Wednesday, December 24, 2014

KENYATAAN AKHBAR - PT3 2014

KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 TAHUN 2014

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan masyarakat umum yang telah memberikan pelbagai respon mengenai keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada 22 Disember 2014.
Sehubungan itu, KPM ingin menjelaskan sekali lagi bahawa keputusan melaksanakan PT3 untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir. Sebaliknya negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis, kreatif dan mendorong pelajar untuk berfikir di luar kotak.
Justeru itu, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 yang mengantikan PMR telah diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi.
Oleh itu, KPM ingin menekankan bahwa keputusan PT3 pada tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PMR yang dijalankan sebelum ini kerana format dan instrumen yang digunakan adalah berbeza.
Struktur soalan PT3 berbentuk subjektif (respon terbuka) berbeza dengan soalan PMR yang berbentuk objektif (aneka pilihan). Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal sukatan pelajaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.
Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3 : 3:4:3 (rendah : sederhana : sukar), manakala PMR : 5:3:2 (rendah : sederhana : sukar). Kaedah pengredan juga berbeza iaitu pengredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) dan pengredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan mengikut prestasi keseluruhan calon).
Murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini telah ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah. Melalui PT3, calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. Pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh LP.
PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan ujikaji dan juga bukan disediakan dalam masa yang singkat. Soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah digunapakai untuk PMR. Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS). PS yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan , kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak. Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012.
Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambilkira pelaporan keempat-empat komponen PBS.
Pihak KPM ingin menegaskan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar, kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis .
Selain itu, LP amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor. Untuk memastikan ketekalan pemeriksaan oleh guru, LP telah menyediakan panduan penskoran yang setara, melatih guru-guru untuk memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon.
KPM juga ingin menjelaskan makluman mengenai empat komponen PBS telah disampaikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak tahun 2012 lagi. Manakala makluman mengenai PBS dan PT3 sekali lagi telah disampaikan kepada PIBG dan pihak sekolah melalui program turun padang Outreach PBS Public Engagement PIBG.
KPM juga telah membuat siri Program Outreach PBS dan Public Engagement PIBG untuk menerangkan tentang empat komponen PBS kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah sejak bulan Februari tahun lepas lagi manakala Public Engagement PIBG yang menerangkan mengenai Pentaksiran Tingkatan 3 (Format instrumen, pentadbiran, penjaminan kualiti) dan empat bentuk pelaporan PBS yang akan diterima oleh calon telah dijalankan pada April hingga Jun 2014.
Di samping itu, KPM juga telah melaksanakan hebahan dan memberi kefahaman tentang PT3 kepada pelbagai pihak melalui pelan komunikasi iaitu penerangan tentang PBS kepada masyarakat umum melalui media elektronik seperti radio, televisyen dan portal LP.
Program bual bicara di radio dan televisyen utama telah membincangkan PBS dan PT3 dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi memberi kefahaman kepada pelbagai pihak berkepentingan. Begitu juga dengan iklan PT3 dalam empat bahasa telah disiarkan dalam radio juga media massa lain. Penerangan bagi memberi kefahaman tentang PT3 kepada masyarakat umum juga dibuat melalui media cetak. Artikel dan maklumat tentang PT3 telah disiarkan dalam akhbar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
KPM sentiasa menerima pandangan dan maklumbalas daripada semua pihak untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya.
Sehubungan itu, KPM akan terus meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar utuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
24 DISEMBER 2014

No comments:

Post a Comment

Tempah IKLAN anda di sini

IKLAN
IKLAN
IKLAN
IKLAN
Advertise Now!