Friday, November 15, 2013

Autisma TIDAK halang cemerlang UPSR


IPOH - Sindrom autisme dan lembam yang dihidapi sejak lahir tidak menjadi penghalang Nur Durratul Aishah Mohamad Fairuz untuk mencatat keputusan 4A 1B dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
   
Pencapaian itu membuktikan murid istimewa berkenaan yang merupakan anak kepada pasangan Mohamad Fairuz Rosdan, 37, dan Noor Azlina Ishak, 37, mampu menempa kejayaan sebaris dengan murid normal lain.
   
Durratul, 12, dari Sekolah Kebangsaan Jelapang di sini berkata dia tidak mempunyai rahsia kejayaan selain hanya belajar seperti biasa sebelum menghadapi peperiksaan.
   
"Keputusan peperiksaan saya sebelum ini tidak berapa baik tapi semasa peperiksaan percubaan UPSR saya memperoleh keputusan 3A 2B," katanya yang merupakan murid terbaik bagi kategori calon Berkeperluan Khas dan bercita-cita menjadi doktor.
   
Ibu kanak-kanak istimewa itu, Noor Azlina Ishak ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka anak sulungnya itu melakar kejayaan dalam peperiksaan UPSR walapun keadaannya tidak seperti murid normal.

Noor Azlina berkata dia menghantar anak sulungnya itu ke sekolah biasa dan tidak mahu Durratul belajar di sekolah khas, walaupun keadaan anaknya tidak seperti murid normal lain.
   
"Saya mahu anak saya bergaul dengan murid-murid normal. Sebelum ini dia berada di kelas pertama tapi saya minta cikgu pindahkan dia ke kelas ketiga kerana semasa berada di kelas pertama banyak kerja rumah yang dia perlu buat dan dia rasa tertekan," katanya.
   
Ketika menghadapi peperiksaan Noor Azlina meminta pihak sekolah mengasingkan Durratul daripada murid lain supaya anaknya itu tidak panik ketika menjawab soalan, katanya.

Seorang lagi murid cemerlang yang mencatat keputusan 5A, Suimie Cornelius berkata beliau menjadikan kata-kata semangat ibu bapa, kawan-kawan dan guru sebagai azimat untuknya mengejar kejayaan.
   
"Saya belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita menjadi seorang saintis kerana saya minat mata pelajaran Sains selain mahu mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kesederhanaan," katanya yang merupakan suku kaum Semai.
   
Murid Sekolah Kebangsaan Batu Melintang itu berkata beliau ditawarkan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sains Tapah, tahun depan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!