Tuesday, December 9, 2014

Autisma cemerlang di UiTM


Permatang Pauh: Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), penghidap autisme, Khairul Aiman Hashim, 22, membuktikan dia juga mampu berjaya dalam pelajaran sama seperti orang lain yang normal.
Khairul Aiman yang menghidap kecacatan perkembangan membabitkan fungsi otak sejak lahir dianugerahkan Diploma Kesihatan Persekitaran pada Istiadat Konvokesyen Ke-81 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini, semalam.
Tiga tahun lalu, Aiman membuktikan dia mampu meraih keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menjadikannya pelajar pertama menghidap penyakit itu diterima masuk melanjutkan pengajian di universiti.
Katanya, walaupun menyedari dirinya tidak normal seperti orang lain, itu bukan halangan untuk dia mencapai impian dan berjaya dalam pelajaran.
Menurutnya, dia tidak mengalami sebarang masalah sepanjang tiga tahun belajar dan menetap di asrama, malah mengakui teruja dapat hidup berdikari selain mampu menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sebaya.
“Saya belajar seperti orang lain dan rakan-rakan serta pensyarah banyak memberi bantuan dan sokongan sehingga saya berjaya mencatatkan Purata Gred Nilai Keseluruhan (CGPA) 3.07.
“Saya sentiasa fokus ketika pensyarah mengajar dan membuat latihan ulang kaji serta tidak malu untuk bertanya jika sukar memahami subjek yang diajar,” katanya.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sains sukan kerana dia lebih meminati bidang berkenaan.
Selain itu, Aiman turut menasihati ibu bapa mempunyai anak senasib dengannya agar memberi peluang kepada kanak-kanak itu untuk hidup berdikari.
Sementara itu, bapanya, Hashim Samsuddin, 60, berkata dia bangga dengan kejayaan anaknya itu dan berharap kejayaan serta semangat Aiman mampu menjadi pendorong kepada golongan yang senasib dengannya.
“Saya bangga dengan pencapaian Aiman dan sentiasa memberi sokongan terhadapnya selain memberi kebebasan untuknya memilih bidang yang diminati,” katanya.

Sumber - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!