Sunday, October 20, 2013

Permata Hati: Makanan si kecil


Permata Hati: Makanan si kecilDari kanan, Dr Tee, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Dr. Koh Kar Chai dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, Dr. Siti Norlasiah Ismail melancarkan Bright Start4Life di Petaling Jaya. - Foto Sayarim Abidin
Nutrisi yang betul jaminan keseimbangan pemakanan kanak-kanak

Kesibukan bekerja dan ketiadaan masa memasak atau menyediakan makanan bayi, anak kecil dan kanak-kanak bagi ibu bekerja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk anak mendapatkan makanan berkhasiat. 
Ini kerana penyediaan makanan mereka bukannya susah dan tidak perlu mengambil masa lama. Malah, berada dalam zaman yang serba canggih dan moden ini, banyak peralatan dan kaedah berlainan membantu menyediakan makanan sihat untuk si manja. 

Pemakanan yang baik dalam tahun awal kehidupan bayi memberi implikasi besar pada masa depan sama ada dari segi pembentukan otak, fizikal dan kebolehan kognitif." Tee E Siong, Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, berkata kegagalan menyediakan makanan seimbang satu perkara yang menyedihkan kepada bayi, anak kecil dan kanak-kanak kerana mereka bergantung kepada orang dewasa untuk makan.

Beliau berkata, golongan ini masih begitu bergantung harap kepada orang dewasa untuk makan.

Justeru itu katanya, ibu bapa dan penjaga jangan memberi alasan termasuk menyatakan tiada masa untuk menyediakan makanan kepada anak-anak.

“Menjadi tanggungjawab kita menyediakan makanan dan tidak perlulah sampai menjadi seorang tukang masak profesional untuk menyediakan makanan kepada anak-anak.
“Apa yang penting ibu bapa perlu mengetahui makanan yang seimbang dan nutrisi bagi memastikan kanak-kanak menjadi orang dewasa yang sihat.

“Jangan takut melabur menyediakan sajian berkhasiat untuk mereka. Tidak semua berkemampuan menyediakannya, namun memberikan makanan seimbang dan nutrisi tinggi tidak memerlukan belanja besar jika mengetahui khasiat makanan,” katanya pada majlis pelancaran kempen BrightStart4Life di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Makanan sihat

Kempen dengan inisiatif Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dengan kerjasama Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Aktiviti bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai program pemakanan untuk bayi dan kanak-kanak di negara ini.

Buat permulaan, Dr Tee berkata, kempen yang berlangsung tiga tahun itu akan mengeluarkan pelbagai risalah dan hebahan menerusi media mengenai didikan dan bimbingan pemakanan bayi, anak kecil dan kanak-kanak.

Program berkenaan mengakui tempoh awal kelahiran sehingga umur enam tahun adalah masa kritikal menggalakkan pertumbuhan, kesihatan dan perkembangan kanak-kanak secara optimum.

Melalui kempen itu, ibu bapa dididik dan didedahkan serta diberi kuasa menentukan makanan dan amalan pemakanan yang betul bagi mengurangkan risiko masalah berkaitan pemakanan.

Maklumat lengkap dan tepat itu kata beliau, meningkatkan status pemakanan kanak-kanak dan membantu mereka membesar dan berkembang kepada potensi penuh.

Fokus kempen BrightStart4Life meningkatkan pengetahuan kepada ibu bapa terutama pasangan yang pertama kali menjadi ibu bapa mengenai pemakanan yang betul untuk anak-anak sepanjang proses pembesaran mereka, dan memastikan anak-anak sentiasa sihat dengan pengambilan makanan yang betul dan berkhasiat.

Kehidupan sempurna

Dr Tee berkata, penting bagi ibu bapa menjadikan pemakanan anak sebagai keutamaan kerana sajian asas ini sebagai permulaan yang penting untuk kehidupan sihat dan masa depan yang cemerlang.

“Pemakanan bukan sekadar mengisi perut sebaliknya menyediakan bekalan untuk anak membesar dan berkembang menjadi orang yang sihat, cergas dan cerdas.

“Pemakanan yang baik dalam tahun awal kehidupan bayi memberi implikasi besar pada masa depan sama ada dari segi pembentukan otak, fizikal dan kebolehan kognitif,” katanya.

Untuk fasa pertama kempen, jawatankuasa kempen BrightStart4Life yang dipengerusikan Dr Tee akan mengeluarkan risalah kepada orang ramai melalui klinik kesihatan, tempat tumpuan ramai, nurseri dan sekolah mengenai pengambilan pemakanan yang baik dan makanan yang berkhasiat. untuk bayi sehingga umur enam bulan.

Selain itu, hebahan melalui artikel pemakanan dikeluarkan menerusi media cetak, elektronik dan laman sosial.

Fasa kedua tertumpu kepada usia anak berusia enam bulan sehingga empat tahun dan fasa ketiga pemakanan untuk kanak-kanak empat tahun hingga 12 tahun.

Sajian seimbang

Penggunaan peralatan dan perkakas, bukan saja memudahkan proses penyediaan makanan bayi, tetapi menjimatkan masa.

Anda boleh memilih alat perkakas mengikut kesesuaian, yang paling penting, tahu isi kandungan makanan yang disuapkan ke mulut si manja.

Berikut adalah beberapa cara anda boleh menggunakan alat perkakas yang berlainan untuk membantu anda menyediakan makanan yang sihat untuk si manja.

Pengukus atau periuk dan kuali
Kukus atau rebus makanan hingga masak. Sebaik-baiknya, kukus sayuran sebelum dijadikan puri bagi mengekalkan nutrien. Buah-buahan lebih keras seperti epal dan buah pir dan juga ikan, daging dan ayam juga boleh dikukus atau direbus sebelum dikisar.

Pengisar atau pemproses makanan
Sebaik saja makanan yang perlu dilembutkan sudah dimasak, masukkan ke dalam pengisar atau pemproses makanan dan kisar hingga halus mengikut sesuai penerimaan dengan bayi anda. Tambah cecair seperti susu ibu, susu formula, air atau air rebusan makanan yang anda masak untuk mencairkan makanan bayi apabila perlu.

Lenyek!
Banyak makanan boleh dilenyek dengan garpu biasa atau alat pelenyek kentang. Pisang masak, keledek kukus atau rebus, epal atau labu boleh dilenyek. Pastikan makanan yang dilenyek sesuai dengan jenis tekstur makanan yang diperlukan oleh bayi anda.

Gunakan pengisar 
Satu lagi cara mengisar makanan atau menyediakan puri untuk membuat sup, sos dan kentang lenyek ialah dengan memotong makanan menjadi potongan kecil dan kisar (kulit dan biji akan tinggal dalam pengisar).

Pengisar makanan biasa
Penggunaan pengisar makanan juga menyenangkan anda menyediakan puri makanan untuk anak. Cara ini juga mudah untuk menyediakan daging dan makanan yang lebih bertekstur.

Ayak atau tapis untuk menyediakan makanan bayi masakan rumah
Anda boleh menggunakan alat pengayak atau penapis untuk menapiskan lagi makanan bayi anda, terutama sekali makanan yang berkulit seperti kacang pis dan kacang hijau. Tuang makanan ke dalam pengayak atau penapis dan tadah dalam mangkuk.

Gunakan parut
Jika anda ingin menyediakan makanan kudapan untuk si kecil, parut keju boleh digunakan untuk memarut buah-buahan dan sayuran. Kupas buah-buahan masak dan sayuran seperti epal dan lobak merah, kemudian parut menggunakan mata parut halus. Hasil parutan yang nipis atau halus ini mudah dikunyah. Anda juga boleh menggunakan parut keju untuk memarut keju atau daging dan ayam yang sudah dimasak lembut untuk membuat makanan kudapan untuk bayi anda.

Penggunaan pelbagai peralatan dan perkakas ini bukan sekadar memudahkan proses penyediaan makanan, malah menjimatkan masa. Anda boleh memilih alat perkakas mengikut kesesuaian, yang penting anda tahu isi kandungan makanan yang anda suapkan ke mulut si manja.

Tip disediakan Pakar Pemakanan, Profesor Madya Dr Poh Bee Koon seperti disiarkan dalam www.mypositiveparenting.org.
Sumber: Bharian

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!