Saturday, April 26, 2014

Artis autistik

Umar Hasfizal ketika menghiburkan tetamu pada Perasmian Seminar Autisme Antarabangsa 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

JIKA tidak diumumkan, tiada siapa pun yang akan menduga irama indah dari piano yang diperdengarkan pada perasmian Seminar Antarabangsa Autisme Malaysia 2014 (ISAM 2014) yang berlangsung di Putrajaya dipersembahkan remaja lelaki berusia 16 tahun, yang juga kanak-kanak autistik.

Pemain piano autistik berbakat, Clarence Kang, memukau hadirin dengan persembahan lagu gubahannya sendiri berjudul Concert Fantasie ketika berusia 13 tahun.


Lagu itu membawa kepada kejayaannya memenangi anugerah bakat pada Festival Muzik Istimewa Pyeongchang di Korea tahun lepas.


Sebuah lagi lagu yang diperdengarkannya ialah The Flight of the Bumblebee, selingan orkestra ciptaan Nikolai Rimsky-Korsakov, yang turut menerima tepukan gemuruh hadirin.


Antara penonton di dewan yang penuh sesak itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Seorang lagi artis austistik berbakat ialah Umar Hasfizal, 16, yang menyanyi dengan penuh perasaan pada perasmian seminar dua hari itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.


Dia mendendangkan I Give The Best Of Me' ciptaan dan gubahan pengasas kumpulan koir kanak-kanak autistik Malaysia, Brian John Yim.


Kedua-dua persembahan itu mengagumkan lebih 1,000 peserta tempatan dan asing pada ISAM 2014.


Ketika ditemui di luar dewan seminar, Kang, yang berdepan kesukaran dalam berkomunikasi, jelas mempunyai peminatnya sendiri, apabila mereka tidak putus-putus meminta untuk bergambar bersamanya. Dia tidak menghampakan mereka.


“Saya suka buat persembahan. Gembira buat persembahan," katanya kepada pemberita semasa ditanya tentang persembahan luar biasanya itu.


Ibu Kang, Joyce Lim, seorang guru muzik, berkata anak lelakinya dapat bermain piano tanpa merujuk skor muzik, dan telah membuat persembahan di dalam dan luar ngara, sungguhpun ada ketikanya dia berasa gugup dan perlu memegang tangan ibunya.


Beliau mendapati Kang seorang anak autistik ketika berusia empat tahun, pada mulanya dia agak kecewa namun kekecewaan itu tidak berpanjangan apabila beliau segera menguasai keadaan dan menghantar anak lelakinya itu menghadiri program intervensi.


“Saya percaya perkara yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan sudah tentunya ada perancangan bagi setiap anak. Kita berada di sini sekarang untuk membantu dan menyumbang kepada program kesedaran autisme," katanya.


Sementara itu, bapa Umar, Hasfizal Mukhtar berkata beliau mendapati Umar seorang anak autistik ketika berusia lingkungan dua hingga tiga tahun apabila dia menunjukkan tanda-tanda autisme.


“Apabila kami diberitahu bahawa dia mempunyai autisme, perkataan itu agak ganjil bagi kami. Kami tidak tahu apa sebenarnya autisme sebab ia tidak boleh dikenal pasti berdasarkan rupa fizikal dan dia kelihatan normal. Tiada sebarang tanda, hanya menerusi tingkah laku dan komunikasi.


“Apabila kami mendapati dia anak autistik, perasaan kami ketika itu bercampur-campur. Kami bimbang dia tidak dapat berdikari dan kami tidak pasti bagaimana untuk membantunya," katanya.


Beliau berkata program intervensi awal dan inklusif membantu melatih anak autistik seperti Umar untuk bersekolah di sekolah biasa bersama kanak-kanak lain.


“Bakat terpendam Umar dalam bidang nyanyian dicungkil semasa dia menyertai koir dan kemudian mengambil bahagian dan pertandingan nyanyian dan mendapat kedua kedua dalam Malaysian Special Idol.


“Dia juga menyertai koir autistik pertama negara yang membuat persembahan dalam pelbagai majlis.


“Dia suka menyanyi. Dia suka menghiburkan penonton dan ini beransur-ansur membina keyakinan dirinya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!