Monday, October 13, 2014

Kenali potensi diri

Mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam mampu menentukan kejayaan. Malah, jika tahu mengenai personaliti diri, ia menjadi pakej lengkap untuk terus mengecap kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk kerjaya.
Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mengenali diri sendiri yang dapat membantu individu membentuk personaliti diri. 
Antaranya menerusi terapi warna yang mempunyai banyak kategori termasuk penyembuhan fizikal, emosi, arah mata angin atau feng shui serta pembentukan personaliti diri. 

Menurut Pakar Terapi Warna dan Pembentukan Personaliti Master Yourself Revamp Your Life (MYRYL), Shuhada Alauddin, terapi warna untuk mengenal diri berkait dengan pembentukan personaliti.
Foto
SHUHADA (kiri) melakukan kaedah AK kepada Maryati (kanan).

“Ia menggunakan empat warna utama iaitu putih, hijau, biru dan merah jambu yang setiap satu mempunyai karakter masing-masing.

“Apabila tenaga dipindahkan kepada individu yang diuji, ia akan memberi warna yang memberitahu mengenai personaliti atau karakter mereka,” katanya. 


Kaedah tentukan personaliti diri

Untuk membantu mengenal pasti personaliti diri seseorang, pakar terapi warna menggunakan kaedah Kinesiologi Gunaan (Applied Kinesiology - AK). 

Kaedah AK adalah teknik praktikal bagi mendapatkan jawapan secara refleks untuk menjawab persoalan mengenai warna dalaman dan luaran individu.

Titik tenaga diuji dan jawapan kepada soalan yang diajukan pakar terapi warna kepada individu yang diuji akan terjawab menerusi interaksi dalaman di bawah paras sedar. 

“Minda di bawah sedar dikuasai bahagian otak serebelum dan diisyaratkan pada saraf spina yang akan terus menghantar isyarat ke pusat kawalan bawah paras sedar. 

“Jawapan yang terhasil akan memberikan keputusan yang bebas daripada logik akal yang terhad. Kinesiologi adalah refleks suara hati yang memberikan isyarat berdasarkan niat dan memberikan hasil tindakan gerak balas otot tangan tanpa diganggu oleh elemen asing,” katanya. 

Kaedah AK diuji kepada peserta bagi menguji kekuatan otot tangan individu itu. Keempat-empat titik tenaga seperti putih menandakan bahagian atas kepala, merah jambu bahagian di antara kening, hijau bahagian dahi dan biru bahagian hati.

Untuk melakukan kaedah berkenaan, kedua-duanya sama ada yang menguji atau yang diuji perlu bersikap tenang dan menyerahkan 100 peratus tugas berkenaan dengan penuh kepercayaan. 

“Penting untuk individu itu tahu mengenai warna luaran dan dalaman mereka bagi keselesaan kepada diri sendiri selain dapat membantu memilih kerjaya yang sesuai dengan personaliti yang dikenal pasti.

“Selain itu, ia juga membantu untuk mengetahui kelemahan diri bagi mencari kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga.

“Misalnya, jika suami atau isteri mempunyai sikap pemarah sebaiknya salah seorang jangan pula mahu membangkitkan kemarahan dan mengeruhkan lagi keadaan,” kata bekas peguam ini. 

Selepas mengetahui kelemahan masing-masing, setiap individu harus mengelakkan pergaduhan dengan melihat kekuatan yang dimiliki pasangan masing-masing. 

Dia yang kagum dan pernah mengambil kursus bersama Pengasas Terapi Getaran Warna, Profesor Dr Nor Hisham Wahab menambah, setiap peserta akan diajar mengenai AK dalam bengkel yang diadakan MYRYL. 

Bengkel mengenai terapi warna berkenaan disediakan dalam dua pilihan iaitu bengkel sehari atau tiga hari bagi membantu mengajar mengenai potensi diri sendiri dan mengubah pemikiran individu itu untuk berjaya. 

Biasanya, peserta yang hadir pada bengkel berkenaan adalah golongan dewasa tidak mengira lelaki mahupun perempuan berusia 25 tahun ke atas dan kebanyakannya mahu memilih kerjaya sesuai dengan personaliti masing-masing.

Bengkel berkenaan yang bermula sejak Oktober 2012 bertujuan berkongsi ilmu pengetahuan dan menggalakkan orang lain mempelajarinya dengan kos lebih murah.

Sekurang-kurangnya, ia dapat membantu seseorang untuk melakukan pilihan terbaik dalam kerjaya mahupun kehidupan seharian.


Ikhtiar untuk berjaya

“Sebelum saya memulakan bengkel terapi warna ini, saya pernah menghadapi masalah dalam pekerjaan kerana ia tidak memberi kepuasan.

“Walaupun saya terbabit di bidang guaman selama 11 tahun, namun saya masih mencari perkara yang disukai untuk mencapai kepuasan. 

“Disebabkan memang sejak kecil gemar dengan warna, saya sentiasa mencari perkara berkaitan warna dan akhirnya menemui kursus mengenai terapi ini,” jelasnya.

Kini, selepas menyelidik mengenai potensi dan kriteria dirinya sendiri, sebenarnya Shuhada lebih sesuai untuk menjadi pakar motivasi kerana dia gemar bercakap.

Tambah Shuhada, terapi warna berkenaan juga sesuai dilakukan oleh individu lepasan sekolah atau ibu bapa yang mahu mengenali dengan lebih dekat potensi anak-anak mereka. 

Tegasnya, terapi warna bukanlah ramalan tetapi ia sebenarnya sudah dibuat kajian dan eksperimen sejak 20 tahun lalu oleh pengasasnya.

Ia bertujuan mengetahui frekuensi dalam udara sebelum disampaikan kepada pelajar yang mengikuti kursusnya. Namun nasihatnya, jangan terlalu taksub dengan keputusan yang diperoleh kerana semuanya harus diserahkan kepada Allah dan anggap ia sebagai ikhtiar kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan serta kebahagiaan. 

“Sebenarnya, jika diikutkan terapi warna itu sudah wujud sejak zaman Cleopatra. Ibnu Sina juga pernah mengkaji dengan lebih mendalam mengenai warna tetapi ia lebih cenderung dalam bidang perubatan. 

“Namun apabila perubatan secara saintifik mengambil alih zaman itu, ia sekali gus menjadikannya tidak diiktiraf lagi,” katanya. 

Jelasnya, selepas mengikuti kursus terapi warna individu itu tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar kerjaya jika mendapati ia tidak sesuai dengan personaliti diri, sebaliknya teruskan bekerja dan cari kerjaya diminati secara perlahan-lahan. 

Sementara itu, menurut Koordinator MYRYL, Maryati Mohari, dia sememangnya agak keliru dengan fungsi sebenar pada peringkat awal dia belajar mengenai terapi warna.

“Sebelum menjadi koordinator, saya harus belajar mengenai terapi warna dan terlebih dulu mengamalkan tip mengenai penggunaan warna setiap hari. 

“Ia dilakukan bagi membantu diri mengubah pemikiran negatif kepada positif untuk meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang lain. 

“Jika dulu saya seorang yang pelupa tetapi sejak amalkan penggunaan warna yang disarankan setiap hari, saya lebih bersikap tenang dan tidak panik apabila kehilangan barang,” katanya. 

Kemungkinan ia berlaku disebabkan dia sendiri sudah menanamkan dan mengamalkan warna yang disarankan untuk membantu melancarkan setiap urusan saban hari.

Ia menyebabkan dia lebih tertarik dengan kesan yang diterima sebelum disampaikan kepada peserta pada bengkel terapi warna. 

“Ia berkesan dan membantu untuk meningkatkan keyakinan diri malah dijadikan ikhtiar bagi memperbaiki personaliti diri.

“Ini terbukti apabila saya mengalaminya sendiri. Sejak mencuba kaedah AK dan mengetahui warna diri sendiri iaitu merah jambu, ia sekali gus dapat meningkatkan diri untuk berkomunikasi.

“Saya juga pernah melakukan kaedah AK sebanyak tiga kali kerana mahu mendapatkan keputusan telus mengenai warna diri dan ia memang tidak pernah berubah,” katanya. 

Warna merah jambu melambangkan seorang yang periang dan mempunyai pemikiran terbuka. Mereka dalam kalangan warna itu lebih cenderung memahami perasaan orang lain dan rasional dalam membuat sebarang keputusan. 

Malah mereka juga dianggap matang dalam kehidupan dan mempunyai sifat pemurah selain meminati bidang kreatif. 

Tambahnya, kebanyakan peserta yang menyertai bengkel warna berasa kurang yakin pada diri sendiri, tidak tahu kerjaya bersesuaian dan ingin mengubah jenis perniagaan sesuai dengan diri mereka. 

Biasanya, bengkel berlangsung selama tiga hari sudah lengkap untuk peserta mengenal personaliti diri. 

Namun, jika ada yang inginkan kepastian, mereka akan diberikan masa selama dua jam untuk melakukan bimbingan secara persendirian bersama pakar terapi warna.

Tegasnya, setiap individu perlu mengetahui alasan wujudnya warna di sekeliling hidup mereka. Ini kerana ia berfungsi untuk membantu mengubah pemikiran negatif kepada positif sebagai usaha meningkatkan keyakinan diri. 


Panduan pemilihan warna: 

Isnin
 - Dianggap sebagai hari permulaan dalam setiap minggu. Pilihan warna putih pada pakaian atau aksesori sesuai untuk Isnin bagi menjelaskan setiap kesukaran atau masalah pasti ada jalan penyelesaian. 

Selasa - Melambangkan emosi atau kasih sayang. Rona yang sesuai adalah merah jambu atau ungu lembayung. 

Rabu - Hari komunikasi dan warna biru sesuai untuk anda terutama apabila perlu membuat pembentangan atau berjumpa pelanggan supaya komunikasi berjalan lancar. 

Khamis - Kuning atau oren mempunyai kaitan dengan perut dan ia melambangkan hari yang kreatif. Justeru, Khamis sesuai jika ingin melakukan senaman latihan di gimnasium atau mengamalkan diet untuk menguruskan badan. 

Jumaat - Hijau berkaitan dengan paru-paru dan jantung serta melambangkan keagamaan. 

Sabtu - Merah sering dikaitkan dengan darah. Pada Sabtu, kebanyakan individu mudah terpengaruh atau cenderung untuk ditipu. Sebaiknya, elak memilih Sabtu jika ingin membuat urusan berkaitan kewangan. 

Ahad - Hitam warna yang sesuai. Ia menjadi hari yang penuh misteri atau rahsia. Biasanya, warna itu dikaitkan dengan otot, tulang dan sendi.

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!