Wednesday, August 6, 2014

Makanan segera punca autisma

SOALAN 1 

HARI ini saya mendengar banyak cerita mengatakan ramai ibu akan melahirkan kanak-kanak autisme akibat pemakanan yang tidak sihat seperti makanan segera. Benarkah perkara ini? Mohon doktor jelaskan dengan lanjut.

* Su, Johor Bahru, Johor.

Jawapan:
Terima kasih Puan Su. Makanan yang tidak sihat atau makanan segera semasa hamil bukanlah punca utama kepada masalah autisme dalam kalangan kanak-kanak. Namun begitu, ia mungkin mempunyai sedikit assosiasi kepada masalah autisme. Oleh sebab itu, mungkin elok kita ketahui dengan lebih lanjut berkenaan autisme yang membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri.
Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu. Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza.
Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi.
Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh, berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja.
Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Selain itu pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubella, toksoplasmosis, herpes, pemakanan yang tidak berzat, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.
Pencernaan
Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih daripada 60 peratus kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing.
Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain.
Oleh sebab itu, janganlah puan gusar. Walaupun pemakanan bukanlah punca utama masalah ini, seseorang ibu yang ingin hamil sepatutnya sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil, semasa sedang hamil dan juga semasa dalam pantang.
Paling penting wanita hamil perlu mengambil asid folik yang dibekalkan doktor. Ini kerana terdapat banyak kajian menunjukkan kepentingan asid folik untuk perkembangan saraf dan otak bayi dalam kandungan. Namun begitu, ramai wanita tidak tahu penambahan pengambilan asid folik perlu dilakukan tiga bulan sebelum hamil.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20120826/kn_01/Makanan-segera-punca-autisme#ixzz39Rlu3XWI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!