Saturday, September 13, 2014

UPSR - Jangan kejar 5A

"Saya mesti dapat 5A dalam UPSR. Ini hasrat saya. Hidup saya akan senang kelak, jika saya dapat gred baik," demikian kata seorang murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Oleh itu M Rushill dari sebuah sekolah di Cheras sentiasa berjaga malam untuk mengulang kaji pelajaran tanpa mendapat bantahan ibu bapanya.

Dia juga mahu mencontohi beberapa anggota keluarganya yang cemerlang dalam pelajaran mereka.

Namun bagi pensyarah Universiti Tuanku Abdul Rahman, Norazleen Mohamad Noor, obsesi sebegini perlu dihentikan.

"Dalam masyarkat yang mengejar gred, proses pembelajaran sebenar akan diketepikan. Jika ini berlaku, sekolah akan menjadi institusi yang menakutkan," katanya.

Beliau berkata amat malang jika dipercayai bahawa masa depan kanak-kanak  yang mendapat banyak A dalam peperiksaan akan lebih cerah masa depannya berbanding kanak-kanak yang mendapat banyak C.

Proses pembelajaran sebegini adalah berbeza berbanding di negara maju, tambah beliau.

Profesor Dr Turiman Suandi dari Universiti Putra Malaysia pula berkata perlu disedari bahawa pembelajaran adalah untuk membina keperibadian dan nilai.

"Perlu ditanya apakah makna gred, apakah yang ia gambarkan," katanya.

Bagi pendidik Shiveh Sivalingam, ibu bapa jangan menilai anak-anak mereka berdasarkan berapa banyak A yang diperoleh.

"Setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan sendiri yang perlu dipupuk. Akhirnya kejayaan anak-anak mereka akan menjelma dengan sendirinya," katanya.

Beliau yang bersetuju dengan pendapat Turiman, berkata ibu bapa perlu turut menggalak anak-anak mereka untuk bersukan dan menyertai kegiatan kokurikuklum bagi mempelajari nilai-nilai yang berharga.

Seorang ibu, Maizatul Lina Mustapa berkata beliau tidak memaksa anaknya untuk cemerlang.

"Gred bukan segala-galanya. Kita perlu fokus kepada pembelajaran dan penambahbaikan dan biarkan gred baik datang secara semula jadi," katanya.

Beliau berkata sikap ibu bapa yang suka membandingkan pencapaian kanak-kanak perlu dihentikan.

Seorang lagi ibu, Rosie Chan berkata ibu bapa perlu turut dididik untuk memfokus kepada pembinaan kekuatan anak-anak mereka yang mempunyai kemahiran masing-masing.

Pada masa yang sama, seorang eksekutif syarikat menyarankan agar pihak media berhenti daripada meuar-uarkan pelajar cemerlang, sebaliknya turut mengetengahkan pencapaian pelajar sederhana.

Bernama
 

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!