khasnya buat penggemar ruangan Cermin Diri.

Harapan saya, pembaca yang menepati syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak sama-sama menjalani ibadah puasa pada hari ini.

Puasa pada bulan Ramadan ini mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Berdasarkan ayat ini, jelas sekali pensyariatan puasa bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan malah kecemerlangan diri kita sebagai hamba kepada-Nya.

Kecemerlangan peribadi

Sama ada disedari atau tidak, ketika sebelum Ramadan, tidak ramai yang arif tentang masuknya waktu solat Maghrib.

Rata-rata menyedari waktu Maghrib tamat ketika slot berita ditayangkan di kaca televisyen. Berbanding ketika Ramadan, hampir segenap lapisan masyarakat maklum tentang masuknya waktu Maghrib yang juga waktu berbuka puasa.

Paling penting, kita menjadi seorang yang terlalu menepati masa. Azan belum lagi berkumandang, segala hidangan telah tersedia. Ketika lafaz azan dilaungkan, dengan pantas doa berbuka puasa disebut dan hidangan dijamah.

Sewajarnya sikap ini dipraktikkan terus, bukan saja ketika Ramadan, malah sepanjang 11 bulan lainnya.
Bukan saja ketika berbuka puasa tetapi dalam segala aspek hidup kita seperti bekerja, janji temu termasuk juga berhubungan dengan pasangan dan anak-anak.

Ketika Ramadan juga, ramai individu yang meninggalkan tabiat bergosip atau lebih maklum dengan mengumpat.

Ops! Jangan tidak tahu, lelaki pun dah ramai yang pandai mengumpat ya! Tabiat ini ditinggalkan ketika Ramadan bagi menjaga pahala puasa agar tidak cair menjelang petangnya dan hanya mendapat penat.
Sebaiknya sikap ini diteruskan juga pada bulan lain. Hakikatnya, tabiat bergosip atau mengumpat memang tidak wajar dilakukan.

Bukan saja dilarang oleh syariat tetapi tidak wajar menurut pertimbangan akal dan moral.

Sudah tentu individu yang digosip akan sakit hati, marah hingga boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan.

Jika sikap meninggalkan gosip ini diteruskan selepas Ramadan, hubungan sebagai rakan, saudara, handai dan taulan akan lebih mesra dan berkekalan.

Kecemerlangan kerjaya

Hampir semua institusi mempunyai jadual kerja yang baharu khususnya ketika Ramadan ini. Jika biasanya masuk kerja pukul 9 pagi dan balik pukul 6 petang banyak institusi yang mempercepatkan waktu masuk kerja dan memendekkan waktu rehat.

Ia dilakukan bagi memberi ruang agar para pekerjanya dapat balik lebih awal daripada biasa untuk berbuka puasa di rumah bersama ahli keluarga.

Ketika tiada lagi sesi bergosip dan kehendak untuk menyiapkan kerja lebih cepat agar tidak perlu kerja lebih masa maka ramai pekerja yang memberikan tumpuan dan fokus yang lebih baik berbanding waktu kerja biasa sebelum bulan puasa.

Bukan saja bertujuan dapat balik awal tapi ada yang menyimpan harapan agar diberikan imbuhan oleh ketua bagi kegunaan pada hari raya nanti.

Sewajarnya sikap begini dipraktikkan sepanjang masa, bukan hanya pada bulan puasa.

Syariat menetapkan setiap pekerja melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh majikan dengan sebaiknya pada setiap masa, bukan hanya ketika bulan puasa.

Rasa tidak bermaya untuk bekerja pada bulan puasa? Jika anda sematkan di fikiran anda dengan prinsip: ‘Aku puasa, tak larat nak kerja’, sememangnya anda akan mudah rasa lemah.
PUASA bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan dan kecemerlangan individu.


Namun, jika anda sematkan: ‘Puasa ke tak puasa, sama saja! Kerja macam biasa, boleh balik awal lagi!’ Percayalah, anda akan memiliki kekuatan dan semangat luar biasa.

Tubuh badan kita sentiasa berinteraksi dengan minda kita. Jika anda fikirkan yang positif, hari-hari anda akan berlalu dengan positif juga.

Kecemerlangan hidup berkeluarga

Ramai yang maklum tentang keberkatan bulan Ramadan. Tahukah anda, bulan Ramadan bukan saja bulan menambah pahala tetapi juga boleh dijadikan sebagai masa untuk semarakkan kasih keluarga khususnya cinta kasih suami isteri.

Jangan salah faham pula, Ramadan bukan halangan untuk bermesra atau berhubungan suami isteri.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan campurilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu.”

Ayat ini jelas mengizinkan pasangan suami isteri yang sah perkahwinannya menurut hukum syarak untuk melakukan hubungan suami isteri ketika bulan Ramadan tetapi bukan pada waktu siang hari.

Kalau melakukan hubungan seks suami isteri pada siang hari maka diwajibkan kafarah al-Uzma.

Bagi mereka yang menginginkan anak, boleh ambil kesempatan pada bulan mulia ini untuk menghasilkan zuriat yang diberkati, insyaAllah.

Dalam satu riwayat pula, Aishah RA berkata yang bermaksud: Nabi mencium dan menyentuh iaitu memeluk isteri baginda padahal baginda berpuasa. - Hadis Riwayat Bukhari.

Hadis ini menjelaskan, tidak ada salahnya untuk bermesra antara suami dan isteri ketika bulan Ramadan. Gunakan masa Ramadan ini untuk sama-sama bersahur, berbuka puasa dan berjemaah mengerjakan solat tarawih.

Para suami, boleh membantu isteri menyediakan hidangan berbuka puasa ataupun boleh tolong jaga anak-anak, berikan peluang kepada isteri untuk memasak dengan aman di dapur.

Kalau selalu isteri yang bangun pagi sediakan hidangan untuk bersahur, apa salahnya sesekali suami buat kejutan, bangun awal sikit dan sediakan hidangan sahur.

Cukuplah nasi putih dengan telur dadar, insyaAllah anda akan dipeluk oleh isteri awal-awal pagi tu. Tidak percaya? Cubalah dulu.

Moga Ramadan ini menjana ketakwaan dan kecemerlangan diri buat kita semua, amin.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!