Monday, March 31, 2014

KETIDAKUPAYAAN ADD/ADHD


Antara masalah sampingan yang dihadapi kebanyakan anak2 autisma termasuk anak pak yoep, Faqihah. Alhamdulillah, telah banyak perubahan sehingga kini dengan pelbagai aktiviti/rawatan dilakukan.


2.1       Definisi
Menurut Seifert (1999), Attention Deficit Disorder (ADD) adalah masalah sukar memberi tumpuan dan mengawal desakan diri.  Menurut beliau lagi, Attention Deficit Disorder (ADD) merangkumi hyperactivity iaitu keaktifan melampau.  Keaktifan melampau ini dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Menurut Kasmini Kassim (1992), sindrom hiperkinesis iaitu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) digunakan untuk menerangkan tingkah laku kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, kurang tumpuan perhatian, terlalu lasak, impulsif, resah, suka merosakkan harta benda, dan mudah mengalihkan perhatian terhadap sesuatu perkara. 

            Berdasarkan definisi yang diberikan, kami dapat merumuskan  Attention Deficit Disorder (ADD) ialah satu tingkah laku kanak-kanak yang menunjukkan kurang daya tumpuan terhadap sesuatu perkara.  Seterusnya, kami dapat merumuskan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) ialah masalah kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatian, terlalu aktif, impulsif ataupun gabungan antara tidak dapat menumpukan perhatian, terlalu aktif dan impulsif.
2.2       Ciri-ciri Ketidakupayaan ADD/ADHD
Menurut Sousa (2001) seperti yang dilaporkan oleh Tileston (2004), terdapat tiga ciri khusus KetidakupayaanAttention Deficit Disorder (ADD) atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) iaitu tidak dapat memberi tumpuan, hiperaktif dan impulsif.  Menurut Bailey (2006), terdapat lapan ciri-ciri kanak-kanak yang tidak dapat memberi tumpuan.  Antara ciri-ciri itu ialah kanak-kanak sering gagal memberi tumpuan yang teliti terhadap sesuatu perkara, tidak mematuhi arahan guru, mempunyai masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti, berasa ingin cepat menyelesaikan sesuatu tugasan, dan tumpuan mudah bertukar.
           
            Selain itu, kanak-kanak yang tidak dapat memberi tumpuan juga suka mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas.  Seterusnya, selalu kehilangan barang dan mudah lupa sesuatu perkara.  Kanak-kanak yang mempunyai lebih daripada enam ciri-ciri tersebut dan ciri-ciri itu telah wujud sukurang-kurangnya enam bulan dikesan menghidapi Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).

            Menurut American Psychiatric Association (1994), terdapat  enam ciri-ciri bagi kanak-kanak hiperaktif.  Antara ciri-ciri itu ialah kanak-kanak yang selalu gelisah dengan tangan dan kaki atau tidak boleh berada di tempat duduk, selalu meninggalkan tempat duduk dalam kelas atau dalam situasi yang diperlukan dan selalu lari atau memanjat dalam situasi yang tidak sesuai. 

            Selain itu, kanak-kanak juga selalu mempunyai masalah untuk bermain dan terlibat dalam aktiviti masa lapang dengan senyap.  Seterusnya, kanak-kanak selalu sibuk atau aktif bergerak dan selalu bercakap secara melampau atau berlebih-lebihan.  Kanak-kanak yang mempunyai lebih daripada enam ciri-ciri Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan enam ciri-ciri hiperaktif dikesan menghidapi Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Menurut Bailey (2006), terdapat lima ciri-ciri impulsif.  Antaranya ialah selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan, kurang sabar atau menghadapi masalah ketika menunggu giliran dan sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain.  Selain itu, kanak-kanak juga selalu membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan. 

            Berdasarkan ciri-ciri Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), kami dapat merumuskan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder(ADHD) dengan impulsif merangkumi ciri-ciri tidak dapat memberi tumpuan, hiperaktif dan impulsif.  
     
2.3       Sebab-sebab Ketidakupayaan ADD/ADHD
            2.3.1   Genetik
Menurut Ryan (1998) seperti yang dilaporkan oleh Silver dan Hagin (2002), Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) mempunyai komponen genetik yang berkaitan dengan keluarga dan kembar iaitu ditafsirkan sebagai kepelbagaian warisan genetik.  Kepelbagaian dalam gen mengawal reseptor dopamin khusus dalam neurotransmitter yang dikenal pasti dalam peratusan yang tinggi bagi ketagihan dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). 

            Sebanyak 50% orang dewasa dan 70% kanak-kanak yang mempunyai Genetic Resistance dan hormon tiroid mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Apabila kanak-kanak mempunyai sejarah keluarga yang mengalami Ketidakupayaan Tiroid, secara tidak langsung mereka berisiko mengalami KetidakupayaanAttention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Berdasarkan sebab genetik, kami dapat merumuskan bahawa kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) berpeluang untuk mengalami ketidakupayaan tersebut, 


            2.3.2   Neurologi
Seterusnya, Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah disebabkan oleh neurologi iaitu berkaitan dengan otak.  Antaranya ialah struktur otak, bahan kimia otak dan laluan saraf. 

            Terdapat tiga kawasan yang dikesan mempunyai kaitan dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dalam struktur otak iaitu korteks prefrontal, caudate nucleus dan globus pallidus, serta serebelum.  Korteks prefrontal adalah terletak di hadapan bahagian otak yang menjadi pusat arahan iaitu mengawal kemampuan otak untuk menyekat tindak balas.  Satu kajian telah menunjukkan bahawa kawasan korteks prefrontal dalam pesakitAttention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah tidak aktif.
            Caudate nucleus dan globus pallidus terletak dekat dengan pusat otak, mempercepatkan serta memberhentikan arahan yang datang daripada korteks prefrontal.  Kajian pada tahun 2002 melaporkan bahawa hanya sebahagian kecil daripada purata kanak-kanak mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) tetapi cenderung kembali menjadi normal apabila sudah dewasa.  Ketidaknormalan di kawasan ini boleh merosakkan kemampuan seseorang untuk menahan tindakan dan ini menyebabkan seseorang itu mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dengan impulsif.
Serebelum terletak di atas kawasan akar otak.  Kawasan ini mengawal nada otot, keseimbangan otot dan menyelaraskan aktiviti otot.  Satu kajian penting melaporkan bahawa purata kawasan ini adalah kecil bagi kanak-kanak yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).     

Ketidaknormalan aktiviti bahan kimia otak yang tertentu dalam korteks prefrontal boleh menyumbang kepada Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Dopamine dan norepinephrine adalah bahan kimia otak yang mempunyai kaitan dengan ketidakupayaan ini.  Manakala neurotransmitters yang menjadi penghubung bahan kimia otak akan memberi kesan kepada fungsi mental dan emosi.  Kajian mencadangkan peningkatan tahap bahan kimia yang lain iaitu glutamate, glutamine dan GABA atau secara kolektif dipanggil  Glx, akan berinteraksi dengan laluan yang mengangkut Dopamine dan norepinephrine.

            Kawasan yang khusus bagi laluan saraf ialah rangkaian saraf yang dipanggil laluan basal-ganglia thalamocortical.  Ketidaknormalan sepanjang laluan saraf ini adalah berkait dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Sindrom Tourette dan Ketidakupayaan Obsessive-Compulsive yang berkongsi ciri-ciri tertentu.

            Kami dapat merumuskan ketidaknormalan di kawasan struktur otak, bahan kimia otak dan laluan saraf akan menyebabkan ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Ketidaknormalan di bahagian korteks prefrontal akan menyebabkan kanak-kanak gagal menyekat tindak balas dan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada bahaya.    

2.3.3 Kekurangan zat makanan
            Bayi yang kekurangan zat makanan akan mempunyai masalah tingkah laku  yang seterusnya menjadi punca kepada Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Sesetengah kajian mendapati terdapat kaitan antara kekurangan asid lemak tertentu dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Sementara itu, zink memainkan peranan penting dalam metabolisma asid lemak iaitu menukarkan kesan dopamin yang melibatkan neurotransmitters dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Kami berpendapat bahawa para ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat zat makanan yang diperlukan secukupnya sejak dari kecil lagi.          

            2.3.4 Pengaruh persekitaran
            Corak pemakanan terutama makanan dan minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti Yogurt, Vitagen dan Yakult  membawa risiko kepada kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Minuman yang berkafein seperti nescafe dan kopi juga mempengaruhi kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

            Selain itu, persekitaran semasa ibu mengandung seperti persekitaran merokok turut mempengaruhi anak dalam kandungan.  Menurut Braun, Kahn, Froehlich, Auinger, dan Lanphear (2006), sebanyak 270,000 kes Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) bagi kanak-kanak berumur empat hingga lima belas tahun adalah disebabkan oleh pendedahan kepada persekitaran merokok sebelum lahir. 
Selain itu, sebanyak 290,000 kes Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) antara kanak-kanak Amerika (AS) yang berumur empat hingga lima belas tahun adalah berpunca daripada persekitaran.

Seterusnya, ibu yang mengandung yang terdedah kepada bahan beracun seperti dioxins dan polychotinated biphenyls (PCBs) akan mempunyai risiko yang tinggi melahirkan anak yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Di sini, kami dapat merumuskan bahawa pengaruh persekitaran memberi risiko yang tinggi kepada kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) walaupun mereka tidak mempunyai sebab genetik atau neurologi.  
   
2.4       Statistik Ketidakupayaan ADD/ADHD
Mengikut statistik kesihatan yang dikeluarkan oleh National Health Interview Survey pada tahun 2006 untuk kanak-kanak Amerika (US), sebanyak 82 peratus kanak-kanak Amerika (US) bawah 18 tahun adalah sangat sihat.  Dianggarkan sebanyak tujuh peratus kanak-kanak Amerika (US) bawah 18 tahun mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  
           
            Menurut Braun, Kahn, Froehlich, Auinger dan Lanphear (2006) seperti yang dilaporkan dalam Environment Health Perspect (2006), daripada 4704 orang sampel kanak-kanak pada umur empat hingga lima belas tahun, hanya 344 orang iaitu 8.2 peratus adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan sebanyak 154 orang iaitu 4.3 peratus adalah berpunca daripada penggunaan ransangan ubatan iaitu bersamaan 3.8 juta dan 2.0 juta orang kanak-kanak dan orang dewasa di Amerika (US).  Manakala, daripada sampel 4704 orang kanak-kanak, 135 orang iaitu 4.5 peratus adalah daripada bilangan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan penggunaan ransangan ubatan yang bersamaan dengan 1.8 juta orang di Amerika (US).    

Selain itu, penemuan menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih kerap didiagnosis berbanding kanak-kanak perempuan iaitu tiga hingga lapan kali.  Berdasarkan statistik yang diberikan, kami dapat merumuskan bahawa terdapat peningkatan pesakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dalam kalangan kanak-kanak terutama kanak-kanak lelaki.  Selain itu, kanak-kanak cenderung mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) berbanding Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).  Hal ini kerana apabila kanak-kanak mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) secara tidak langsung kanak-kanak itu akan mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).  

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!