Wednesday, September 24, 2014

Pemimpin perlu rajin



KUALA LUMPUR: "Saya bukan letak jawatan pasal saya gagal untuk mengubah minda orang Melayu, tetapi sebab sudah terlalu lama."
Itu pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu terlalu banyak kerja yang mahu dibuat jika masih memegang jawatan yang dipegang 22 tahun sebelum berundur dahulu.
"Sebenarnya banyak lagi kerja kena buat, tetapi kalau kita duduk terlalu lama, orang naik bosan. Ada orang bercakap bila lagi orang tua ini hendak pergi.
"Sebab itu saya letak jawatan. Kalau saya boleh, saya masih hendak berusaha tukar minda orang Melayu kerana bagi saya, berjaya atau tidak seseorang atau sesuatu bangsa atau negara bergantung kepada nilai hidup yang dia pegang dan dia amal," katanya dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.
Ujarnya, pemimpin negara hari ini perlu rajin dan menjadi contoh kepada 'orang bawahannya'.
Tegasnya, sikap rajin dilihat kunci utama yang harus dipegang oleh seseorang Perdana Menteri untuk melihat negaranya sentiasa terkehadapan dalam semua aspek.
"Saya punya fokus satu sahaja. Yang pertama, rajin. Rajin bekerja dan dalam apa kerja pun kita buat, mesti rajin. Sebab itu, saya cuba tunjuk masa saya jadi Perdana Menteri, 'Kepimpinan Melalui Teladan.'
"Kalau pemimpin malas, jangan harap orang yang di belakang dia hendak jadi rajin. Sebab itu, saya kerja lebih daripada orang lain. Ini sudah pencen 11 tahun. Saya mula kerja bila orang lain pencen, umur 56. Orang lain (umur) 56 berhenti kerja. Saya umur 56 mula kerja (jadi Perdana Menteri)," katanya.
Tambah Dr Mahathir, antara cabaran yang terpaksa ditanggung adalah membuktikan kerajinannya kepada semua.
"Siang malam saya kerja. Saya sebagai Perdana Menteri, tidak ada 'time' (waktu kerja) pukul 8 (pagi) sampai 5 (petang) atau pukul 9 (pagi) sampai 4 (petang). Tidak ada. Bagi saya, sepanjang masa, saya Perdana Menteri. Keluarga pun tidak ada (masa).
Sebab itu saya, kadang-kadang orang tanya, macam mana baharu balik dari luar negeri, tiba-tiba kerja. Pergi luar negeri, hari ini saya sampai, hari itu juga saya kerja atau esok saya kerja. Dahulu kalau pergi luar negeri, balik kena cuti dua minggu. Itu membazir," jelasnya.
Katanya, tiada sebab bagi mana-mana pemimpin untuk mati kerana bekerja kuat selain menyatakan, biarlah ajal seseorang kerana sebab-sebab lain selain kuat bekerja.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!