Friday, December 20, 2013

Senarai Pelajar OKU Cemerlang PMR 2013



Mereka hanya cacat anggota, tetapi tahap kecemerlangan mereka sama dengan pelajar lain yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013, dan 11 calon berkeperluan khas (OKU) ini mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

PMR-OKU 1: PAHANG

Di MARANG, pelajar Sekolah Menengah Agama Marang, yang kudung tangan kanannya, Nur Aimi Yasirah Mohamad Samsor berjaya memperoleh 9A dalam keputusan yang diumumkan di seluruh negara hari ini.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu menghadiahkan kejayaannya itu kepada bapanya yang bekerja sebagai mekanik dan ibunya yang merupakan guru kelas agama Fardhu Ain (KAFA).

Pelajar yang bercita-cita menjadi pensyarah ini sedikit pun tidak menjangka memperoleh keputusan cemerlang itu kerana hanya memperoleh 3A pada peperiksaan percubaan lepas.

"Saya belajar sama seperti pelajar lain, mengulang kaji pelajaran, mengikuti kelas tambahan yang dibuat dan memberi fokus pada subjek yang lemah serta paling penting saya tidak putus berdoa, bersolat dan restu kedua-dua orang tua.

"Saya tidak menganggap kecacatan ini sebagai halangan, kekuatan saya hanya terletak di tangan kiri sahaja untuk melakukan semua jenis aktiviti dan sebab itulah memberi saya semangat dan dorongan untuk berusaha lebih gigih setanding dengan pelajar normal yang lain," katanya.

PMR-OKU 2: SELANGOR

Di SHAH ALAM, Nur Aliyah Hafizah Hassan, pelajar SMK TTDI Jaya yang cacat tulang belakang sejak lahir, muncul sebagai antara tiga calon berkeperluan khas yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran di Selangor.

Nur Aliyah Hafizah yang mendapat 8A berkata dia tidak terlalu memikirkan kesakitan yang dialami ketika menduduki peperiksaaan PMR itu.

"Guru selalu menasihatkan saya untuk berehat (pada waktu tertentu) tetapi saya tidak mahu meninggalkan kelas kerana khuatir keciciran ilmu," katanya.

Anak bongsu dua beradik itu bercita-cita menjadi akauntan dan mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di London.

Ibunya Balkish Mohd Othman, 45, berkata Nur Aliyah Hafizah yang mengalami kerosakan buah pinggang kanan akibat kecacatan tulang belakang itu memang tidak jemu menelaah pelajaran.

"Saya sering menasihati Aliyah supaya tidak rendah diri dan menjadikan kekurangan dirinya motivasi untuk berjaya," katanya.

PMR-OKU 3: JOHOR

DI JOHOR BAHARU, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, Seri Irdina Syahirah Nordin yang menghidap penyakit saraf menyebabkan kaki dan tangannya bengkok turut berjaya meraih 8A.

Pelajar yang diserang penyakit 'Charcot–Marie–Tooth' sejak berumur tiga tahun itu berkata dia pernah diejek sebagai robot ketika menggunakan alat bantuan jalan 'rollator' di sekolah.

"Jadi kejayaan hari ini amat bermakna bagi saya atas usaha dan pengorbanan yang dilakukan," katanya yang bercita-cita menjadi saintis dan berharap mampu mencipta pelbagai alat bantuan bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Ibunya, Siti Rahayu Mohammad, 45, turut terharu dengan kejayaan itu dan menyifatkan anak ketiga daripada lima beradik itu sebagai seorang yang tabah kerana tidak pernah merungut tentang hal persekolahan.

"Saya memang jangka dia boleh dapat keputusan yang baik sebab dia dapat 4A dan 4B pada ujian percubaan. Dia mula menggunakan alat bantuan jalan sejak tiga tahun lepas dan saya menghantarnya ke sekolah setiap hari," katanya.

PMR-OKU 4 KUALA LUMPUR

Bagi Muhammad Ilyasa' Nordin pula untuk meraih 8A dalam peperiksaan itu, dia perlu menggunakan kanta pembesar dan teropong akibat masalah rabun, tetapi pelajar SMK Tengku Mahmud Iskandar, Ledang itu tidak pernah cuai menumpukan perkara yang diajar di dalam kelas dan mengikuti kelas tuisyen.

"Saya mengulang kaji pelajaran di rumah setiap hari tetapi tidak mempunyai jadual khusus. Terima kasih kepada guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sejak saya mengalami masalah ini tiga tahun lepas," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

PMR-OKU 5: KELANTAN

Di TUMPAT, pelajar cacat penglihatan Muhammad Nur Hafiz Razali, berjaya memperoleh 5A.

Dia buta mata kanan dan rabun mata kiri sejak dilahirkan dan turut menggunakan kanta pembesar sewaktu belajar di SMK Kampung Laut.

"Antara subjek yang susah untuk dipelajari adalah Kemahiran Hidup Teknikal kerana ada beberapa projek yang perlu disiapkan seperti pertukangan, lukisan dan elektronik yang memerlukan saya untuk menyiapkan papan litar namun guru dan rakan-rakan banyak membantu," katanya yang bercita-cita menjadi pakar fizik.

PMR-OKU 6: SARAWAK

Di KUCHING, dua calon PMR Daryl Raphale, yang menghadapi masalah pendengaran dan Watson Manda Edwin yang mengalami masalah penglihatan dinobatkan sebagai calon berkeperluan khas terbaik Sarawak hari ini.

Daryl, pelajar SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, yanng menghadapi masalah
pendengaran sejak lahir memperoleh 2A dan Watson Manda pelajar SMK Batu Lintang yang menghadapi masalah penglihatan akibat glukoma, berjaya memperoleh 1A selain B dan C.

Ibu Watson Manda, Rabiah Ullis, 43, berkata demi membantu anaknya itu mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan, beliau membeli alat khas bantuan belajar dari Singapura.

PMR-OKU 7: PULAU PINANG

Di GEORGE TOWN, pelajar cacat penglihatan Nur Fasihah Ahmad Fazdil dari SMK Perempuan St. George berjaya memperoleh 5A.

Nur Fasihah merupakan antara tiga calon berkeperluan khas di Pulau Pinang yang memperoleh keputusan cemerlang PMR tahun ini.

"Walaupun tidak memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran yang diambil, keputusan hari ini sudah cukup menggembirakan dan kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu bapa saya," katanya.

Bapa Nur Fasihah, Ahmad Fadzil Abdul Rashid yang menemani anaknya  mengambil keputusan PMR itu berkata beliau begitu terharu dengan keputusan yang diperoleh anaknya.

"Saya dan isteri yang juga seorang OKU tak dapat banyak membantu...pihak asrama dan guru-guru yang bertanggungjawab atas kejayaan anak saya, terima kasih semua," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!