Friday, March 28, 2014

Beri Anak Autisme Sokongan Positif Berterusan


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ibu bapa yang dianugerahi anak autisme rata-rata kini begitu prihatin berhubung dengan perkembangan dan masa depan anak mereka.

Bergantung kepada tahap keadaan, anak autisme mungkin mengalami kesukaran dalam berkomunikasi, perilaku, kemampuan sosial, pengetahuan dan pembelajaran.

Malah ada yang tiba-tiba bertindak agresif melepaskan kemarahan tanpa sebarang sebab di tempat awam, hanya kerana kesukaran untuk berhadapan dengan warna dan bunyi yang mungkin tidak menjadi masalah kepada kanak-kanak lain.

Tambahan pula, jumlah pakar bagi kanak-kanak autisme di negara ini tidak ramai dan bayaran khidmatnya juga mahal.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna anak autisme tidak boleh dibantu untuk hidup seperti individu sihat yang lain. Ini kerana autisme tidak melibatkan kecacatan fizikal dan mereka boleh dibantu mengurus diri jika dikenalpasti dari awal.

CIRI-CIRI AUTISME

Di Malaysia, dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak dilahirkan dengan autisme. Statistik terkini juga menunjukkan kira-kira 47,000 daripada jumlah penduduk negara adalah autisme dan daripada jumlah itu empat atau lima orang bagi 10,000 adalah penghidap autisme teruk.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hasnah Toran sehingga kini penyebab kepada autisme masih belum diketahui.

"Sebab itu simbol yang digunakan oleh autisme adalah tanda soal. Penyebabnya sehingga kini masih belum dapat dikenalpasti. Akan tetapi ciri-cirinya boleh dikenalpasti sama ada anak mengalami autisme ringan atau autisme teruk", katanya.

Ciri-ciri autisme tidak sama kepada setiap individu. Antara ciri-ciri yang boleh dikenalpasti adalah tidak boleh bertentang mata, tidak dapat bertutur seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya, tidak dapat berkomunikasi dengan menunjuk gaya atau berlakon.

Satu daripada sifat yang menonjol adalah sikap mereka yang tidak mempedulikan orang di sekeliling dan persekitarannya. Mereka seolah-olah menolak berkomunikasi dan berinteraksi seperti hidup dalam dunianya sendiri.

Terdapat juga anak autistik yang mengalami kesulitan dalam memahami bahasa dan berkomunikasi secara verbal.

Mereka juga dilihat sukar untuk fokus dan tidak dapat bertindak balas walaupun seseorang tersenyum kepadanya. Ada juga yang suka menghabiskan masa dengan hanya memutar alat permainan mereka kerana kurang daya imaginasi.

Sesetengahnya pula cenderung tertarik kepada sesuatu objek sahaja dan sering bermain secara bersendirian. Malah ada yang tiba-tiba bertindak agresif melepaskan kemarahan tanpa sebarang sebab.

BOLEH DIBANTU

Menurut Hasnah memang agak sukar mengendalikan anak autisme. Tetapi ibu bapa tidak boleh berputus asa kerana intervensi awal dapat membantu anak-anak berkenaan.

"Bawa anak ke hospital bagi mendapatkan diagnosis awal tahap autisme anak. Mereka boleh dibantu menerusi rawatan terapi dan terapi untuk mereka hanya boleh dijalankan oleh pakar sahaja", jelas Hasnah.

Hasnah berpendapat sekiranya ibu bapa mendapati ada kelainan pada tingkahlaku anak sejak bayi berusia enam bulan, mereka perlu membawa anak bertemu pakar. Ini bertujuan mengenalpasti masalah kesihatan anak pada peringkat awal.

"Selain mendapat terapi daripada mereka yang berkelayakan, peranan ibu bapa dan persekitaran yang positif turut membantu merubah tingkahlaku mereka", katanya kepada Bernama.

Hasnah turut menjelaskan program terbaharu Permata Negara (Permata) yang menumpukan kepada kaedah pengajaran terbaik untuk kanak-kanak autistik, Permata Kurnia.

"Permata Kurnia adalah satu program menyeluruh intervensi awal untuk kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Permata mengambil inisiatif ini kerana sehingga ke hari ini, belum ada satu pun pusat penjagaan anak autisme di Negara kita.

"Jika ada pun ia adalah pusat jagaan swasta yang agak mahal mencecah RM2000 hingga RM10000 sebulan", jelas Hasnah.

SEMINAR ANTARABANGSA AUTISME 2014

Terdekat Permata akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan UKM menganjurkan seminar antarabangsa mengenai autisme.

Seminar Antarabangsa Mengenai Autisme 2014 dengan tema 'Autism Is Not A Tragedy, Ignorance Is' akan diadakan pada 22-23 April ini di Pusat Konvensyen Putrajaya.

Menurut Hasnah seminar yang bakal membincangkan pelbagai topik mengenai autisme sesuai dihadiri para guru, pensyarah, penyelidik dan profesional dalam bidang-bidang pendidikan, perubatan, psikologi dan sains kesihatan.

Malah ibu bapa amat digalakkan menghadirinya bagi mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai autisme dari pelbagai sudut.

Mereka yang berminat boleh melayari http://www.isam2014.com.my/index.php/register-now atau menelefon 03-83194000 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!