Tuesday, December 23, 2014

Ibu Bapa Perlu Jadi 'Istimewa' Untuk Anak Istimewa


Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menyesuaikan diri mereka kepada pelbagai masalah emosi dan psikologi. Ini adalah bahagian kedua daripada tiga siri mengenai isu yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai anak seumpama.

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Apabila pakar kanak-kanak, Dr Aini (bukan nama sebenar) terpaksa memberitahu sepasang suami isteri mengenai anak mereka yang baru dilahirkan mempunyai masalah genetik Sindrom Down, doktor itu merasakan bahunya seolah-olah sedang memikul satu beban yang sangat berat, iaitu 'satu tan batu-bata'.

"Sesiapa sahaja bila terpaksa memberitahu ibu bapa tentang keadaan anak mereka yang cacat adalah sebenarnya memikul satu beban yang amat berat.

"Dalam kebanyakan situasi ibu bapa itu tidak dapat menerima kenyataan tentang apa yang diberitahu. Mereka akan cuba protes dan menidakkan kenyataan dan mengatakan berita itu disampaikan secara 'tidak bijak'," kata beliau.

Dr Aini menambah kata bahawa berita itu perlu disampaikan kepada ibu bapa yang terlibat dengan kadar segera sebaik sahaja menerima fakta mengenai anak istimewa itu.

"Doktor mungkin tidak mengenali ibu bapa berkenaan. Namun doktor yang terpaksa menyampaikan berita itu berada dalam keadaan tertekan di samping dia sebenarnya mewakili bayi yang tidak sihat itu," kata Dr Aini.

KETERANGAN LENGKAP

Menurut Dr Aini, berita itu perlu disampaikan kepada kedua-dua ibu bapa secara sulit dan peribadi. Keterangan yang diberi haruslah lengkap, efisyen dan doktor yang menyampaikan perlu menunjukkan rasa simpati.

"Di mana yang boleh, berita itu perlu juga diiringi dengan kata-kata yang memberikan semangat dan harapan," kata beliau.

Walaupun ibu bapa menerima berita itu dalam kesedihan, mereka juga perlu diberi peluang untuk melahirkan perasaan mereka sehingga isu itu betul-betul difahami pasangan berkenaan, kata beliau.

"Ketika ibu bapa diberitahu, kebanyakan daripada maklumat yang disampaikan doktor mungkin tidak dapat diserap dan difahami sepenuhnya oleh ibu bapa. Pada masa itu juga perasaan terkejut dan resah mungkin belum timbul di pihak ibu dan bapa," kata beliau.

MURUNG

Ibu bapa yang menempuh situasi ini akan mengalami kesedihan. Kesedihan ini wujud dalam beberapa peringkat seperti rasa terkejut, penafian, kelu, murung dan akhirnya barulah datang penyesuaian dalam hidup.

Jelas Dr Aini, ibu bapa yang melalui peringkat-peringkat ini akan mengambil masa untuk 'pulih'.

Tugas seorang ibu atau bapa bukanlah senang kerana ia memerlukan persediaan dan tiada kesempatan bagi pasangan itu untuk 'berehat'.

"Bagi anak-anak istimewa, mereka mempunyai keperluan khas yang juga memerlukan perhatian serta penjagaan yang lebih rapi dibandingkan dengan anak yang normal," jelas Dr Aini lagi.

SAKIT KRONIK

Sakit kronik di peringkat kanak-kanak sememangnya mempunyai kesan fizikal, sosial dan psikologi yang agak besar terutama bagi keluarga yang perlu membesarkan anak istimewa.

Isu psikososial (bagaimana ibu bapa dan anak memberi reaksi secara mental terhadap situasi sosial) ibu bapa dan anak istimewa boleh bertukar menjadi agak traumatik bagi sesetengah ibu bapa.

Menurut Dr Aini bila anak dilahirkan, kehidupan dalam keluarga itu akan bertukar selama-lamanya. Dan jika anak itu mempunyai keperluan khas, pertukaran itu mungkin mempunyai impak yang besar.

"Memang satu tugas dan tanggungjawab yang berat bagi membesarkan anak istimewa untuk anak itu mencapai potensi yang sepenuhnya. Sebenarnya bukan mudah membesarkan anak istimewa.

"Bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, mereka perlulah kuat dari segi mental dan berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan hidup yang baru selain mempunyai perasaan optimistik yang tinggi," kata pakar pediatrik itu.

IBU BAPA PERLU JADI ISTIMEWA

Dr Aini berkata, ibu bapa perlulah menjadikan diri mereka 'istimewa' bagi berupaya membesarkan serta mendidik anak istimewa mereka.

Menurut beliau lagi, anak istimewa biasanya menerima persepsi yang agak tidak adil daripada masyarakat dan dianggap sebagai berkelakuan kasar dan kurang 'beradab' selain kurang berdisiplin.

"Tetapi ini adalah tanggapan yang salah, anak-anak istimewa memang berkelakuan sebegini apatah lagi jika kurang kualiti penjagaan oleh ibu bapa mereka," kata beliau.

Ibu bapa anak istimewa mempamerkan pelbagai masalah psikososial seperti kemurungan, keresahan dan kemarahan. Bagi Dr Aini ibu bapa anak istimewa perlu mempunyai lebih pengetahuan selain daripada memperkasakan diri mereka sendiri.

"Kasih sayang daripada ibu bapa ini terhadap anak istimewa mereka perlulah melimpah-ruah dan mereka perlu juga memberi definasi dan dunia baru terhadap makna 'istimewa'.

"Kedua-dua ibu bapa juga perlu faham bahawa mereka menggalas tugas berat sebagai ibu bapa kepada anak istimewa.

"Hanya ibu bapa yang ceria dan sihat akan dapat membimbing anak mereka untuk hidup secara normal dalam masyarakat. Anak itu belajar mengenai aktiviti, tabiat dan kebolehan yang spesifik daripada ibu bapa mereka," kata beliau.

Adalah penting bagi ibu bapa anak istimewa melihat anak mereka 'sebagai anak' terlebih dahulu dan tidak sebagai anak yang mempunyai kecacatan.

KESUKARAN

Ibu bapa anak istimewa juga akan menghadapi pelbagai kesukaran serta cabaran dari segi menjaga diri mereka sendiri selain memenuhi keperluan khas anak mereka.

Kata Dr Aini, menurut pengalaman beliau ramai ibu bapa menganggap kelahiran seumpama sebagai satu 'tragedi kemanusiaan' tetapi reda akan pemberian Tuhan.

"Mereka kemudiannya menjadi optimistik serta mempunyai pandangan yang realistik mengenai kehidupan masa hadapan anak mereka dan dapat menerima anak istimewa mereka dengan seadanya.

"Terdapat pertalian positif antara kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa turut berbincang dengan ahli keluarga yang lain mengenai anak mereka.

"Ibu bapa juga akan menggunakan perkhidmatan diagnostik yang disediakan untuk rawatan anak mereka selain sesi kaunseling dan latihan. Ia penting bagi mengakplikasikan program intervensi awal bagi anak istimewa," kata beliau.

Dr Aini menasihati ibu bapa agar menyertai dan mendapatkan bantuan dari segi kaunseling daripada kumpulan sokongan yang ditubuhkan selain daripada ibu bapa lain yang mempunyai pengalaman yang sama untuk memudahkan mereka menghadapi cabaran dalam membesarkan anak istimewa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!