Monday, January 12, 2015

Autisma BUKAN beban

MEMPUNYAI anak autistik memang menguji kesabaran, terutama apabila anak mula menunjukkan perangai ‘pelik’ seperti berlagak pekak, mudah terganggu dengan perubahan kecil pada persekitaran, tidak berminat dengan alat mainan, tidak mahu bertentang mata dan tiada ekspresi muka ketika bercakap.
Malah, kegagalan berinteraksi dengan anak yang lebih suka bermain sendiri menyebabkan sesetengah ibu bapa menganggap mereka lembap, bodoh dan degil tanpa mengetahui punca sebenar anak berkelakuan demikian.

Ada juga ibu bapa kecewa selepas gagal mengubah perlakuan atau mengajar anak, lalu membiarkan mereka membesar tanpa pendidikan sewajarnya.
Lebih mengecewakan, ada guru sekolah menganggap kanak-kanak autistik sebagai bodoh, sedangkan mereka sebenarnya memerlukan kelas pendidikan khas.

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan dengan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.

Gangguan ini dipercayai berkaitan dengan ketidaknormalan pada beberapa bahagian otak yang berlaku ketika dalam kandungan.
Malah, saiz otak kanak-kanak autistik juga tidak sama seperti kanak-kanak normal kerana ada yang lebih besar. Sehingga kini tiada siapa tahu bagaimana gangguan ini boleh berlaku.

Adakah autisme diwarisi? Saintis berpendapat autisme ada kaitan dengan mutasi gen dan walaupun punca sebenar tidak diketahui, faktor genetik dan persekitaran dipercayai menyumbang kepada gangguan ini.
Oleh kerana itu, ia dipercayai boleh diwarisi tetapi berdasarkan kajian, jumlah kes autisme sebab keturunan agak kecil iaitu hanya 15 peratus berbanding 85 peratus bagi jenis autisme idiopatik (tidak diketahui puncanya).

Dianggarkan seorang bayi daripada 1,000 kelahiran mengalami autisme. Bagaimanapun, ada kajian mengatakan kekerapannya antara dua hingga enam kes bagi setiap 1,000 kanak-kanak.

Kanak-kanak dengan adik beradik autistik mempunyai kebarangkalian lebih tinggi (dua hingga lima peratus) mendapat masalah sama.

Dalam kajian terbaru, penyelidik percaya jarak kehamilan yang rapat (antara satu hingga dua tahun) boleh meningkatkan risiko autisme pada anak kedua.

Selain faktor biologi, penyelidik berpendapat tekanan dialami ibu ketika mengandungkan anak seterusnya boleh menyebabkan bayi mendapat autisme. Bagaimanapun, banyak kajian perlu dilakukan untuk menyokong pendapat ini.

Autisme berlaku tiga hingga empat kali lebih kerap pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Tahap serius autisme berbeza antara individu kerana sesetengah kanak-kanak boleh membesar dan hidup berdikari manakala segelintir lagi sentiasa memerlukan bantuan sepanjang hayat.

Hampir 70 peratus kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal pada tahap berbeza. Inilah sebabnya proses pembelajaran mereka lebih lambat, ada masalah berinteraksi, berkomunikasi dan tingkah laku.

Bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak autistik perlukan bantuan sepanjang hayat kerana ramai antara mereka yang hidup berjaya.

Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan orang lain, tidak berusaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi secara spontan. Individu autistik sukar memahami keadaan persekitaran yang menyebabkan mereka sukar terbabit secara langsung apabila bersembang.

Tingkah laku yang suka mencederakan diri menandakan autisme teruk. Biasanya ia berlaku jika IQ kanak-kanak berkenaan kurang daripada 20.

Masalah autisme boleh dikesan ketika bayi lagi. Bagaimanapun, biasanya ia hanya disedari apabila anak mencapai usia tiga tahun atau selepas dimasukkan ke tadika.

Berdasarkan kajian, kanak-kanak autistik berumur empat hingga enam tahun yang diberikan pendidikan khas, menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan boleh belajar di sekolah biasa.

Antara ciri utama autisme ialah:
  • Tidak menghiraukan orang lain
  • Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain
  • Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap
  • Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)
  • Susah bekerjasama, berkongsi atau tidak sabar menunggu giliran
  • Lebih suka bermain sendiri
  • Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi
  • Lambat bercakap
  • Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang
  • Tidak boleh berkomunikasi dengan baik
  • Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot
  • Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)
  • Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya
  • Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti orang dewasa
  • Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan
  • Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek
  • Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
  • Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang
  • Tidak boleh duduk diam
  • Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)
  • Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri
  • Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk
    Anak autistik bukan pembawa masalah, sebaliknya memberi peluang kepada kita, terutama ibu bapa, keluarga dan guru untuk berfikir lebih kreatif cara hendak mendekati, menjaga, mendidik dan berinteraksi dengan mereka. Ini kerana jika diberi pendidikan sesuai, mereka boleh berdikari — mengikut tahap keupayaan masing-masing.

    Walaupun sesetengah kanak-kanak autistik kurang bertutur, mereka masih boleh berkomunikasi melalui renungan mata, gerak badan, ekspresi muka dan penggunaan gambar yang sesuai dan ini yang perlu kita pelajari bersama sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun.

    Memang perkembangan kanak-kanak autistik lebih perlahan tetapi ia bukan bermakna mereka bodoh. Janganlah kerana kurangnya pengetahuan dan kesabaran kita, anak istimewa ini membesar di bawah paras kemampuan mereka.
    Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/03
  • - Sumber: http://www2.hmetro.com.my

    No comments:

    Post a Comment

    Tempah IKLAN anda di sini

    IKLAN
    IKLAN
    IKLAN
    IKLAN
    Advertise Now!