Wednesday, February 26, 2014

PMR 2014 kekal?


Kuala Lumpur: Keputusan sama ada Penilaian Menengah Rendah (PMR) kekal menggunakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tahun ini atau kembali kepada format peperiksaan pusat, akan diumumkan bulan depan. 

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ketika ini kajian terperinci mengenainya sedang dilaksanakan. 


“Keputusan mengenainya akan diketahui dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah ‘Ulul Albab Dalam Pembangunan Pendidikan Negara’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam. 

Pada 11 Februari lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk mengkaji semula PBS. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, keputusan itu bagi menangani segala permasalahan yang dibangkitkan guru berkaitan PBS. 

Kajian semula itu menimbulkan persoalan sama ada PMR tahun ini menggunakan sistem PBS atau peperiksaan pusat. 

Idris berkata, kajian semula secara menyeluruh PBS akan mengurangkan bebanan guru. 
Katanya, konsep PBS sangat baik, namun yang menimbulkan masalah adalah pelaksanaannya. 

“Kita memberi jaminan kajian semula dapat menyelesaikan masalah dihadapi guru,” katanya. 

Dalam pada itu, Idris berkata Kementerian Pendidikan akan memperluaskan pelaksanaan program Ulul Albab, sekurang-kurangnya satu sekolah harian di setiap negeri, mulai tahun depan. 

“Ketika ini, tiga sekolah melaksanakannya. Sepuluh lagi akan dipilih selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.


Sumber - Bharian

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!