Sunday, November 10, 2013

Lambat bercakap

Ketidakupayaan bercakap mungkin boleh menjejaskan emosi dan membuatkan kanak-kanak berasa rendah diri. - Gambar hiasan

BEGITUPUN, ada juga keadaan di mana bayi yang normal akan lambat bercakap sehingga usia mereka mencecah dua hingga lima tahun.

Jika dilihat daripada situasi tersebut, menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malinee Thambyayah, cepat atau lambat seseorang kanak-kanak itu bercakap banyak dipengaruhi persekitaran termasuk peranan ibu bapa.

Kata beliau, secara umum, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka.

“Lazimnya bayi akan memberi tindak balas sebaik sahaja mereka dilahirkan.

“Seorang kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah.

“Untuk itu, enam bulan pertama amat penting di mana ibu bapa harus berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.

“Ini kerana seawal 10 hingga 12 bulan bayi lazimnya sudah boleh mengungkapkan perkataan papa, mama, baba, ibu, umi dan sebagainya yang dalam dua perkataan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, perkembangan tersebut akan meningkat perlahan-lahan sehinggalah mereka berusia 18 bulan di mana percantuman perkataan mula dituturkan.

Kata beliau, sekiranya bayi lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka ada sesuatu yang tidak kena.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza.

Begitupun jelas Malinee lagi, masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertuturan bahasa.

Menerangkan lebih lanjut situasi tersebut, kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap.

Katanya, ibu bapa yang mengesyaki anak mereka berhadapan masalah bercakap perlu segera merujuk kepada pakar terapi.

Ini kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme, terencat akal, lembap pembelajaran dan sebagainya.

Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu.

Selain itu, perkara lain yang menyebabkan anak-anak lambat bercakap ialah tiada komunikasi antara ibu bapa dengan anak masing-masing dan juga hubungan mata yang lemah.

Hal ini terjadi kerana ibu bapa lebih gemar mendedahkan anak-anak mereka dengan gajet-gajet terkini yang tidak mempunyai komunikasi dua hala.

Apabila ini terjadi, kanak-kanak tersebut tidak didedahkan dengan perkataan-perkataan ataupun komunikasi seharian yang sepatutnya mereka dengar.

Selain itu sambung Malinee, antara petanda yang boleh dipantau ibu bapa bagi mengetahui anak mereka mempunyai masalah lambat bercakap ialah bayi tidur sepanjang masa, gagal untuk bertindak balas pada suara atau lain-lain bunyi dan tindak balas luar biasa yang berlebihan kepada rangsangan fizikal seperti bising, cahaya dan sentuhan.

“Pada usia kanak-kanak dua tahun pula dia sepatutnya sudah boleh menguasai 200 hingga 300 patah perkataan. Selain itu mereka boleh menyebut dua gabungan perkataan seperti ‘baby nangis’.

“Menjelang usia tiga tahun pula, mereka boleh menguasai 900 hingga 1,000 perkataan dan boleh menyebut beberapa baris ayat ringkas.

“Mereka juga boleh bermain dengan bunyi dan perkataan dan boleh menerima arahan. Tetapi perlu diingatkan ada sesetengah kanak-kanak yang normal tidak boleh bercakap sehingga usianya mencecah lima tahun," katanya.

Apa-apa pun, Malinee menyarankan agar membawa anak masing-masing berjumpa dengan pakar untuk mengetahui perkembangan serta masalah yang dihadapi sekiranya anak masih tidak boleh bercakap.


Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!