Friday, January 17, 2014

Home Schooling - Faqihah


Faqihah bakal menduduki UPSR pada 2015. Pihak sekolah memaklumkan bahawa Faqihah tidak berkemampuan untuk ditempatkan di aliran perdana, belajar bersama-sama dengan pelajar normal kerana ada masalah tingkah laku. 

Maka, kami merancang untuk melaksanakan Separa Home Schooling bagi persiapan Faqihah menduduki peperiksaan tersebut. 3M tiada masalah bagi Faqihah. Cuma dia perlu diajar dan dilatih untuk menjawab soalan-soalan berbentuk UPSR. Daya ingatan tiada masalah. 

Kami akan buktikan Faqihah mampu menduduki UPSR dan mencapai kejayaan yang membanggakan walaupun ramai yang meraguinya.

Perancangan terperinci bakal dilakukan.

Cerita mengenai program yang bakal dilaksanakan, malah buku rujukan berkaitan dengan home schooling telah disediakan.


DI luar negara seperti di United Kingdom, Kanada, dan Amerika Syarikat, bersekolah di rumah (homeschool) bukanlah sesuatu yang asing, manakala di Malaysia pula aliran yang semakin digemari ini telah bertapak sejak 20 tahun yang lalu.

Kini dianggarkan lebih dari 1,000 keluarga memilih kaedah tersebut, namun jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi memandangkan kebanyakan pengamal homeschool ini tidak mahu dikenali dan menjadi perhatian ramai.


Bagi Nur Baiti Mohd Hanaffiah, 34, seorang bekas jurutera di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur, turut bersepakat dengan suaminya, untuk memilih homeschool buat anak-anak.

Keputusan ini biarpun menentang kebiasaan budaya pendidikan di negara ini terutamanya di kalangan masyarakat Melayu, mereka melihat kaedah pembelajaran ini mampu membantu anak-anak mengembangkan bakat, dan minat mengikut personaliti masing-masing.

Tambahan lagi anak-anak dapat fokus pada cita-cita yang dipupuk sejak awal tanpa perlu dibebani dengan subjek yang tidak berkaitan.

"Selain itu, dengan bersekolah di rumah saya sebagai ibu dapat mengawal pengaruh negatif dalam persekitaran harian (termasuk media elektronik) dan bertentangan dengan nilai keluarga Islam.

"Hubungan sesama adik beradik dan ibu bapa juga lebih akrab maka wujud rasa saling bergantung dan mempercayai antara kami. Yang penting, kami juga tidak mahu anak belajar kerana mengejar gred atau kedudukan di mata masyarakat.

"Biar mereka belajar kerana menghargai ilmu itu, menjiwai sebagai tuntutan fardu ain setiap umat Islam dan akhirnya dapat disumbangkan semula kepada masyarakat kelak," jelasnya yang dihubungi baru-baru ini.
Menceritakan tentang pelaksanaan bersekolah di rumah ini, Nur Baiti menjawab, sekolah di rumah bukanlah bermaksud mereplika suasana dan sistem sekolah konvensional di rumah.

Di sinilah katanya, terletak kelebihan homeschool kerana bebas mencorakkan sistem dan persekitaran belajar yang unik dan selesa untuk setiap orang.

"Sebagai contoh, anak berusia tiga tahun ke bawah mungkin lebihkan bermain dan bergurau dengan mereka untuk latihan motor kasar dan kemahiran motor halus seperti cara memegang pensil, gunting kanak-kanak atau berus lukisan.

"Tempoh ini juga anak-anak sedang mengutip perbendaharaan kata pertama mereka. Jadi gunakan ayat yang baik dan penuh.

"Manakala antara usia tiga ke enam tahun, sudah boleh melukis, mewarna, menulis, projek kraf tangan, dan laksanakan eksperimen mudah serta menarik.

"Pastinya konsep 4M iaitu menulis, membaca, mengira dan manipulatif didedahkan secara bertahap kepada mereka. Budayakan juga akhlak dan tuntutan Islam dalam keluarga seperti solat, puasa dan sedekah. Ajarkan juga membaca al- Quran selain hafaz surah dan doa pendek," katanya .

Mengenai ruang belajar pula, Nur Baiti berkata, ia tidak semestinya dihadkan pada satu tempat saja sebagaimana di sekolah biasa.

Di mana-mana saja sesi belajar boleh dilakukan sama ada di katil, meja makan, sofa, lantai rumah, bilik belajar dan halaman rumah.

"Konsep belajar homeschool adalah cukup variasi sehingga kunjungan biasa ke pasar, taman permainan mahupun ke kenduri, anak-anak akan belajar sesuatu.

"Bagaimanapun ibu bapa mesti menyediakan fasiliti belajar di rumah, iaitu sekurang-kurang satu rak buku dan meja belajar walau sekadar meja makan beserta alat tulis yang secukupnya.

"Mendisiplinkan anak-anak untuk belajar ialah dengan membuat jadual belajar pada waktu yang mereka selesa.

"Untuk mengelakkan kebosanan, masukkan sekali ruang masa untuk mereka buat aktiviti yang disukai seperti bercerita, kraf, main lego, main permainan dalam talian (yang sesuai), eksperimen, buat kuih, atau menonton video cakera padat yang ditapis ibu bapa.

"Sekurang-kurangnya dua minggu sekali kena ada sekali kunjungan ke destinasi luar walaupun sekadar ke pantai untuk beriadah," kata Nur Baiti yang juga pernah menjadi guru tuisyen.

Hala tuju pelajar

Ditanya mengenai ujian tahap akademik pelajar homeschool dan proses kemasukan ke pengajian tinggi, Nur Baiti menerangkan bahawa kebanyakan pelajar homeschool di Malaysia merancang untuk mengambil peperiksaan O-Level atau SAT di kolej swasta dan seterusnya menyambung pelajaran sama ada di dalam atau di luar negara.

Bagaimanapun ada juga yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian mahupun sekadar mengikuti kursus pendek tertentu yang selari dengan minat masing-masing.

"Alternatif lain anak-anak homeschool tidak semestinya ke kolej tapi terus ke dunia kerjaya sebenar seperti menceburi bidang perniagaan, sukan dan bidang seni (halus atau muzik)," jelas Nur Baiti yang kini menetap di Brunei kerana mengikut suami yang bekerja di sana.

Nasihat Nur Baiti kepada ibu bapa yang bercita-cita mahu melaksanakan pendidikan di rumah ialah perbanyakkan membaca untuk mendapat gambaran awal, selain mencari seberapa banyak maklumat di Internet dan buku untuk memilih pendekatan dan kurikulum yang sesuai untuk anak-anak.

Bina matlamat homeschool yang jelas dan konkrit antara kedua suami isteri. Tidak menumpukan pada kesempurnaan sama ada pencapaian mahupun fasiliti, kerana tujuan utama homeschool adalah membina hubungan yang lebih baik antara ahli keluarga di sebalik proses pembelajaran yang fleksibel.

"Sejujurnya homeschool juga boleh menemui kegagalan. Tekanan dan cabaran sentiasa menjenguk para pengamal homeschool sama ada berpunca dari konflik dalaman mahupun asakan dari luar," katanya.- NOOR FAZRINA KAMAL


Sumber -  http://www.utusan.com.my 

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!