Sunday, January 26, 2014

Cabaran Ibu Tunggal


Terpanggil untuk postkan artikel ini bagi memberi semanggat kepada ibu tunggal yang terpaksa menghadapi hidup sendirian. Kadang-kadang terpaksa menyara kehidupan disamping anak-anak yang ramai. Bekas suami abaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya. Kehidupan perlu diteruskan.

Status ibu tunggal buat saya bangkit

MESKIPUN memegang status ibu tunggal di usia agak lanjut, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berjaya dalam kehidupan.

Perpisahan saya dengan suami memberi satu tamparan hebat memandangkan saya perlu menyara anak-anak can cucu-cucu yang semakin meningkat dewasa. Cabaran hidup terlalu hebat.

Masa itu, Tuhan sahajalah yang tahu, betapa sukarnya mahu berdikari atas kemahiran sendiri.
 
Dicengkam kesulitan hidup, saya hampir berputus asa untuk berusaha.
 
Apa yang saya rasa ketika itu, hanyalah kegelapan hingga saya sendiripun tak tahu apa yang patut dilakukan.
 
Sehinggalah anak-anak bersama rakan, memberi semangat sehingga saya berjaya menempuhi dugaan itu dengan hati yang cekal.
 
Memikirkan masa depan, saya nekad berubah biarpun ia mungkin sukar untuk dihadapi namun ia lebih baik daripada menyerah kalah kepada takdir.
 


Cabar Diri Untuk Berjaya
 
Di usia lewat 40-an ketika itu, ada juga yang memandang enteng dengan usaha saya untuk berjinak dalam perniagaan cadar terpakai.
 
Walau ada yang tidak yakin dengan usaha saya itu, namun saya kuatkan semangat dan mahu membuktikan bahawa wanita hampir separuh abad ini, mampu mengubah kehidupan seperti wanita lain.
 
Kejayaan tidak datang bergolek. Saya anggap semua cabaran itu adalah kekuatan kejayaan di masa depan.
 
Disebabkan tidak mempunyai kemahiran berniaga malah tidak tahu menahu soal cadar terpakai, maka saya menimba ilmu daripada rakan yang sudah berjaya.
 
Saya cabar diri untuk berjaya. Bermula di situ, saya belajar selok belok perniagaan melalui rakan yang arif dan berniaga bersama dari pagi hingga ke lewat petang.
 
Biarpun upah menjual hanya RM20 sehari, namun memikirkan ilmu dan kemahiran, ia lebih berbaloi.
 
Pengalaman berinteraksi dengan pelbagai ragam pelanggan menyebabkan sikap negatif yang ada dahulu, kian hilang.
 
Kini, saya lebih bersemangat untuk berdikari malah berjanji tidak akan menjadi seorang wanita yang lemah seperti dulu lagi.



Status ibu tunggal buat saya bangkit
 

Berdikari
 
Yakin dengan pengalaman bekerja selama dua tahun, saya mula berjinak untuk memulakan perniagaan sendiri.
 
Semua tunjuk ajar digunakan sepenuhnya bermula dari mencari kain hinggalah memasarkannya ke pasar tani.
 
Bukan itu sahaja, saya juga perlu memahirkan diri dalam soal penyediaan akaun bagi kelancaran perniagaan.
 
Biarpun perniagaan ini secara kecil-kecilan namun saya berpuas hati kerana sedikit sebanyak dapat menyara kehidupan saya selepas ini.
 
Perjalanan saya bermula di kilang dekat Pengkalan Chepa. Saya akan mendapatkan guni kain yang mana ia boleh mencapai setinggi lebih satu meter.
 
Beg guni itu berisi kain terpakai berkualiti tinggi dengan jenama terkenal dari Korea, China dan Amerika.
 
Biarpun terpaksa mengangkat cadar terpakai tanpa bantuan sesiapa, namun azam yang kental mengatasi segalanya.
 
Biarpun terpaksa menjual di pasar tani sekitar Meranti, Jelawat, Melor dan Pengkalan Chepa, ia adalah bekalan pengalaman di masa depan.
 
Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil apabila saya bukan sahaja mampu menjalankan perniagaan sendirian malah menyara kehidupan bersama anak-anak, dan cucu.
 
Lebih membanggakan, anak sulung saya yang dahulunya bekerja di Kuala Lumpur, pulang ke kampung dan memulakan perniagaan ini bersama.
 
Saya juga berhajat mahu mengajar anak kedua, yang juga seorang suri rumah, untuk menceburi bidang ini kelak.
 
Hasil keuntungan perniagaan, saya mampu membeli sebuah kereta Proton Wira terpakai untuk kelancaran perniagaan.
 
Dahulunya saya tidak mempunyai lesen memandu, namun kekuatan dan azam untuk berjaya dalam kehidupan mengatasi segalanya.
 
Kini saya bukan sahaja boleh memandu sendiri, malah saya mampu membuat akaun untuk perniagaan. Kini bidang perniagaan diluaskan bukan sahaja setakat meniaga sendiri malah, saya menjadi pembekal cadar ke pasar tani seluruh Kelantan.
 
Setiap perniagaan ada pasang surutnya. Pada 10 tahun lalu, kuasa membeli cadar terpakai amat menggalakkan.
 
Kini, pelanggan lebih cenderung untuk mengurangkan perbelanjaan ekoran taraf hidup yang semakin tinggi.
 
Namun, saya bersyukur kerana pengalaman sepanjang bergelar ibu tunggal, banyak mengajar erti cabaran hidup malah kehidupan saya kini lebih bahagia bersama anak-anak dan tujuh cucu.


Sumber - http://www.sinarharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!