Thursday, November 27, 2014

Kecekalan ibu menjaga anak autisme


KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- Kecekalan seorang ibu menjaga anak yang menghidap penyakit autisme membuahkan hasil setelah anaknya itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Rabu. 

Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff, 12, murid Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, Kuala Terengganu yang merupakan seorang daripada Calon Berkeperluan Khas (CBK) memperoleh A dalam semua lima mata pelajaran yang didudukinya. 

Menurut ibunya, Hayani Zakaria, 48, beliau mula menyedari anaknya mengalami masalah berkenaan ketika berusia lima tahun selepas tidak mampu bercakap dengan lancar seperti kanak-kanak lain. 

Katanya selepas itu beliau merujuk kepada doktor pakar tentang masalah yang dialami anaknya sebelum anak bongsu daripada dua beradik itu mula mengikuti pembelajaran di sekolah pendidikan khas. 

"Memang terkejut apabila dapat tahu anak mengalami penyakit ini dan selepas itu saya terus memberikan sepenuh perhatian dan sentiasa memberi sokongan kepada anak istimewa ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini. "Saya rasa berbaloi sangat dengan keputusan yang diperoleh ini walaupun dia tidak sempurna seperti pelajar lain, namun dia mampu menghadiahkan kami dengan keputusan bermakna ini," katanya. 


Sementara itu Muhammad Syahmi Asyraff berkata kejayaan ini adalah hadiah kepada keluarga dan gurunya yang banyak membantu dan mendidik sehingga memperoleh keputusan cemerlang itu. Katanya di sebalik kejayaan ini, ibunya merupakan tulang belakang dan tidak jemu menemaninya mengulang kaji pelajaran. 

"Saya akan bangun seawal pukul 5 pagi untuk membuat latihan dan mengulang kaji pelajaran dan ibu sentiasa berada di sisi menemani saya," katanya. Anak kepada pegawai bank yang bercita-cita menjadi angkasawan itu berhasrat untuk meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. -- BERNAMA


No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!