Monday, July 29, 2013

Taska OKU untuk anak2 istimewa

PUTRAJAYA - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak lagi akan terpinggir daripada menerima pendidikan awal apabila projek perintis Taska OKU diwujudkan bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

Beberapa pihak berkepentingan melihat pelaksanaan projek perintis Taska OKU yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept lepas sebagai 'buah tangan' terbaik bagi golongan itu mendapat sistem pendidikan efektif dan ideal.

Langkah itu juga dilihat sebagai satu mekanisme dan komitmen kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti ke arah Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan Wawasan 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata pelaksanaan projek perintis taska OKU itu secara percuma dalam tempoh setahun akan dilancarkan pada Disember merupakan satu pendekatan komprehensif bagi mencari sukatan kurikulum bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak OKU di negara ini.

Beliau yang menyifatkan penubuhan enam taska OKU itu mencipta 'sejarah' baharu  golongan berkenaan berkata Taska OKU dapat membantu mengurangkan kos dan masa, malah memenuhi keperluan semasa bagi tujuan perkembangan awal kanak-kanak OKU.

"Kanak-kanak OKU akan diberikan pengasuhan berkualiti malah setiap pengasuh atau pengusaha taska adalah tertakluk kepada Akta Taska 1984," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Heng, yang juga Naib Pengerusi Wanita MCA berkata enam Taska OKU itu merangkumi sindrom down, autisme, penglihatan, pekak, fizikal dan masalah pembelajaran.

Beliau berkata setiap taska OKU ini akan menempatkan antara 35 dan 40 kanak-kanak OKU berusia bawah empat tahun dengan sukatan pengasuhan khusus bersesuaian dengan kekurangan keupayaan masing-masing.

"Penempatan kanak-kanak OKU di taska ini merupakan satu program intervensi awal dalam membantu mempertingkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak OKU.

"Kita percaya jika diberi bimbingan dan pendidikan yang sewajarnya mereka dapat dipulihkan dan menjadi kanak-kanak normal malah dapat diintegrasikan dalam masyarakat apabila mereka dewasa nanti," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan kemahiran bagi tujuan operasi dan membentuk modul sukatan pengajaran.

"Antaranya, ialah Persatuan Sindrom Down Malaysia, Persatuan Austisme Kebangsaan Malaysia, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Majlis Kebangsaan Bagi Persatuan-Persatuan Untuk Kanak-kanak Spastik Malaysia, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan Persatuan Dyslexia Malaysia," katanya sambil mengalu-alukan penyertaan sektor swasta untuk bekerjasama menjayakan projek berkenaan.

Heng berkata kementerian turut mengadakan perbincangan bersama persatuan dan agensi berkaitan berhubung projek tersebut, yang rata-rata menyambut baik usaha penubuhan Taska OKU ini.

Mengulas lanjut, Heng berkata pada peringkat awal, lokasi Taska OKU akan tertumpu di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan lokasi bersesuaian dikenal pasti menerusi bantuan serta cadangan pihak berkepentingan.

Peruntukan bagi mewujudkan enam Taska OKU adalah RM3 juta dengan kos maksimum untuk setiap taska ini adalah RM500,000, katanya.

"Daripada RM500,000 ini, geran pelancaran adalah berjumlah RM350,000 sebagai kos penubuhan dan geran subsidi berjumlah RM150,000 setahun bagi tujuan kos operasi taska tersebut," kata Heng.

Mengenai pendaftaran OKU, beliau berkata melalui kempen pendaftaran OKU yang dijalankan kementerian sejak 2007, bilangan OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah 450,000 orang.

Daripada jumlah berkenaan, kanak-kanak OKU di bawah umur enam tahun adalah sebanyak 11.1 peratus.

"Kita percaya bahawa mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa setiap negara sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus jumlah penduduknya adalah golongan OKU.

"Jadi berdasarkan jumlah penduduk semasa di Malaysia yang berjumlah 28.6 juta orang ini bermaksud mengikut piawaian PBB, jumlah OKU yang harus berdaftar dengan JKM adalah kira-kira 2.8 juta orang tetapi melihat statistik JKM hanya 450,000 ini memberikan gambaran bahawa masih terdapat golongan OKU yang tidak berdaftar dengan JKM," katanya.

Heng berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU enggan mendaftarkan anak-anak mereka kepada JKM, termasuk kemungkinan ada di kalangan ibu bapa yang tidak menyedari bahawa anak-anak mereka adalah tergolong dalam status OKU.

"Contohnya kanak-kanak autisme dia mungkin boleh disalahtafsirkan sebagai kanak-kanak yang nakal atau hiperaktif atau kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran. Bagi ibu bapa, mereka tidak terfikir bahawa anak-anak mereka ini sebenarnya boleh didaftarkan sebagai kanak-kanak OKU bagi mendapatkan bantuan sewajarnya," katanya.
 
Beliau berkata terdapat juga segelintir ibu bapa yang malu untuk mendedahkan identiti anak-anak OKU kepada masyarakat umum atau tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka adalah tergolong dalam warga OKU.

"Saya ingin menyeru kepada semua ibu bapa atau ahli keluarga yang mempunyai anak-anak OKU supaya segera mendaftarkan mereka dengan JKM kerana melalui statistik atau data yang lengkap membolehkan kerajaan membuat perancangan menyeluruh daripada segi kemudahan dan kebajikan warga OKU ini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!